Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

30.11.09

Betapa Dahsyatnya Azab Kubur

.




Beberapa perkara yang perlu dilakukan sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam Hadith dan Sunnah untuk terlepas atau diringankan dari seksaan kubur.

1. Memelihara solat 5 waktu.

Bahawa orang yang memelihara solat 5 waktu itu akan dihindarkan dari seksaan kubur. Sebaliknya orang yang mengabaikannya maka diwaktu dia mati, mayatnya dihimpitkan kubur sehingga berselisih tulang rusuknya.
(HR Ibu Hajar Al-Haitami dalam kitabnya Az-Zawaajir)

2. Selalu membaca Surah Al-Ikhlas terutamanya dalam kesakitan yang membawa kematian.

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Siapa membaca Qul huwallaahuahad dalam kesakitan yang membawa matinya, tiadalah ia menderitai himpitan kubur dan di Hari Kiamat kelak, ia dibawa oleh malaikat dengan telapak tangannya hingga terlepas dari Titian Siratul Muntaha dan sampai ke syurga (bagi mereka yang beriman)
(Al-Imam At-Tabaraani meriwayatkan dari Abdulah b. Asy-Syakhiir)

3. Sentiasa membaca Surah Al-Mulk (Tabaarak) pada setiap malam sekurang-kurangnya malam Jumaat.

Rasulullah s.a.w menamakan surah ini dengan "Al-Maani'ah (yang mencegah) dan "Al-Munjiah (yang menyelamatkan) dimana beliau bersabda:
"Dialah surah pencegah yang menyelamatkan pembacanya dari seksaan kubur"
(At-Tarmizi meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a)

Dan diriwayatkan Imam Ahmad daripada Jaabir b. Abdullah berkata:
"Adalah Nabi s.a.w tidak tidur hingga dibaca Surah As-Sajdah dan Al-Mulk.

4. Mati syahid.

At-Tarmizi dan Ibnu Maajah meriwayatkan bahawa antara kelebihan mati syahid kerana menegakkan kalimah Allah s.w.t ialah seorang itu akan dijauhkan seksaan kubur.

5. Mati di malam atau siang hari Jumaat.

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Tiadalah seseorang Islam yang meninggal dunia di hari atau malam Jumaat, melainkan Allah memeliharanya dari fitnah kubur"
(HR Al-Tarmizi)

6. Mati sebab sakit dalam perut.
.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Siapa mati disebabkan penyakit dalam perut tidaklah dia diseksa dalam kuburnya"
(Ibnu Maajah dan At-Tarmizi meriwayatkan dari Abu Daud)

7. Tidak ditangisi mayat diwaktu kematian seperti perlakuan Jahiliah.

Umar Al-Khattab menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Seseorang yang mati itu akan diseksa dalam kuburnya disebabkan dia ditangisi"
(HR Al-Bukhari dan Muslim)

8. Memperbanyakkan memberi sedekah atau derma kebajikan.

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya sedekah itu akan mengurangkan kepanasan (keseksaan) kubur daripada yang selalu memberi sedekah dan hanya sesungguhnya seseorang mukmin itu akan dapat bernaung dibawah naungan sedekahnya di Hari Kiamat"
(At-Tabaraani meriwayatkan dari Uqbah b. Aamir)

9. Menyempurnakan basuhan wuduk dan menolong yang dianiayai.

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Ada seorang hamba Allah yang diperintahkan supaya dipukul 100 kali dalam kuburnya. Akan tetapi oleh sebab orang itu selalu berdoa supaya dilindungi daripada seksaan kubur semasa hidupnya maka dia dipukul hanya sekali pukulan. Akan tetapi dengan sekali pukulan itu menyebabkan kuburnya dipenuhi api. Sesudah api hilang (padam) dan dia sembuh dari pukulan itu maka orang itu bertanya kepada malaikat, "Sebab apakah saya dipukul (tadi)". Malaikat menjawab, "Engkau bersembahyang tanpa wuduk (dengan wuduk yang tidak sempurna basuhannya) dan engkau pernah melalui orang yang dianiayai tetapi engkau tidak memberikan pertolongan"
(At-Tahaawi meriwayatkan dari Ibnu Masuud)

