30.12.10

Rahmat yang dicari...

.

Assalamualaikum wbt..

Rahmat bermaksud kasih sayang. Seseorang anak mendapat kasih sayang dari ibubapanya. Sesekor kucing mendapat kasih sayang dari tuannya. Begitu juga manusia, mereka mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang mencipta iaitu Allah SWT.


Walaupun Allah SWT, Tuhan yang sudah pasti akan memberikan kasih sayang kepada hambaNya, bukan bermakna hambaNya boleh berbuat 'lebih kurang' sahaja denganNya. Ia tidaklah bermakna manusia boleh berbuat sesuka hati dalam soal ketaatan terhadap segala perintah yang telah Allah SWT tentukan untuk mereka. Segala suruhan dan laranganNya hendaklah dijunjung sepenuh hati tanpa sebarang persoalan.


Seorang anak yang kurang ajar dengan ibubapa jarang disayangi oleh keluarga. Seorang murid yang biadap, kurang mendapat perhatian guru, walau sebaik mana pun guru tersebut.


Begitulah juga Allah SWT dalam memberikan kasih sayangNya kepada manusia. Jika manusia itu tidak melakukan perkara yang boleh melahirkan kasih sayang Allah SWT terhadap mereka, sudah pasti Dia memberikan kasih sayangNya kepada makhluk yang lain.


Justeru, tidak hairanlah jika kita melihat didalam Al Quran, kita akan mendapati bahawa Allah SWT sanggup membinasakan sesuatu kaum yang ingkar, lantas menggantikan mereka dengan kaum yang lain, kaum yang meletakkan kecintaan mereka kepadaNya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al Maidah: 54 yang bermaksud,
.
"Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa dari kalangan kaum yang murtad (kerana tidak sayangkan Allah), pasti Allah akan mendatangkan satu kaum yang Allah sayangi mereka dan mereka menyayangiNya"

Makanya, kecintaan terhadap Allah SWT perlu diletakkan dalam setiap jiwa manusia, agar kecintaan itu akan dibalas oleh Allah SWT dengan segala balasan yang baik, terutama ketika menghadapNya di akhirat nanti.

Jangan sesekali memandang ringan terhadap tanggungjawab melaksanakan perintah Allah SWT sebagai bukti kecintaan kita kepadaNya, agar kelak kasih sayangNya sentiasa menaungi hidup kita di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.


Elakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh membawa murka Allah SWT kepada kita, kerana kemurkaan Allah SWT akan menyebabkan hilangnya kasih sayang Allah SWT terhadap kita. Dan tatkala kasih sayang Allah SWT terhadap kita lenyap, maka natijah buruklah jua yang akan menimpa sama ada di dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak.


Wallahu'alam.



p/s...semoga Allah SWT melimpahkan rahmat kasih sayangNya kpd kita semua. Ameen..


2.12.10

Kembali ke Pangkuan Mu

.


~ Bismillahirrahmanirrahim ~
Allah SWT berfirman:
“Kepada Allah jualah kembalinya kamu, dan Dia amat berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu”(Surah Hud : 4)

Kepangkuan Allah SWT tempat kembalinya setiap makhluk. Walaupun kamu kaya, miskin, alim, raja yang memiliki kerajaan dan istana yang indah, semuanya akan dihadapkan kepada Allah SWT juga. Oleh kerana kepercayaan kepada hari kiamat ini terpacak dalam minda orang Islam, walaupun kita dizalimi kita mampu bergerak di dunia ini. Ini kerana kita benar-benar yakin bahawa kezaliman hanya berlaku kepada sesama manusia sahaja. Kezaliman berlaku di dunia ini kerana manusia bertindak atas dasar kepentingan diri.

Adakah Tuhan berbuat zalim kepada manusia? Jawapannya tidak! Kerana Dia tidak ada kepentingan diri. Dia tidak berkehendakan kepada material. Apabila Tuhan tidak ada kepentingan kepada manusia, apabila manusia berbuat zalim Dia akan menjatuhkan hukuman setimpal dengan kezalimannya. Jika tidak dihukum di dunia, pasti penzalim itu akan dihukum di akhirat kelak.

Kita harus ingat, setiap amalan kita akan tetap dihadapkan kepada Tuhan. Kita akan tetap berlutut dihadapan~Nya. Ingatan yang seharusnya disemat dalam diri setiap Muslimin bahawa akan tiba masanya, semua akan kembali kepada Yang Maha Esa sama ada dia bersedia ataupun tidak. Jika seseorang Muslim itu benar-benar menyedari hakikat ini, pasti mereka akan berhenti daripada melakukan kejahatan dan juga kezaliman.

Allah SWT berkuasa sepenuhnya ke atas semua perkara yang ada di langit dan di bumi. Dia mampu merebut apa sahaja yang kononnya diisytiharkan menjadi hak milik mutlak manusia yang juga makhluk~Nya. Kekuasaan Allah SWT bersifat kekal tidak seperti kekuasaan yang ada pada setiap manusia. Sehebat manapun kuasa manusia, kekuasaan Allah SWT tetap mengatasi segala kuasa yang ada dengan sifat~Nya sebagai Al Khaliq kepada setiap ciptaan~Nya.

“Wahai Tuhan! Kurniakan kepada kami hasanah di dunia dan hasanah di akhirat”

Kebaikan di dunia dan di akhirat. Taraf dunia dan taraf akhirat sama-sama penting dan sama-sama diperlukan. Jika tersilap langkah, bukan Islam yang sarankan, bukan Nabi Muhammad SAW yang anjurkan, tetapi itu kesilapan insan. Silap membuat pertimbangan terhadap kedua-duannya, silap kerena melebihkan dunia dan meninggalkan akhirat atau silap kerana meninggalkan dunia dan melebihkan akhirat. Sedangkan kedua-duanya perlu diseimbangkan.

