26.8.11

Hakikat Hari Raya



Bagi umat Islam yang menghadapi Ramadhan ini dengan berpuasa, tentu ternanti-nanti akan ketibaan Syawal yakni hari raya.

Sabda Rasulullah SAW:

"Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kesenangan iaitu ketika berbuka (hari raya) dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Namun bagi orang soleh dan mukmin yang sebenarnya bagi mereka, bukan hanya Syawal hari raya bagi mereka kerana ada hari raya yang lebih diidamkan iaitu bertemu kekasih yaani Allah SWT. sesetengah mereka berpendapat untuk mencapai hakikat hariraya, perlu melepasi lima tahap hari raya.


5 hari raya bagi seorang mukmin ialah:

1. Hari-hari yang mereka lalui tanpa melakukan sebarang dosa.

2. Meninggalkan dunia (waktu menghembus nafas terakhir) beserta iman dan dapat mengucap Lailahaillallah.

3. Ketika selamat menyeberangi titian siratal mustaqim.

4. Ketika dimasukkan ke dalam syurga

5. Waktu dapat melihat wajah Allah


Kecuali Rasul dan Nabi-Nabi yang maksum, manusia tetap melakukan dosa, sama ada dosa besar atau kecil, sengaja atau tidak, dosa yang diketahui atau tersembunyi. Dosa yang dilakukan di masa-masa lalu, sekarang atau akan datang. Dosa lahir mahupun batin. Dosa dengan Allah SWT dan dosa dengan makhluk khususnya dosa sesama insan.


Setiap dosa merupakan titik hitam pada hati. Bila sudah terlalu banyak dosa, hati terasa gelap dan keras. Sekeras-keras batu, boleh pecah dengan titisan air, tetapi hati yang keras, lebih keras dari batu. Hati yang keras tak sensitif lagi dengan Allah SWT. Tak terasa apa-apa bila terdengar neraka atau syurga. Tak rasa takut dan cemas bila buat dosa. Dosa membawa manusia ke neraka, neraka dunia dan neraka akhirat.


Dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT, dosa boleh dibersihkan dengan taubat. Taubat yang benar-benar taubat, taubat nasuha. Pemaaf Allah mengatasi murkaNya. Dosa kecil yang dilakukan secara tetap, berulang-ulang tanpa taubat, boleh menjadi dosa besar. Dosa yang ditinggalkan bukan dengan taubat, dosanya tak terhapus. seperti seorang yang berhenti minum arak atas sebab-sebab kesihatan, bukan kerana Allah SWT.


Bertaubatlah atas setiap dosa. Dosa jangan dipandang pada kecilnya tapi pandanglah dengan siapa kita berdosa. Walaupun dosa kecil tapi kalau Allah murka, kita tak akan selamat.


Kita hanya dikira bertaubat jika benar-benar menyesal, benci dengan dosa serta berazam tidak akan mengulanginya lagi. Jika berdosa dengan manusia, maka mesti diselesaikan dengan manusia.


Rasulullah SAW bersabda, rintihan hati orang berdosa (kerana takutkan Allah) lebih bernilai di sisi Allah daripada zikir para wali. Rasulullah bersabda lagi, orang yang bertaubat dari dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa.


Rasulullah SAW sendiri bertaubat lebih dari 70 kali sehari atau 100 kali sehari, walaupun baginda maksum yakni terpelihara dari dosa. Kita sepatutnya lebih dari itu kerana kita tidak maasum dan sentiasa berdosa.


Perbanyakkan ucapan istighfar (yang terbit dari hati). Sentiasa merasai diri berdosa, dan amalkan sembahyang sunat taubat. Pastikan setiap apa apa yang dilakukan menjadi ibadah dengan memenuhi syarat-syaratnya. Di samping itu bersabar dan redha dengan setiap ujian dan kesusahan yang Allah timpakan kepada kita. Kerana dengan ujian-ujian dan kesusahan itu adalah sebahagian cara Allah nak hapuskan dosa kita. Demikianlah pengisian yang patut dilakukan untuk menjadikan hari-hari berlalu sebagai hari raya.


Di antara saat yang paling ditakuti ialah saat sakaratul maut. Di ketika nyawa di kerongkong sebelum dicabut keluar oleh malaikat Izrail. Inilah saat penentu nasib kita di akhirat seperti amal ibadah dikira di penghujung sama ada ikhlas atau tidak, begitu juga dengan kehidupan kita dikira penghujungnya bagaimana.


Di saat akhir inilah iblis dan syaitan berhabis-habisan untuk menyesatkan manusia. Datang dengan gerombolannya. Ada iblis yang datang menyerupai ibu bapa, guru dan sebagainya. Ada syaitan yang datang menyerupai benda yang kita sayang dan menyerupai benda yang kita benci.


Target utama syaitan ialah supaya anak Adam mati dalam keadaan tercabut iman (tidak membawa iman). Keadaan ketika sakaratul maut amat mengerikan. Di antaranya dibuka hijab hingga orang yang hampir mati itu dapat melihat alam ghaib, dapat melihat seluruh amalan waktu ia hidup dan dapat melihat nasibnya di akhirat nanti.