10. Selalu memohon pada Allah s.w.t agar dilindungi dari seksaan kubur.

Bahawa Rasulullah s.a.w membacakan doa memohon daripada Allah s.w.t agar dilindungiNya dari 4 perkara yang mana dibacakan lepas Tasyahhud Akhirnya sebagai sunnah baginda s.a.w (yg perlu diikuti segera) iaitu dibacakan sebelum doa terakhir sebelum salam.
"Wahai Allah, sesungguhnya saya memohon perlindungan Engkau daripada seksaan Neraka Jahanam, daripada seksaan kubur, daripada fitnah (perdayaan) hidup dan mati dan daripada fitnah Al-Dajjal"
(HR Imam Muslim, Abu Daud, An-Nasaa'i, Ahmad b. Hanbal, Abu Awanah dan Ibnu Al Jaaruud)

11. Seseorang hamba Allah itu hendaklah selalu membaca dan mengkhatami Al Quran serta berdoa diwaktu khatamnya dengan salah satu doa yang pernah diajarkan Rasulullah s.a.w berbunyi:
"Perjinakkan keliaranku dari ketakutan dalam kuburku"
(HR Abi Umaamah)


Wallahualam




22.11.09

Peringatan Buat Diri Ini

.


Bismillahirrahmanirrahim

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman" (Surah Az-Zaariyaat:55)
Beringatlah, begitu banyak perkara yang membuat kita diseksa di alam kubur. Beruntunglah bagi mereka yang memiliki persiapan yang cukup bagi berhadapan dengan ajalnya kelak. Beruntunglah mereka yang memiliki akhlak yang baik, cemerlang memelihara diri, istiqamah melaksanakan fardu dan sunat serta sering bertaubat. Amalan-amalan itu akan mendampingi kita sehingga alam kubur menjadi indah dan damai. Itulah yang kita perlu persiapkan sekarang sebelum menjelang ajal.

Namun bagi mereka yang malang, yang tidak mengerti rahsia hidup, hanya tahu berseronok dengan dunia dan tidak mengenal Allah, mengabaikan solat, lebih suka mengumpul harta, cenderung memuaskan nafsu, Allah s.w.t tidak memberinya kebahagiaan di alam kubur apatah lagi di akhirat nanti. Jadi jalan yang terbaik adalah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Berwaspadalah kerana apabila ajal tiba tiada siapa dapat menghalang dan menahannya.

Kubur setiap hari menyeru manusia sebanyak 5 kali

1. Aku rumah yang terpencil, maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al Quran
2. Aku rumah yang gelap, maka terangilah aku dengan selalu solat malam
3. Aku rumah yang penuh tanah dan debu, bawalah amal soleh yang menjadi hamparan
4. Aku rumah ular berbisa, maka bawalah amalan bismillah sebagai penawar
5. Aku rumah pertanyaan Malaikat Munkar dan Nankir maka banyakkanlah bacaan "Laailaahaillah Muhammadur Rasulullah" supaya kamu dapat jawapan kepadanya

5 jenis racun dan 5 jenis penawarnya

1. Dunia itu racun, zuhud itu ubatnya
2. Harta itu racun, zakat itu ubatnya
3. Perkataan yang sia-sia itu racun, zikir itu ubatnya
4. Seluruh umur itu racun, taat itu ubatnya
5. Seluruh tahun itu racun, Ramadhan itu ubatnya

Bersiap-sedialah. Kain kafan bila-bila masa bakal menjadi pakaian kita. Mungkin esok ataupun lusa. Mudah-mudahan Allah s.w.t menolong kita, menjadikan kematian suatu keyakinan dan pendorong untuk kita memperbanyakkan amal soleh. Yakinlah seksa kubur tersedia. Yakinlah kita perlu menolong ibubapa kita, samada yang masih hidup ataupun yang sudah pergi dengan doa dan kesolehan kita.



13.11.09

Bagaimana Meraih Haji Mabrur?

.