Sebanyak manapun urusan yang kita kerjakan setiap hari, amalan solat, puasa serta mengerjakan haji ke Mekah bergantung kepada niat.
Sabda Rasulullah SAW, “Semua amal perbuatan manusia bergantung kepada niat”

Walaupun niat letaknya di dalam hati, tetapi ia tidak berada di situ sepanjang masa. Ia juga tidak hanya bergulung dalam hati tetapi keluar melalui kaki, tangan , mulut, hidung dan seluruh anggota badan kita. Apabila kita berkata-kata, ia mempamerkan isi hati kita. Apabila tangan kita bergerak, ia turut menunjukkan isi hati kita. Kalau baik niat kita, ia boleh digambarkan melalui perbuatan, melalui kata-kata.

Kalau niat kita mengharapkan keselamatan dunia dan akhirat, maka mulut kita juga harus berkata-kata perkara yang membolehkan penuturnya selamat di dunia dan di akhirat. Begitu juga kaki dan tangan yang kita gerakkan untuk mencari harta. Carilah harta yang boleh menyelamatkan kita di dunia dan juga di akhirat, bukan harta yang menjadi asbab kita diazabkan dengan balasan yang pedih di neraka Allah SWT pada hari akhirat nanti kelak.

Justeru, dalam bidang apa sekalipun pekerjaan kita sama ada politik, pendidikan, perubatan, perundangan dan sebagainya, jadikan pekerjaan itu sebagai penyelamat di akhirat kelak. Apabila kita berpolitik, pilihlah parti politik yang boleh menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat. Begitu juga apabila kita berkerajaan, kita bukan sekadar inginkan kuasa, tetapi melalui kuasa yang dimiliki, boleh membawa diri kita sendiri dan rakyat jelata sejahtera di dunia dan di akhirat. Begitu juga dengan pekerjaan yang lain. Jadikan ia asbab untuk menerima ganjaran yang tidak ternilai daripada Allah SWT di akhirat kelak.


25.11.10

Muhasabah

.
.
.
Bila kita memulakan sesuatu..

Kadang-kadang kita lupa untuk meletakkan niat,
Kadang-kadang kita lupa untuk membaca Bismillah,

Sebab itu bila ada masalah, kita cepat menyerah.

.
.
Bila kita berniat..
Kadang-kadang kita lupa meletakkan usaha,

Kadang-kadang kita tunggu disergah baru nak mengolah,
Sebab itu bila kerja tidak menjadi, kita mula angkat kaki.

.
.
Bila kita berusaha..
Kadang-kadang kita lupa pula untuk berdoa,
Siang malam kerah tenaga dan masa,
Sebab itu bila kerja masih tidak sempurna, kita mudah putus asa.

.
.
Bila kita berniat, berusaha dan berdoa,

Kadang-kadang kita lupa pula nak bertawakkal pada yang Maha Esa,

Bertawakkal pun hanya pada bicara tetapi di hati masih buta,
Sebab itu bila dilanda masalah, kita marah tak tentu hala.
.
.
Bila kita berniat, berusaha, berdoa dan bertawakkal,
Kadang-kadang kita tetap alpa,
Untuk mengucapkan Alhamdulillah pun payah sekali,

Berdoa pun sekali sekala,
Bersyukur sekejap cuma..
Sebab itu bila kita ‘berjaya’..
Allah datangkan kita ujian dan musibah,

Supaya kita ingat dan kembali ke jalan redhaNya,

Tapi kita kecewa sampai mencari jalan mudah..

Membenci diri memusuhi nadi.

.
.
Sedangkan..

Kita manusia ciptaan Allah,

Bernafas di udara yang sama,

Bila lemah Allah itu ada,

Bila derita Allah itu bersama,

Senang, susah, sedih, gembira..

Allah tidak lupa pada langkah kita..
Tetapi sememangnya lahiriah kita,

Kadang-kadang kita lebih suka dipuji,

Sebab itu kita jarang memuji yang Maha Terpuji,

Kadang-kadang kita lebih suka dicintai,
Sebab itu kita lupa menyintai yang Maha Menyintai,

Kadang-kadang kita lebih suka menyendiri,

Tetapi lupa Allah sedang memerhati.

.
.
Sebab itu teruskan bermuhasabah pada Pencipta,

Kerana dalam Firman Allah,

.
"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."
(Surah Ar-Ra’d: 11)
.
.
Kerana itu..
Pada masalah harus bersabar dan redha,
Pada ujian harus tabah dan teguh,

Pada kegagalan harus usaha, doa dan tawakkal,

Pada kejayaan harus usaha, doa dan tawakkal.
Sama tetapi tidak serupa,
Kerana kejayaan di dunia bukan pengukur kejayaan di sana,

Kekayaan harta di dunia bukan jaminan kebahagiaan di sana,
Kesusahan dan penderitaan di dunia belum tentu bersambung di sana,

Kealpaan kita di dunia pasti menjadi kesakitan kita di sana,
.
.
Di sana itulah yang perlu kita kejar, agar dunia mengikuti kita dengan redha,
Di sana.. Akhirat yang pasti.
Syurga yang terindah atau neraka yang menyala..
.
.

