28.9.10

Tuhan Tidak Ada

.
.
.
Pada suatu hari seorang pelanggan masuk ke kedai gunting. Si tukang gunting mula memotong rambut pelanggannya, lalu mereka mula berbual. Mereka membicarakan banyak hal dan berbagai variasi topik pembicaraan, lalu sesaat topik pembicaraan beralih tentang Tuhan.
.
.
Si tukang potong rambut tiba-tiba berkata ,"Saya tidak percaya Tuhan itu ada". "Kenapa anda berkata begitu ?” tanya si pelanggan. “Begini, cuba anda perhatikan di depan sana , di jalanan… untuk menyedari bahwa Tuhan itu tidak ada. Katakan kepadaku, jika Tuhan itu ada, Ada kah yang sakit? Ada kah anak terlantar? Ada kah kemiskinan yang melarat? Ada kah kekejaman berlaku? Jika benar Tuhan ada, tidak akan ada sakit ataupun kesusahan. Saya tidak dapat membayangkan Tuhan yang dikatakan Yang Maha Penyayang akan membiarkan ini semua terjadi."
.
.
Si pelanggan diam sambil berfikir, tapi tidak menjawab terus kerana tidak mahu memulakan perdebatan.
.
.
Si tukang gunting menyelesaikan pekerjaannya dan si pelanggan pergi meninggalkan tempat si tukang gunting.
.
.
Beberapa saat setelah dia keluar dari kedai gunting itu, dia melihat seorang pengemis di jalan dengan rambut yang panjang, bergumpal, kumal yang tidak dicukur. Orang itu kelihatan kotor dan tidak terurus.
.
.
Si pelanggan masuk semula ke kedai gunting lalu berkata, "Kamu nampak lelaki di hujung jalan itu" tanya si pelanggan kepada tukang gunting.
.
.
"Yang mana, pengemis comot itukah? Ye, kenapa?" tanya si tukang gunting.
.
.
"Kamu tahu, sebenarnya TIDAK ADA TUKANG GUNTING" kata si pelangan selamba.
.
.
Si tukang gunting tidak terima,"Mana boleh! Kamu tak boleh kata begitu ?" "Saya disini dan saya tukang gunting, bukankah saya baru saja memotong rambut kamu".
.
.
"Tidak!" bantah si pelanggan. "Tukang gunting itu tidak ada, sebab jika ada, tidak akan ada orang dengan rambut panjang yang kotor dan tidak terurus seperti orang yang di luar sana" tambah si pelanggan.
.
.
"Mana boleh, tidak kah kamu lihat aku disini. Ah tidak, tapi tukang gunting tetap ada!" sanggah si tukang gunting.
.
.
"Apa yang kamu lihat itu adalah salah mereka sendiri, kenapa mereka tidak datang kepada saya, tak kan saya harus pergi berjumpa dengan mereka semua, satu persatu, mana boleh, kalau mereka mahu kelihatan kemas dan bersih, seharusnya mereka yang datang kepada saya, bukan saya yang harus mencari mereka", jawab si tukang gunting membela diri.
.
.
"Tepat sekali!!" kata si pelanggan menyetujui. "Itulah point utamanya!! Sama dengan Tuhan, TUHAN ITU JUGA ADA ! Tapi apa yang terjadi… orang-orang TIDAK MAU DATANG KEPADA-NYA, dan TIDAK MAU MENCARI-NYA.
.
.
Oleh kerana itu banyak yang sakit dan ditimpa kesusahan di dunia ini, banyak kekejaman dan perkara dahsyat berlaku kerana kita tidak datang kepada Tuhan, tidak mahu mengenali dan menghayati apa yang disuruh dan diajar Tuhan kepada kita. Kita menguruskan diri dan masalah dengan cara dan acuan kita. Akibatnya berlakulah perkara yang samasekali berlawanan, dengan apa yang Tuhan sediakan untuk orang-orang yang sentiasa mendekatkan diri dengan-Nya" Balas si pelanggan dengan yakin dan tersenyum.