Bismillahirrahmanirrahim


Sabda Rasulullah s.a.w:

"Balasan bagi haji mabrur tidak lain hanyalah syurga"

Haji mabrur itu adalah amalan haji yang menepati segenap hukum-hakam haji yang meninggalkan kesan mendalam kepada pelakunya terutaman persoalan hatinya yang menuju ketenteraman rohani daripada pengamalannya menurut syarat-syarat berikut:

1. Ikhlas kerana Allah s.w.t

Niat yang ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah adalah penentu kepada tercapainya haji yang mabrur bukan kerana mengejar gelaran haji. Ia menepati doa baginda Rasulullah s.a.w : "Ya Allah! Anugerahkanlah haji kerana-Mu, bukan kerana riyak (menunjuk-nunjuk) dan bukan mahu mencari nama"

2. Beramal menepati sunnah Rasulullah s.a.w

Hendaklah berusaha mengetahui selok-belok manasik haji dengan baik melalui penyertaan dalam siri kursus haji agar memantapkan ilmu mengenai sifat-sifat haji baginda Nabi sebagaimana dalam satu hadis bermaksud: "Hendaklah kamu lakukan manasik haji dengan sebaik-baiknya, kerana aku sendiri pun tidak tahu apakah aku boleh lakukan haji selepas haji yang aku lakukan ini"

3. Persediaan diri dari sudut rohani dan jasmani

Seseorang mampu meraih haji mabrur dengan persediaan diri yang mantap iaitu sentiasa melakukan taubat nasuha, sumber yang halal untuk mengerjakan haji, memilih kawan-kawan yang mempunyai ciri-ciri soleh, menunaikan hak-hak manusia sekeliling, gemar untuk memberi nasihat kepada ahli keluarga dan merasai ketenangan jiwa sebelum berlepas ke Tanah Suci.

4. Sentiasa melakukan amalan yang baik-baik

Berbuat baik terhadap ahli keluarga terutama isteri dan anak-anak, berakhlak mulia, suka melakukan yang makruf, berbuat-baik kepada manusia dengan pelbagai bentuk kebaikan samada melalui perkataan, ungkapan, perbuatan, contoh teladan, membelanjakan harta pada perkara baik terutama keluarga, belanja orang-orang yang baik, menunjukkan sesuatu kebaikan (ajaran agama) kepada yang tidak mengetahui dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Menurut Abdullah bin Umar bin al-Khattab: "Sesungguhnya perkara yang baik itu terlalu banyak, walaupun hanya sekadar memaniskan muka dan bercakap lembut"

5. Memperbanyakkan melakukan perkara-perkara yang bersifat ketaatan

Antaranya menjauhkan segenap bentuk maksiat, menyegerakan solat lima waktu dalam keadaan berjemaah di masjid/surau, berkata benar dalam apa jua keadaan dan membiasakan diri dengan sifat-sifat terpuji. Inilah bekalan terbaik bagi bakal haji kerana baginda s.a.w ada menyebut dalam hadisnya yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak pula berkata kesat, memaki, mencela dan sebagainya, maka dia memperoleh haji mabrur (seolah-olah bersih tiada dosa seperti baru dilahirkan oleh ibunya)

6. Mengetahui rahsia-rahsia haji

Bakal haji perlu mengetahui beberapa rahsia haji yang tersirat khususnya mengenai rukun dan hukum haji dengan baik, merasakan bahawa ia adalah syiar agung Allah s.w.t, merasakan bagaikan sudah berada di alam akhirat dam kiamat, perjalanan ke Tanah Suci tidak sama perjalanan untuk melancong ke tempat lain kerana ia adalah seruan Ilahi Yang Maha Agung.
Terdapat amalan-amalan haji yang menyerupai alam kiamat seperti wukuf di Arafah (macam berada di Padang Mahsyar), berihram seperti pakaian di sana nanti dan bermacam-macam lagi.

7. Mengecapi manfaat daripada pelaksanaan ibadat haji

Bakal haji merasakan pertemuan dengan saudara-saudara seagama dari seluruh pelosok dunia bagaikan dalam satu persidangan kemuncak umat Islam. Pertemuan dengan pelbagai jenis dan rupa bentuk manusia yang datang dengan niat yang satu iaitu untuk menyembah Allah s..w.t. Sesungguhnya mereka yang datang menemui Allah s..w.t berusaha utuk menjadi hamba-hambaNya yang bertakwa kerana semulia-mulia mereka adalah yang paling bertakwa kepada Allah s.w.t

8. Istiqamah berterusan dengan amalan Islam selepas bergelar haji

Antara tanda haji mabrur ialah istiqamah seseorang itu selepas berjaya mengharungi pelbagai kesulitan ketika berada di Tanah Suci, mula menunjukkkan perubahan diri seperti tidak meninggalkan solat berjemaah, berpuasa sunat Isnin dan Khamis, bangun malam untuk dua rakaat tahajjud seperti kata-kata masyur Imam Hasan al-Basri : "Haji mabrur itu menjadikan seseorang itu zuhud di dunia dan beramal gigih untuk hadapi alam akhirat".
Ini kerana amalan haji itu adalah tarbiyah yang paling berkesan melahirkan insan-insan yang berakhlak mulia, sabar, tawaduk, lemah lembut dalam pertuturan, bersikap tenang, menjauhi sifat pembohong, mengumpat, mencerca manusia dan sebagainya.