16.11.10

~ SALAM AIDILADHA ~

.
.
.
SAAT BERDERAI JATUH TITISAN AIR MATA NABI IBRAHIM AS
.
MELIHATKAN KETEGUHAN IMAN ANAKNYA NABI ISMAIL AS
.
DI KALA ITULAH BERMULANYA SEJARAH AGUNG
.
ERTI SEBUAH PENGORBANAN...
.
SALAM AIDIL ADHA PADA SEMUA SAHABATKU
DIMANA JUA ANDA BERADA...
.
SEMOGA PARA-PARA JEMAAH HAJI MENDAPAT
HAJI YANG MABRUR
INSYAALLAH

.
video


.

14.11.10

Inikah hakikat solat ??

.
(difahamkan mereka sedang menunaikan solat tarawih)
.
.
~ Bismillahirrahmanirrahim ~
.
Sabda Rasulullah SAW:
"Sembahyanglah sebagaimana kamu lihat aku sembahyang"
(HR Bukhari dan Muslim)

.
.
Sabda Nabi SAW:
"Sesungguhnya solat itu adalah ketenangan hati dan kerendahan diri dan permohonan jiwa"
.
.
Sabda Nabi SAW lagi:
"Ketika kau berdiri untuk solat, ucapkan takbir lalu bacalah (surah dari Al-Quran) kemudian rukuklah hingga kau merasa tenang (tuma'ninah). Kemudian angkatlah kepalamu dan berdiri lurus, lalu sujudlah hingga kau merasa tenang selama sujudmu, kemudian duduklah dengan tenang dan kerjakanlah hal yang sama dalam setiap solatmu." (HR Bukhari & Muslim)
.
.
Sabda baginda Rasulullah SAW:
"Jangan kamu mencuri di dalam solat.." Lalu bertanya para sahabat,"Bagaimana dikatakan mencuri di dalam solat itu ya Rasulullah". Baginda menjawab "Orang yang mencuri dalam solat itu ialah orang tidak sempurna rukuk dan sujudnya".
.
.
Ulama fiqh mengatakan, tidak sempurna rukun maka tidak sempurnalah solat nya..
.
.
Dalam video ni, kalau begitulah rukun Fe'linya bagaimana agaknya rukun Qalbinya? Dapatkah mereka menghadirkan hati dan khusyuk ketika tu...? wallahu'alam (semoga Allah mengampunkan mereka)
.
.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan sembahyanglah kamu untuk ingat pada Ku."
.
Kerja 'ingat' ini, alatnya adalah Hati, maka rukun hati itu juga dikatakan oleh Imam Ghazali, 'Khusyuk Hati' itu sebagai ruh solat. Jasad tanpa ruh adalah mati (mayat tidak bernyawa).
.
.
Orang yang mencapai kepada hakikat solat berdasarkan pada ayat di atas adalah orang yang hadir ingatan hatinya kepada Allah ketika solat, dan rasa tawadu' dan rendah hatinya, akan dapat dilihat pada zahir perbuatan solatnya yang sempurna rukun fe'linya, tertib, bersederhana, dan tenang pergerakannya.
.
.
Sehingga akan terbit kehidupan seseorang itu, natijah dari solat yang sempurna zahir dan batin itu mencapai kepada firman Allah SWT:
" Inna solata tanha a'nil fahsa i wal munkar"
Sesungguh solat itu (solat yang mencapai hakikat solat) dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.

.
.
Maka akan lahirlah perasaan kehambaan pada orang yang solat itu, merasa dirinya sentiasa di lihat oleh Allah dalam kehidupannya bahkan dia memandang alam ini adalah Asma' asma dan sifat-sifat Allah SWT yakni mencapai ia kepada martabat "Ihsan".
.
.
Maka, marilah kita merenung.. Apakah solat kita, sudah mencapai hakikat solat yakni dapat mencegah diri kita dari perbuatan keji dan mungkar, yakni mencegah ia akan kita daripada dosa-dosa zahir dan dosa-dosa batin yang penuh dengan mazmumah dan kesombongan.
.
.
Semoga Allah melimpahkan rahmatNya buat kita semua. InsyaAllah...

.

9.11.10

Sekadar berkongsi ceriter buat renungan...

.
Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini.

.
"Tapi pak cik kena bayar segera bahagian makcik yang masih tak cukup tiga ribu lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat," beritahu pegawai itu lagi.
.
"Insya Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera," janji Pak Uwei.
.
Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya.
.
Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah.
.
"Pah... oo..Pah!" teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.
.
"Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?" tanya Mak Pah.
.
" Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan tertunai. Insya Allah dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai, " cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri.
.
"Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai."
.
"Betullah Pah oii... saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu, tiga ribu lagi kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan."

"Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu." Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.
.
"Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja." Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.
.
"Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita berunding," cadang Pak Uwei.
.
"Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti nak ke Mekah minta duit anak-anak." Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.
.
"Pah... Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh, lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni." Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya.
.
"Tapi bang?... "
.
"Dahlah... pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu," pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya.
.
Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.
.
"Insya Allah Kis balik nanti abah. Emm... abah nak Kis suruh Intan balik sama?" tanya Balkis.
.
"Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya?... ," balas Pak Uwei.
.
Bukannya dia membeza-bezakan anak-anak tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia tersangat geram. Sudahlah malas belajar tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah.
.
Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab tidak sah.
.
Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.
.
"Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi." Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang.
.
"Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram. " bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei.
.
"Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?"
.
"Itulah abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya, hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh, abah." Intan cuba membuat abahnya faham.
.
"Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap abah macam kau ni!"
.
"Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang, kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang," balas Intan selamba menyemarakkan lagi bara dalam dada abahnya.
.
"Anak tak mendengar kata!!, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi... aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke?, telangkup ke?, gasak kaulah. Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!!"
.
Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak memperdulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak memperdulikannya.
.
Intan selalu menghulur duit tapi hanya kepada maknya sahaja. Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya.
.
Malam itu selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isya.., mereka duduk berborak di ruang tamu.
.
"Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni, ada hajat sikit," Pak Uwei memulakan bicara.
.
"Hajat apa pula abah?" tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.
.
"Abah dan mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai.
.
Memandangkan bahagian mak kau masih belum cukup lagi abah nak minta Kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah," Pak Uwei mengutarakan hasratnya.
.
"Boleh tu boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru aje keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan," ujar Muaz.
.
"Tapi... pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan."
.
"Kalau dalam seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan," jawab Muaz serba salah.
.
"Kau beli rumah lagi? Rumah yang ada tu kau nak buat apa?" tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya.
.
"Rumah baru tu besar sikit, abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi abah, pelaburan masa depan juga," sampuk Mira isteri Muaz.
.
Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. "Kamu macam mana Kis, boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki durian berbuah kat dusun kita tu nanti," Pak Uwei berpaling Pada Balkis.
.
"Kis pun rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah... ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi." Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.
.
"Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman."
.
"Betul kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok," sokong Muaz.
.
Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya.
.
"Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki mak pula pergi," Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.
.
"Kalau nak pergi sendiri, dah lama saya pergi Pah!. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi... dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?" Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.
.
Intan tahu abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya tapi Intan faham kecewa abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.
.
"Anak awak tu tak balik ke?" tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama abang dan kakaknya.
.
"Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti," balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya.
.
"Nak ke mana pulak tu?" tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.
.
"Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya Intan, kuih lepat ubi kegemarannya." Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut anaknya.

.
Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak. Pagi Isnin tu selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar.
.
"Nak ke mana Intan pagi-pagi lagi dah bersiap ni?"
.
"Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye."

.
"Kalau nak ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan," suruh Mak Pah.
.
"Tak payahlah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah tu. Intan pergi dulu." sambil mencium tangan Mak Pah yang menggeleng kepala memerhatikan Intan berlalu pergi.
.
Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati, membuat anaknya itu menyisihkan diri. Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.
.
"Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api."
.
"Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya," usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.
.
"Mak bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak," jawab Pak Uwei sinis. Intan tersenyum pahit.
.
Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu.
.
Abahnya sedang membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.
.
"Mak, abah... Intan ada hal sikit nak cakap ni... ," ujar Intan menghampiri mereka.
.
Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.
.
"Apa hal... kamu nak kahwin ke?" soal Pak Uwei merenung Intan.
.
Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya.
.
Melihat Intan tergelak besar Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.
.
"Abah ni... ke situ pulak...."

.
"Habis tu?"
.
"Ini... Buku Tabung Haji mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ni, resit memasukkan duit ke akaun mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti." Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei.
.
"Apa??" Pak Uwei terkejut matanya merenung Intan dan duit di tangannya bagai tidak percaya.
.
"Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal abah, terimalah.
.
Selama ini Intan banyak kali kecewakan abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada abang Az dan Kak Balkis.
.
Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah selalu kecewa dengan Intan.
.
Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat abah. Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pula tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai.
.
Intan harap, abah sudi terima pemberian yang tak seberapa ini dari Intan," tutur Intan perlahan memerhatikan airmata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.
.
"Terima kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu... dulu abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi akhirnya anak abah yang kerja kilang yang membantu abah," luah Pak Uwei sambil mengesat airmata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.
.
"Sudahlah abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira abah sudi terima pemberian Intan."
.
"Pemberian kau ni terlalu bernilai bagi abah dan mak kau Intan..." ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat.
.
"Hah... tulah, jangan suka memperkecil- kecilkan anak saya ni," Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat airmata penuh kesyukuran.
.
"Mak ni... ," gelak Intan memandang abahnya yang tersengih.
.
Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah.
.
Intan memerhati dengan perasaan gembira dan bercampur hiba.
.
"Semua dah siap ke mak?" tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.
.
"Dah rasanya... ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana nanti?"
.
"Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak. Yang penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna."
.
"Hah, awak dengar tu... kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah," tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua-beranak itu.
.
"Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana . Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat," pesan Intan sambil memeluk emaknya.
.
Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.
.
**********************************************************
.

Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati.
.
Perasaan rindu pada anak-anak terutama Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di tanah suci. Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh.
.
"Kenapa resah aje ni, bang?" Mak Pah terjaga.
.
"Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita."
.
"Sabarlah, dah nak sampai dah ni," pujuk Mak Pah. Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.
.
"Mak... abah... ," Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan airmata menitis laju.
.
"Mana yang lain ni, kamu berdua aje?" Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.
.
"Mereka menanti di rumah, abah," beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei.
.
"Intan pun tak datang juga ke?" Tanya PakUwei terasa hampa.

.
"Awak ni... kan Man dah kata mereka menunggu di rumah." Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya.
.
Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena.
.
"Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati." cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman.
.
Muaz diam sambil mengerling Azman yang sedang memandu.
.
"Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit," balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.
.
"Tapi, abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi abah tu, abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun hanya renung abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?"
.
"Err... tak ada abah."
.
Kita berhenti minum dulu abah, tentu mak haus," ajak Azman menukar tajuk perbualan.
.
"Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik," tolak Pak Uwei. Azman dan Muaz hanya berpandangan.
.
Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.
.
"Mak dengan abah sihat ke?" tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.
.
"Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?" Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan.
.
"Naik dulu Ngahnya...," suruh Long Semah.
.
"Intan mana?" Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tangga menuju bilik Intan.
.
Matanya terpaku pada bekas bara yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.
.
"Az... mana Intan? Mana adik kau Az?" tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.
.
"Sabar abah... ," Muaz menggosok belakang abahnya.