.
.
Si tukang gunting tertunduk malu, dalam hati dia membenarkan kata-kata pelanggan nya itu.
.
.
.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku" (Surah Az-Zariyat: 56)
.
.
Kadangkala Allah sengaja meletakkan kita dalam keadaan yang sukar agar kita menyedari bahawa kita punya Tuhan. Hanya pada Allah SWT tempat kita mengadu, merujuk, berserah, bergantung harap dan meminta pertolongan.



6.9.10

~ Salam Aidil Fitri ~

.
.
.
Sehening air wudhu
.
Sesuci Al-Quran
.
Semerdu alunan zikir
.
Seindah solat 5 waktu

Setenang hati yang tiada rasa benci dan dendam
.
Jika tanganku tak sempat berjabat
.
Jika muka tak sempat bertatap
.
Bukalah pintu maaf untukku
.
.
" Salam Aidil Fitri & Maaf Zahir Batin "

.
.
p/s ..selamat berhariraya dan bercuti semuanya..
jumpa lagi lepas raya..InsyaAllah
.
.

4.9.10

Tiada Hari Tanpa Dosa




Kenangkan dosa hari ini, dosa semalam dan hari-hari yang telah berlalu kita lakukan. Alangkah banyaknya sehingga tidak terhitung. Namun demikian Allah Al-Rahman tidak pernah menarik balik nikmat penglihatan, pendengaran dan percakapan yang telah melakukan dosa. Malah Allah Al-Rahim sentiasa menutup keaiban dan kekurangan diri kita daripada diketahui oleh orang lain.

Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan dosa dalam menjalani kehidupan seharian. Amat banyak pendurhakaan kepada Allah yang telah kita lakukan sejak baligh hingga ke saat ini. Inilah kelemahan insan yang tidak dapat dinafikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah"
(Surah al-Nisa’: 28)


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Setiap anak Adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat."
(HR Ibn Majah)

Sesiapa yang mengatakan bahawa dia tidak mempunyai dosa sebenarnya dia telah melakukan dosa dengan ucapan sedemikian.


Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dan Dialah yang Maha Mengetahui siapa yang bertakwa."
(Surah Al-Najm : 32)

Agama kita memperuntukkan satu amal soleh yang boleh menghapuskan segala dosa yang dilakukan iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia ini. Allah SWT yang bersifat dengan sifat Al-Tawwab (Maha Penerima Taubat) dan Al-Ghafur (Maha Pengampun) tidak akan membiarkan kelemahan hambanya ini dengan begitu sahaja. Dalam Al Quran banyak dijelaskan keutamaan, dorongan dan perintah agar kita sentiasa bertaubat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman supaya kamu memperolehi keuntungan."

(Surah Al-Nur: 31)


Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan bersegeralah menuju kepada keampunan dari Tuhan kamu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertakwa."

(Surah Ali Imran :133)

.
Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya amalan-amalan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat."

(Surah Hud: 114)


Hadith-hadith Nabi SAW juga banyak yang menyebut tentang kelebihan dan tuntutan taubat, antaranya ialah
Dari Nabi SAW bersabda bahawa Allah berfirman
(hadith qudsi) :

"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu."

(HR Imam Muslim)

.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah SWT sangat gembira dengan taubat hambaNya melebihi kegembiraan salah seorang di antara kamu yang kehilangan untanya di padang pasir kemudian menemukannya kembali."

(HR Imam Muslim)

.
Dalam sabdanya yang lain, Rasulullah mengatakan:

"Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada siang hari, dan Allah membentangkan tanganNya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada malam hari, sampai matahari terbit dari barat."

(HR Imam Muslim )


Rasulullah SAW yang terpelihara daripada dosa dan diutuskan agar menjadi contoh kepada sekalian manusia juga memohon keampunan kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Begitulah petunjuk sunnah Rasulullah SAW kepada kita semua agar sentiasa bertaubat setiap masa.