Itulah di antara faktor yang mampu menjadikan seorang yang bergelar haji itu meraih haji mabrur iaitu bersih daripada segenap dosa besar yang melampaui batasan agama seperti anak kecil yang baru dilahirkan daripada perut ibunya.


.

16.10.09

Kelebihan Solat Sunat

.
.
Bismillahirrahmanirrahim
.
Anas r.a meriwayatkan bahwa Rasulullah s.a.w bersabda:
.
"Apabila seseorang bersolat pada waktu-waktu yang ditetapkan dengan wuduk yang sempurna, dengan rasa penuh hina dan tawaduk dan dengan qiam, rukuk dan sujud dilakukan dengan memuaskan maka solat yang sedemikian itu akan naik dengan rupa yang bercahaya dan indah serta akan mendoakan orang itu dengan kata-kata: "Semoga Allah peliharamu sebagaimana kamu telah memeliharaku"
.
Sebaliknya pula kalau seseorang tidak teliti menjaga solatnya dan dia tidak mengambil wuduk dengan sempurna dan qiam, rukuk serta sujudnya tidak dilakukan dengan tertibnya, maka solatnya naik dengan rupa yang gelap lagi buruk dan ia akan mengutuk orang itu dengan kata-kata: "Semoga Allah membinasakanmu sebagaimana kamu telah membinasakanku". Lalu ia dilemparkan ke muka orang itu seumpama kain buruk dilempari.
.
Hadis diatas menunjukkan kutukan yang akan diterima untuk orang yang tidak menjaga solatnya seumpama gagak mematuk sesuatu.
.
Rasulullah s.a.w bersabda:
.
"Umpamanya orang yang rukuknya tidak sempurna adalah seperti seorang wanita hamil yang kandungannya gugur sebelum lahir"
.
Abu Hurairah menceritakan, kami mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
.
"Yang mula-mula sekali seseorang itu akan disoal pada Hari Qiamat ialah solatnya - seseorang itu akan berjaya dan akan mencapai maksudnya kalau solatnya diterima dan dia akan gagal serta rugi besar kalau solatnya ditolak. Sekiranya sebarang kekurangan didapati dalam solat fardunya Allah s.w.t berfirman (kepada malaikat): "Carilah dalam catitan, kiranya dia ada bersolat sunat"
.
Maka kekurangan dalam solat fardunya akan diganti oleh solat sunatnya. Amalan-amalan yang selainnya (umpama puasa, zakat dll) akan disoal sedemikian rupa juga"
.
Hadis ini menunjukkan bahwa kita patut memperbanyakkan solat sunat supaya solat sunat itu dapat menampung kekurangan dan kecacatan dalam solat fardu. Kebanyakkan manusia menganggap sudah memadai dengan menunaikan solat fardu sahaja. Tetapi adakah solat fardu itu sudah memuaskan dan mencapai tahap keredhaan Allah s..w.t
Cubalah kita renung-renungkan.
.
Wallahualam


.