.
"Kenapa Az ... kenapa?" Mak Pah menurunkan Syazwan cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan.
.
"Mak... Intan dah tak ada mak," Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah.
.
Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu.
.
Mak Pah terus pengsan.
.
Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.
.
"Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita.
.
Intan pergipun dalam keadaan tenang.
.
Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai," pujuk Long Semah yang masih belum pulang.
.
"Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia," Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah.
.
"Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?" tanya Mak Pah tersedu sedan.
.
"Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak. Sebenarnya dia yang ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah sebelum mak dan abah balik.
.
Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isya.. dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun.
.
Az nak hantar ke hospital tapi katanya masa dia dah tiba.
Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal subuh hari Jumaat mak... tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenangmak," cerita Muaz.
.
Mak Pah mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka.
.
Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan,"Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana . Hanya satu yang Intan mahu, mak dan abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat.."
.
Tamat...
.
.
.
p/s....sebak...

29.10.10

...di sini bermulanya zina




~ Bismillahirrahmanirrahim ~

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah suatu pekerjaan keji dan jalan yang buruk" (Surah Al Isra': 32)


Hati-hatilah terhadap perbuatan zina! Dan janganlah masuk ke-dalam jalan-jalan yang mendekati zina. Sesungguhnya sabar untuk tidak masuk ke jalan-jalan tersebut lebih mudah daripada sabar untuk tidak berzina ketika sudah ada di dalam jalannya.

Maka janganlah mendekati zina dan janganlah masuk ke dalam jalan-jalan yang mendekatinya. Dan diantara jalan-jalan tersebut adalah:



Pertama : Memandang wanita dan auratnya termasuk wajahnya.

 
Ini sangat erat sekali hubungannya dengan zina, hingga Allah berfirman:



"Katakanlah kepada orang-orang beriman laki-laki hendaklah mereka menahan pandangannya dan menjaga kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." (Surah An Nur : 30)
 
Demikian pula Allah memerintahkan kepada wanita agar menahan pandangannya terhadap laki-laki dan menjaga kemaluannya. Allah berfirman :


"Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman hendaklah mereka menahan pandangannya dan menjaga kemaluannya." (Surah An Nur: 31)

Dan karena menutup jalan menuju zina pula Allah memerintahkan para wanita mu'minah agar menutup auratnya. Allah berfirman selanjutnya :

 
"Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudungnya ke dadanya." (An Nur : 31)


Jadi jelas menyaksikan TV atau Video (terlebih film/video/vcd/dvd porno, red), dimana tampil wanita-wanita dengan membuka aurat dan berhias (Tabarruj) termasuk jalan kepada zina yang diharamkan oleh Allah. Demikian pula majalah-majalah, atau gambar-gambar (termasuk gambar cabul, gambar porno, majalah porno yang tersebar baik di media cetak maupun Internet, red).

Kedua : Pendengaran
 
Pendengaranpun bisa menjadi jalan mendekati zina, bila mendengarkan nyanyian-nyanyian wanita yang bukan muhrimnya, apalagi dengan diiringi muzik, dan isinya tentang cumbu dan rayu atau cinta dan kasih dll.


Oleh kerana itu Allah berfirman kepada para istri-istri Nabi SAW, yang mereka itu adalah contoh teladan bagi seluruh kaum wanita muslimah:

"Maka janganlah kalian tunduk (lemah) dalam pembicaraan sehingga menimbulkan keinginan pada orang-orang yang dihatinya ada penyakit...)" (Surah Al Ahzab: 32)


Ketiga : Percampuran atau pergaulan bebas laki-laki dan wanita.
 
Ini adalah jalan yang paling banyak menjerumuskan manusia kepada zina. Betapa banyak perzinaan terjadi yang penyebabnya adalah perkenalan mereka di pejabat, atau keakraban mereka di sekolah, kampus, atau perjumpaan mereka di kendaraan umum, dll.

 
Allah Taala berfirman:

 
"Kalau kamu meminta kepada mereka sesuatu hajat, mintalah dari balik hijab (tabir), yang demikian lebih suci bagi hatimu dan hati mereka." (Surah Al Ahzab: 53)


Keempat : Khalwat (berduaan) dengan seorang wanita yang bukan mahramnya.

 
Ini lebih bahaya dari yang ketiga. Tidaklah seorang laki-laki berduaan dengan seorang wanita yang bukan mahramnya kecuali yang ketiganya adalah syaitan. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a bahwa Rasulullah SAW bersabda:

 
"Janganlah sekali-kali seorang (diantara kalian) berduaan dengan wanita, kecuali dengan mahramnya. (HR Bukhari dan Muslim)

 
Dan baginda juga bersabda:

 
"Janganlah sekali-kali kalian masuk ke (tempat) wanita." Maka berkatalah seorang dari kalangan Anshor : Bagaimana pendapatmu kalau wanita tersebut adalah ipar (saudara istri)?

 
Maka baginda menjawab :



"Ipar adalah maut." (HR Bukhari dan Muslim.)
 
Maka termasuk jalan mendekati zina, perginya seorang perempuan dengan pemandunya, tinggalnya seorang laki-laki di rumah bersama pembantu perempuannya atau lainnya dari bentuk-bentuk khalwat walaupun asalnya berniat baik, seperti menghantarkan seorang wanita ke tempat tertentu.