Jangan dibiarkan dosa berlanjutan dan dijadikan koleksi dari semasa ke semasa kerana maut datang tanpa isyarat dan amaran. Dosa yang dibiarkan pasti akan memberi kesan buruk kepada kita di akhirat kelak.
Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang telah mensyariatkan ibadat yang menjanjikan dosa-dosa diampunkan. Antaranya

1- Berwuduk


Rasulullah SAW bersabda:

"Tidaklah salah seorang daripada kamu mendekati air wuduknya, kemudian berkumur-kumur, memasukkan air ke hidungnya lalu mengeluarkannya kembali, melainkan gugurlah dosa-dosa di (rongga) mulut dan rongga hidungnya bersama air wuduknya, kemudian (tidaklah) ia membasuh mukanya sebagaimana yang Allah perintahkan, melainkan gugurlah dosa-dosa wajahnya melalui hujung-hujung janggutnya bersama titisan air wuduk, kemudian (tidaklah) ia membasuh kedua tangannya sampai ke siku, melainkan gugurlah dosa-dosa tangannya bersama air wuduk melalui jari-jari tangannya, kemudian (tidaklah) ia menyapu kepalanya, melainkan gugur dosa-dosa kepalanya bersama air melalui hujung-hujung rambutnya, kemudian (tidaklah) ia membasuh kedua kakinya, melainkan gugur dosa-dosa kakinya bersama air melalui hujung-hujung jari kakinya."

(HR Imam Muslim)


2- Solat fardu, solat Jumaat dan puasa Bulan Ramadhan


Rasulullah SAW bersabda:

"Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa di antaranya selama dosa-dosa besar dihindari."
(HR Imam Muslim)


3- Puasa Sunat Asyura’ dan puasa sunat wukuf


Rasulullah SAW bersabda:

"Puasa Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyura' (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu."

(HR Imam Muslim)


4- Tasbih, tahmid dan takbir


Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang menyebut setiap kali selepas solat dengan tasbih, tahmid dan takbir (33x) di akhiri dengan ucapan LAAILLAHA ILLALLAH… maka diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.
(HR Imam Muslim)


Para ulama’ mentafsirkan dosa-dosa yang diampunkan di atas ialah hanyalah dosa kecil sebagaimana pendapat Imam Al-Nawawiy dalam kitab syarh Muslim. Dosa besar hanya diampunkan bila dilakukan taubat nasuha.
Begitulah perancangan Allah yang bersifat Al-Hakim (Maha Bijaksana) menyusun ibadat-ibadat untuk menghapuskan dosa-dosa hambaNya.

Solat fardhu atau puasa Ramadan yang kita lakukan dengan ikhlas akan memberi kebaikan kepada kita sendiri. Dengan kata lain Allah mewajibkan amalan-amalan tertentu bukan untuk membebankan hamba-hambaNya tetapi sebagai ujian sama ada taat atau ingkar dan untuk menyucikan rohani mereka daripada kegelapan dosa.


Betapa ruginya mereka yang mengabaikan solat fardhu dan puasa wajib. Tanpa mereka sedari golongan ini membuat koleksi dosa-dosanya dari semasa ke semasa. Mereka tiada peluang untuk menyucikan jiwa mereka daripada dosa. Lebih malang sekiranya mereka dijemput oleh Malakul Maut secara mengejut tanpa taubat, Na’uzubillah.


Jadikanlah taubat sebagai amalan rutin seharian, pohonlah keampunan dariNya dan laksanakanlah amalan fardhu sebaik-baiknya. Semua itu akan menyucikan dosa-dosa yang telah dilakukan. Jangan berputus asa dengan rahmat dan keampunan sekiranya selepas itu kembali melakukan dosa. Jangan terpedaya dengan tipu muslihat syaitan agar kita berputus asa dengan keampunan Allah SWT .

Perbaharuilah taubat pada setiap waktu. Pohonlah pimpinan dan bimbingan Allah SWT agar sentiasa istiqamah dalam melakukan taubat kepadaNya.