11.10.09

Khusyuk Dalam Solat

.
.
Bismillahirrahmanirrahim
.
Sabda Nabi s.a.w :
.
"Solat adalah sebaik-baik perintah yang diperintahkan oleh Allah"
.
"Lima kali solat setiap hari itu umpama sebuah anak sungai yang dalam mengalir di depan pintu rumah seseorang yang mandi di dalamnya lima kali sehari"
.
Firman Allah dalam surah Al Baqarah:45
.
"Dan carilah pertolongan dengan sabar dan solat, dan bahawasanya memohon pertolongan dengan sabar dan solat itu sungguh berat dan sukar kecuali bagi orang-orang yang khusyuk"
.
Imam Ghazali mengatakan
.
"Engkau menjaga jiwa solat iaitu ikhlas dan kehadiran hati dalam segala bahagiannya. Maka janganlah engkau sujud dan rukuk melainkan apabila hati engkau sudah bersedia melainkan khusyuk, dengan apa yang dikerjakan oleh anggota zahir engkau kerana yang dikehendaki solat ialah kepatuhan hati, bukan kepatuhan anggota badan"
.
Anggota yang zahir dan yang batin iaitu hatinya, jiwanya, perasaannya, fikirannya mestilah sama-sama mendirikannya barulah sempurna pengertian solat yang sebenar.
.
Cara mencapai solat yang khusyuk adalah seperti berikut:
  • YAKIN - Seratus peratus sesungguhnya Allah tidak jauh dari urat lehermu
  • SABAR - Mengerjakan solat tidak tergopoh gapah
  • REDHA - Mengerjakan solat dengan penuh penyerahan diri kepada Allah s.w.t
  • IKHLAS - Mengerjakan solat dengan penuh kesedaran tanpa paksaan
  • IMAN - Segala tentuan Allah Qada' dan Qadar datang dari Allah s.w.t
  • ILMU - Mengetahui tentang syarat dan rukun solat yang sebenar
  • AKAL - Sihat dan waras tidak gila atau mabuk
.
1. Matikan dirimu sebelum mati
.
Sewaktu berdiri tegak lurus untuk mengerjakan solat, niatlah dihati bahawa solat ini adalah solat yang terakhir di dalam hidup kita dan apabila selesai solat ini seolah-olah kita akan mati menghadap Ilahi. Disamping itu datanglah perasaan bahawa kita tidak berpeluang lagi untuk mendirikan solat ini dan tidak berpeluang untuk menebus dosa dan kesilapan yang telah dilakukan semasa hidup didunia ini. Inilah cara yang paling afdhal untuk mematikan diri di dalam solat yang khusyuk
.
2. Butakan matamu sebelum buta
.
Pertama, kedua biji mata hendaklah dipejamkan. Pandanglah keatas, kemudian kedua kelopak mata setengah tertutup. Satukan pandangan ke tengah-tengah batang hidung
.
3. Pekakkan telingamu
.
Sewaktu membaca surah atau ayat hendaklah hati dahulu yang membacanya seolah-olah mulut mengikut hati membacanya. Ketika itu pendengaran zahir tidak kita hiraukan, malah pendengaran batin sahaja yang kita tahu iaitu suara hati yang membacanya.
Untuk mempraktikkannya kita boleh cuba dengan menutup kedua mata. Kemudian baca Surah Al Fatihah di dalam hati dan dengarkan dengan pendengaran batin tentu kita akan mendengar hati kita membaca ayat. Itulah suara hati.
.
4. Sedari dirimu dhaif tidak berilmu melainkan Allah
.
Kita menyedari hakikat diri kita seorang hamba yang dhaif dan tidak mempunyai ilmu yang dapat mengatasi Kudrat Allah s.w.t
.
5. Jangan bercakap perihal dunia dalam solat
.
Kita menyedari bahawa kita sedang solat dan ketika sedang solat tidak boleh bercakap tentang hal-hal keduniaan. Di saat kita solat, tarik nafas dari pusat (perut) secara perlahan-lahan sambil hati membaca ayat dan sampai terasa berdenyut-denyut di ubun-ubun. Kemudian tahan sejenak. Nafas turun barulah lisan (mulut) membacanya.
.
Untuk mendapatkan solat yang lebih khusyuk lamakan masa sewaktu rukuk dan sujud. Jadi selamat menjalani solat semoga akan menjadi lebih khusyuk.
.
Wallahualam
.

30.9.09

Doa Ditolak

.