Demikianlah wahai kaum muslimin, seluruh jalan-jalan kepada zina sudah Allah tutup. Dan semua itu sudah Allah haramkan dalam satu ayat:

"Janganlah kalian dekati zina!" (Al-Israa':32)
 
Dan Rasulullah telah mengatakan dalam satu hadithnya :


Dari Abi Hurairah r.a dari Nabi SAW bahwa baginda bersabda:

 
"Telah ditulis atas anak Adam nasibnya (bagiannya) dari zina, maka dia pasti menemuinya, zina kedua matanya adalah memandang, zina kakinya adalah melangkah, zina hatinya adalah berharap dan berangan-angan, dan dibenarkan yang demikian oleh farjinya atau didustakan,"
(HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Nasa'i).

Dan dalam riwayat lain baginda bersabda:

"Kedua tangan berzina dan zinanya adalah meraba, kedua kaki berzina dan zinanya adalah melangkah, dan mulut berzina dan zinanya adalah mencium." (HR Muslim dan Abu Dawud).


Wahai kaum muslimin kembalilah kepada Allah, sesungguhnya Allah telah memerintahkan agar menjauhi seluruh fahisyah (perbuatan keji):


"...Dan janganlah kamu mendekati fahisyah yang tampak atau yang tersembunyi, dan janganlah membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak. Demikian itu yang diwasiatkan oleh Tuhanmu kepadamu supaya kamu memahami." ,
 
Dan juga Allah mengatakan bahwa diantara sifat-sifat orang mu'min yang akan beruntung adalah seorang yang menjaga kemaluannya dari zina,:


"...Dan orang-orang yang menjaga kemaluan mereka kecuali kepada istri-istri mereka atau perempuan-perempuan yang mereka miliki maka mereka tidak tercela. Barang siapa mencari selain itu maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.." (Surah Al Mu'minun: 5-7)


Maka kembalilah kepada Allah., sesungguhnya Allah akan membalas mereka yang berbuat ihsan dengan ihsan, yaitu orang orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan fahisyah.
. Firman Allah Ta'ala: . "Dan hanya kepunyaan Allahlah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi untuk Allah balas orang-orang yang berbuat kejelekan atas apa-apa yang mereka kerjakan, dan Allah balas orang-orang yang berbuat ihsan (kebaikan) dengan ihsan, yaitu orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan fahisyah kecuali dosa-dosa kecil, sesungguhnya Allah Maha luas ampunan-Nya." (Surah An Najm: 31-32)

Dan ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah mempersiapkan kenikmatan-kenikmatan dan kelazatan-kelazatan disisiNya yang jauh lebih baik dan lebih kekal untuk orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Allah serta menjauhi dosa-dosa besar dan fahisyah. . Firman Allah Ta'ala:

"Dan suatu apapun yang di berikan kepada kalian itu hanyalah kenikmatan hidup didunia, dan apa yang ada di sisi Allah lebih baik dan lebih kekal, untuk orang-orang yang beriman dan hanya kepada Rabb mereka, mereka bertawakkal dan (bagi) mereka yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji (fahisyah) dan apabila mereka marah mereka memaafkan." (Surah Asy Syura': 36-37)


Wahai kaum muslimin kembalilah kepada Allah... dan bertaubatlah kepada-Nya.... Sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang.




sumber: salafus-shalih


27.10.10

Ikhlas Rahsia Allah

.
.
.

~ Bismillahirrahmanirrahim ~

Sabda Rasulullah SAW


"Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsiaKu.

Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaKu yang
Aku mengasihinya"
(HR Abu Hasan Al Basri)

Kerana ikhlas satu rahsia Allah SWT tentu tidak mungkin kita dapat mengetahui siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak. Malah diri kita sendiri pun mungkin kadang-kadang susah untuk dipastikan apakah amalan kita itu ikhlas atau sebaliknya.

Walaupun ikhlas adalah rahsia Allah namun Islam membuat satu garis panduan untuk mengukur hati kita dan membentuknya supaya benar-benar ikhlas.

Di antara tanda-tanda ikhlas dalam satu amalan apabila orang memuji atau mencaci amalan kita, kita rasa sama saja.
Pujian tidak membanggakan kita dan kejian tidak menyusahkan. Itulah tanda ikhlas.


Maknanya amalan itu betul-betul dibuat kerana Allah SWT. Kerana itu kalau manusia cerca, caci atau hina, hati pun tidak cacat, tidak timbul perasaan marah, dendam atau ingin membela diri atau melawan orang yang menghina itu.

Begitu juga, kalau orang puji, pujian itu tidak membekas di hatinya. Tidak timbul rasa bangga, puas hati dan juga tidak bertambah kasih sayangnya pada orang yang memuji itu, disebabkan oleh pujiannya.

Bagi orang-orang yang ikhlas, pujian dan kejian tidak pernah difikirkan apalagi hendak di harapkan. Mereka sangat takut kalau-kalau Allah menolak amalan dan memurkai mereka.

Mereka sanggup mengetepikan kepentingan sendiri dalam usaha mencari keredhaan Allah SWT. Mereka tidak bimbang nasib diri, rugi atau untung, orang keji atau puji, menang atau kalah, yang penting supaya Allah menerima baik amalan mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


"Berbuat baiklah pada orang yang berbuat jahat
kepada kamu"




Seseorang yang mencari keredhaan Allah SWT, akan sentiasa mencari peluang untuk berbakti kepadaNya. Ketika orang lain bertindak jahat pada mereka, mereka akan merasa berpeluang untuk mendapat pahala dan kasih sayang
Allah. Sebab itu kejahatan orang diterima baik dan dibalas dengan kebaikan pula.


Hal itu benar-benar berlaku di kalangan orang-orang soleh dan muqarrobin. Ketika mendengar orang menghina mereka, langsung dihantarnya hadiah pada orang itu.