Pada suatu waktu Ibrahim bin Adham, seorang ulama sufi terkemuka berkunjung ke Basrah. Sesampai dia disana, para penduduk di negeri tersebut mengajukan pertanyaan kepadanya:
"Apakah sebabnya keadaan dan nasib kami tidak berubah, pada hal kami selalu berdoa kepada Allah. Dan bukankah Allah berjanji akan memperkenankan setiap doa ditujukan kepadaNya, seperti tersebut dalam Al Quran..?
Mendengar pertanyaan tersebut, Ibrahim bin Adham menjawab, "Ketahuilah, saudaraku, bahawa sebab-sebab doa ditolak ada sepuluh perkara iaitu:
  1. Seseorang itu mengaku kenal Allah tetapi hak-hakNya tidak dipenuhi. (Hak Allah ialah disembah. Menyembah Allah sama halnya mentaati semua perintahNya dan menjauhi semua laranganNya)
  2. Seseorang itu membaca Al Quran, tetapi isi kandungannya tidak diamalkan sama sekali.
  3. Seseorang itu mengaku mencintai Nabi s.a.w tetapi sunnah-sunnahnya tidak dilakukannya.
  4. Seseorang itu mengaku bahawa syaitan itu musuhnya tetapi dia selalu mengikut telunjuknya.
  5. Seseorang itu berdoa untuk melepaskan diri daripada seksa api neraka tetapi dia mencampakkan dirinya kedalamnya dengan selalu membuat dosa.
  6. Seseorang itu selalu berdoa untuk masuk syurga tetapi tidak beramal untuknya.
  7. Seseorang itu mengatakan bahawa kematian itu pasti akan datang tetapi dia tidak mempersiapkan untuk menghadapinya.
  8. Seseorang itu sibuk mencari aib saudaranya tetapi dia tidak mahu melihat aib dirinya sendiri.
  9. Seseorang menikmati nikmat Allah tetapi dia tidak bersyukur kepadaNya.
  10. Seseorang itu menguburkan saudaranya yang meninggal dunia tetapi dia tidak mahu mengambil pengajaran daripada peristiwa itu.

Sebab-sebab lain doa-doa ditolak yang biasa berlaku pada kebanyakkan orang

  1. Menderhaka kepada Allah seperti meninggalkan solat lima waktu dan lain-lain lagi.
  2. Menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa dan guru-guru.
  3. Memutuskan silaturrahim atau suka bermusuh-musuhan.



Wallahualam

15.9.09

Agar Selamat Dan Tidak Tersesat







Sesungguhnya perjalanan ke syurga itu penuh ranjau. Untuk melayakkan diri kita ke syurga
pelbagai ujian dan cabaran harus ditempuhi. Dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t dan
Rasulnya serta menjauhi larangannya kita memerlukan semangat dan kekuatan yang bermula dari keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Kewajipan mengerjakan solat, puasa, haji, zakat dan amalan baik amatlah susah kecuali bagi mereka yang beriman.

Pesanan Nabi s.a.w
" Jalan ke syurga dikelilingi dengan kepayahan manakala jalan ke neraka pula dikelilingi dengan nafsu dan syahwat "

Syaitan sentiasa membisikkan manusia supaya mengikut hawa nafsu menuju kearah kejahatan lagi menyesatkan. Terpulanglah kepada kita untuk memilih jalan yang mana untuk diikuti. Tepuk dada tanya iman.

Wallahualam.


p/s Selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri buat rakan-rakan blogger

10.7.09

Kelebihan Umat Nabi Muhammad s.a.w

.
Umat Nabi Muhammad s.a.w Adalah Pejuang Kebenaran
.
.
Sabda Nabi s.a.w :
.
.
"Sekumpulan daripada umatku akan berterusan menzahirkan kebenaran. Walaupun terdapat orang yang mengecewakan (tidak membela dan menolong) mereka, sehinggalah tiba hari kiamat, mereka tetap dalam keadaan demikian"
.
.
Umat Nabi Muhammad s.a.w adalah semaian Allah
.
.
Sabda Nabi s.a.w :
.
.
"Allah akan terus 'menyemai' di dalam agama ini suatu 'semaian' yang Allah menggunakannya untuk ketaatan kepadaNya"
.
.
.
Umat Nabi Muhammad s.a.w Akan Mendapat Kekuasaan Di Muka Bumi
.
.
Sabda Nabi s.a.w :
.
.
"Berilah khabar gembira kepada umat ini dengan keagungan, ketinggian, kemenangan dan kekuasaan di bumi. Sesiapa yang mengamalkan amalan akhirat kerana dunia, ia tidak mendapat bahagian (ganjaran baik) di akhirat"
.
.
.
Tiada Perbezaan Darjat Antara Umat Nabi Muhammad s.a.w
.
.
Sabda Nabi s.a.w :
.
.
"Perumpamaan umatku adalah seperti hujan, tidak diketahui sama ada awalnya atau akhirnya yang baik"
.
.
.
Umat Nabi Muhammad s.a.w Akan Mendapat Hikmah Berkasih Sayang
.
.
Sabda Nabi s.a.w :
.
.
."Seorang itu adalah bersama dengan orang yang ia kasihi"
.
.