Bila ditanya apa tujuan hadiah itu, jawapan mereka adalah, "Orang yang menghina kita sebenarnya memberi pahala kepada kita. Memberi pahala sama seperti memberi syurga. Jadi untuk membalas pemberian yang begitu besar pada kita, memang patutlah kita menghadiahkan sesuatu kepadanya"

Begitulah hati yang ikhlas. Semoga Allah SWT mengurniakan kita hati yang ikhlas, sebab ikhlas itu anugerah daripadaNya.



22.10.10

Kisah Rasulullah SAW dan Buah Limau

.
.
Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa terlihat pasti tergiur.
.
.
Baginda menerimanya dengan senyuman gembira.
Hadiah itu dimakan oleh baginda Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan senyuman. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka.
.
.
Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu.
Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak heran dengan sikap Rasulullah SAW itu.
.
.
Lalu mereka bertanya. Dengan senyuman Rasulullah menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam saat saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada diantara kalian akan mengenyitkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung sebab itu saya habiskan semuanya".

.
.
Begitulah akhlak Rasullullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang yang bukan Islam pula.
.
.
Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa?? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berhasil. Rencananya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW. SUBHANALLAH...
.
.
.p/s ...tersenyum bila baca kisah ni..


19.10.10

Hati Yang Kotor Menghijab Amalan Lahir

.
.
Bila hati bersih, sembahyangnya diterima oleh Allah SWT.
Bila hati bersih, puasanya diterima oleh Allah.
Bila hati bersih, perjuangannya diterima oleh Allah SWT.
Bila hati bersih, wirid dan zikirnya diterima oleh Allah SWT.
Bila hati bersih, pengorbanannya diterima oleh Allah SWT.
Tetapi bila hati tidak bersih, seluruh amalan lahirnya tidak akan diterima.
.
.
Sebuah Hadith yang bermaksud:
"Cukup sembahyang sunat dua rakaat daripada hati yang bertaqwa"
.
Dua rakaat sembahyang seorang yang bertaqwa itu lebih baik daripada seorang yang banyak sembahyang tetapi hati masih kotor.
.
.
Selain sembahyang itu diterima, dua rakaat sembahyang dari hati yang bertaqwa itu akan memberi kesan kepada kehidupan seseorang itu. Sembahyangnya itu bisa mencegah dirinya dari berbuat kemungkaran dan kemaksiatan, lahir dan batin.
.
.
Berdasarkan Hadith di atas, kita cukup bimbang sekiranya selama ini kita telah mengerjakan sembahyang, sudah lama berjuang, sedikit sebanyak sudah berkorban, sudah habiskan masa untuk berdakwah, sembahyang berjemaah, ikut jema’ah Islamiah, yang mana ini semua adalah amalan lahir, tidak terima oleh Allah disebabkan hati kita masih kotor. Roh kita masih tidak bersih.
.
.
Oleh itu dalam kita menunaikan kewajipan yang lahir ini, jangan lupa kita memikirkan roh kita. Kerana roh yang kotor itulah yang akan mencacatkan amalan lahir, mencacatkan sembahyang, mencacatkan segala ibadah dan mencacatkan pahala seluruh kebaikan kita.
.
.
Orang yang banyak amal ibadah, di langit yang pertama sudah tercampak amalannya. Kalaupun bisa naik, di langit yang kedua pula tersekat. Begitulah seterusnya di pintu-pintu langit yang lain hingga sampai ke pintu langit yang ketujuh, tersangkut lagi. Itu bagi orang yang beramal, masih tertolak amalannya. Bagaimana agaknya kalau orang yang tidak beramal langsung?
.
.
Mengapa amalan lahir itu tersangkut? Tersangkutnya amalan itu kerana ia ada hubungan dengan penyakit batin atau roh (hati) kita yang masih kotor.
.
.
Orang yang mengumpat umpamanya, kerana hatinya sakit. Walaupun mengumpat itu nampaknya amalan lahir, mulutnya yang bercakap tetapi ia datang dari hati yang kotor. Sebenarnya hati itulah yang mengumpat. Hasad dengki, riya', kikir, sombong bongkak dan sebagainya, itu semua amalan hati.
.
.
Rupa-rupanya yang menghijab amalan lahir ini adalah mazmumah hati. Amalan hati (roh) ini hendaklah dijaga kerana mazmumah hati inilah yang membatalkan pahala amalan-amalan lahir.
.
.
Oleh yang demikian, sesiapa yang memiliki ilmu tentang roh ini, mudahlah dia mengesan sifat-sifat semula jadi yang ada pada roh itu. Mahmudahnya dapat disuburkan dan yang mazmumahnya dapat ditumpaskan. Maka jadilah roh atau hati seseorang itu bersih dan murni.
.
.
Hati adalah raja dalam kerajaan diri. Bila raja dalam kerajaan diri ini sudah bersih, baik, adil, takut kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul, maka sudah tentu dia akan mendorong rakyat dalam dirinya iaitu anggota ini untuk tunduk dan patuh kepada Allah .
.
.
Mudah untuk membangunkan syariat dan sunnah Rasulullah SAW serta mudah berbuat bermacam-macam bentuk kebaikan lagi.
.
.
Bila baik lahir batin manusia, dia akan menjadi orang yang bertaqwa, maka dia akan dapat pembelaan dari Allah SWT baik di dunia maupun di Akhirat.
.
.
Selagi belum menjadi manusia yang bertaqwa, tidak ada jaminan dari Allah akan dibela sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Kalau sekadar menjadi orang Islam, tidak ada jaminan dari Allah untuk dibela.
.
.
Dalam Al Quran, Allah tidak mengatakan akan membela orang Islam. Tidak ada satu ayat pun yang Allah berjanji hendak membantu orang Islam. Tetapi yang ada dalam ayat Al Quran maupun dalam Hadith, Allah hanya membantu orang-orang mukmin yang bertaqwa.
.
.
Jadi bila jiwa sudah bersih, maka akan bersih lahir dan batin, maknanya orang itu sudah memiliki sifat-sifat taqwa. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam Al Quran yang bermaksud:
.
"Hendaklah kamu berbekal. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah sifat taqwa." (Surah Al Baqarah: 197)
.
.
Bila seseorang itu sudah dapat berbekal dengan sifat-sifat taqwa, maka dia akan dapat pembelaan dari Allah SWT. Pembelaan di dunia maupun di Akhirat.
.
.
Sebenarnya, di sinilah rahsia kejayaan dan kemenangan umat Islam. Juga rahsia kehebatan umat Islam hingga berhasil menumpaskan musuh-musuhnya sama ada musuh lahir maupun musuh batin.



1.10.10

Aurat & Tudung

.
.
.
.
Semoga Allah SWT mengurniakan mereka kefahaman
dalam menunaikan kewajipan utama seorang muslimah...


.

28.9.10

Tuhan Tidak Ada

.
.
.
Pada suatu hari seorang pelanggan masuk ke kedai gunting. Si tukang gunting mula memotong rambut pelanggannya, lalu mereka mula berbual. Mereka membicarakan banyak hal dan berbagai variasi topik pembicaraan, lalu sesaat topik pembicaraan beralih tentang Tuhan.
.
.
Si tukang potong rambut tiba-tiba berkata ,"Saya tidak percaya Tuhan itu ada". "Kenapa anda berkata begitu ?” tanya si pelanggan. “Begini, cuba anda perhatikan di depan sana , di jalanan… untuk menyedari bahwa Tuhan itu tidak ada. Katakan kepadaku, jika Tuhan itu ada, Ada kah yang sakit? Ada kah anak terlantar? Ada kah kemiskinan yang melarat? Ada kah kekejaman berlaku? Jika benar Tuhan ada, tidak akan ada sakit ataupun kesusahan. Saya tidak dapat membayangkan Tuhan yang dikatakan Yang Maha Penyayang akan membiarkan ini semua terjadi."
.
.
Si pelanggan diam sambil berfikir, tapi tidak menjawab terus kerana tidak mahu memulakan perdebatan.
.
.
Si tukang gunting menyelesaikan pekerjaannya dan si pelanggan pergi meninggalkan tempat si tukang gunting.
.
.
Beberapa saat setelah dia keluar dari kedai gunting itu, dia melihat seorang pengemis di jalan dengan rambut yang panjang, bergumpal, kumal yang tidak dicukur. Orang itu kelihatan kotor dan tidak terurus.
.
.
Si pelanggan masuk semula ke kedai gunting lalu berkata, "Kamu nampak lelaki di hujung jalan itu" tanya si pelanggan kepada tukang gunting.
.
.
"Yang mana, pengemis comot itukah? Ye, kenapa?" tanya si tukang gunting.
.
.
"Kamu tahu, sebenarnya TIDAK ADA TUKANG GUNTING" kata si pelangan selamba.
.
.
Si tukang gunting tidak terima,"Mana boleh! Kamu tak boleh kata begitu ?" "Saya disini dan saya tukang gunting, bukankah saya baru saja memotong rambut kamu".
.
.
"Tidak!" bantah si pelanggan. "Tukang gunting itu tidak ada, sebab jika ada, tidak akan ada orang dengan rambut panjang yang kotor dan tidak terurus seperti orang yang di luar sana" tambah si pelanggan.
.
.
"Mana boleh, tidak kah kamu lihat aku disini. Ah tidak, tapi tukang gunting tetap ada!" sanggah si tukang gunting.
.
.
"Apa yang kamu lihat itu adalah salah mereka sendiri, kenapa mereka tidak datang kepada saya, tak kan saya harus pergi berjumpa dengan mereka semua, satu persatu, mana boleh, kalau mereka mahu kelihatan kemas dan bersih, seharusnya mereka yang datang kepada saya, bukan saya yang harus mencari mereka", jawab si tukang gunting membela diri.
.
.
"Tepat sekali!!" kata si pelanggan menyetujui. "Itulah point utamanya!! Sama dengan Tuhan, TUHAN ITU JUGA ADA ! Tapi apa yang terjadi… orang-orang TIDAK MAU DATANG KEPADA-NYA, dan TIDAK MAU MENCARI-NYA.
.
.
Oleh kerana itu banyak yang sakit dan ditimpa kesusahan di dunia ini, banyak kekejaman dan perkara dahsyat berlaku kerana kita tidak datang kepada Tuhan, tidak mahu mengenali dan menghayati apa yang disuruh dan diajar Tuhan kepada kita. Kita menguruskan diri dan masalah dengan cara dan acuan kita. Akibatnya berlakulah perkara yang samasekali berlawanan, dengan apa yang Tuhan sediakan untuk orang-orang yang sentiasa mendekatkan diri dengan-Nya" Balas si pelanggan dengan yakin dan tersenyum.

.
.
Si tukang gunting tertunduk malu, dalam hati dia membenarkan kata-kata pelanggan nya itu.
.
.
.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku" (Surah Az-Zariyat: 56)
.
.
Kadangkala Allah sengaja meletakkan kita dalam keadaan yang sukar agar kita menyedari bahawa kita punya Tuhan. Hanya pada Allah SWT tempat kita mengadu, merujuk, berserah, bergantung harap dan meminta pertolongan.