Walau bagaimanapun orang yang dapat berhari raya peringkat pertama tadi akan mudah baginya untuk mendapat hari raya tahap kedua. Mati dalam beriman serta dapat mengucap Laailahaillallah adalah hari raya bagi seorang mukmin. Masakan tidak, orang yang dapat mati dalam beriman dijanjikan keselamatan di negeri akhirat.


Menempuh Siratal mustaqim di akhirat adalah perkata yang wajib diimani. Di atas titian itu pula akan ada soal jawab dengan malaikat berhubung soal-soal keimanan, solat dan diikuti soal-soal lain mengikut keutamaannya. Jika tak lulus dalam soal jawab akan dicampakkan ke Neraka.


Keadaan orang menyeberang titian Siratal mustaqim berbagai-bagai mengikut amalan masing-masing dengan api neraka menjulang-julang di bawah titian itu. Ada yang menyeberangi secepat kilat, ada yang seperti orang berlari, ada yang merangkak, ada yang menyeberang dalam keadaan titian itu halus bagai rambut yang dibelah tujuh.


Orang yang menyeberang secepat kilat atau disebut golongan bighairi hisab (masuk syurga tanpa hisab) di antaranya golongan nabi dan rasul, wali-wali, orang yang mati syahid, orang yang terlalu sabar, orang yang mampu berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya, orang miskin yang redha dengan kemiskinannya.


Sebenarnya tertahan atau tertangguh di titian siratal mustaqim kerana banyaknya persoalan semasa hidup dahulu merupakan penyiksaan yang berat kerana ukuran masa di akhirat, satu hari di sana bagaikan 1000 tahun di dunia.


Kerana susahnya, siksanya dan lamanya menunggu untuk masuk syurga (jika tidak ke neraka), orang-orang soleh dan wali-wali sangat berhati-hati dalam menerima nikmat dunia. Kerana nikmat dunia, halalnya di hisab, haramnya di azab. Dapat melepasi Siratal mustaqim adalah hari raya kerana ia bererti terlepas dari azab neraka. Bagi orang beriman, inilah antara hari raya yang sebenar.


Ada hari raya yang lebih agung dari terlepas dari neraka iaitu apabila diumumkan sebagi ahli syurga. Inilah kemenangan yang hakiki. Inilah hari raya yang hakiki. Dapat masuk syurga bererti dapat mengecap nikmat akhirat yang kekal abadi dengan serba keindahan dan kegembiraan serta sentiasa dalam keredhaan Allah azzawajalla.


Tidak cukup sekadar itu, bagi penghuni syurga ada lagi nikmat yang sangat dirindui bagi mereka. Itulah kemuncak hari raya yang diidam sejak di dunia lagi. Allah SWT yang dicintai dan disembah sejak di dunia lagi, hidup bagaikan merindui kekasih, dapat bertemu kekasihnya. Itulah saat apabila mereka dapat melihat wajah Allah. Memang nikmat di syurga itu adalah perkara yang tidak terlintas dihati dan tak terbayang dek mata. Tak dapat di bayangkan. Wallahu allam.


Lihat bagaimana orang bertaqwa berhari raya...


Soleh bin Abdullah, apabila tiba hari raya Idil Fitri, pagi-pagi lagi beliau telah keluar ke Musolla (lapangan) untuk menunaikan solat sunat Idilfitri. Dia duduk di hujung lapangan sambil bertakbir. Ditanya orang: "Mengapa kamu duduk di sini? Beliau menjawab: "Saya datang sambil memohon rahmat (kasih sayang) Allah, dan ini adalah tempat orang yang meminta."


Sebaik sahaja selesai menunaikan solat Idilfitri, beliau bergegas pulang ke rumah. Dia mengalungkan rantai besi di lehernya, menabur abu di atas kepala dan badannya sambil menangis dengan kuat. Keluarganya bertanya: "Hai Soleh, hari ini adalah hari raya, hari bergembira, mengapa engkau berbuat demikian?"


Dia menjawab: "Saya tahu hari ini hari raya, akan tetapi saya hanyalah seorang hamba yang diperintah Tuhan supaya beramal untukNya. Maka saya telah mengerjakannya, dan saya tidak mengetahui apakah Dia menerimanya atau tidak.


Demikian orang bertaqwa merasa tidak layak berhariraya kerana bimbangkan amalannya yang tidak sempurna.



Oleh Mohd Fadli Yusof


p/s Selamat berhari raya buat sahabat semua, mohon kemaafan atas segala silap dan salah..


25.8.11

Pencarian sudah bermula...





Ia mungkin hanya sekali

Namun, walau hanya sekali

Ia sudah memadai dengan penantian

Selama 1000 bulan

Carilah ia

Di tengah kesibukkan masamu

Kerana ia hanya berada di hadapan

Matamu

Cuma, menunggu kamu

Mengintainya sahaja....




6.8.11

Andai ini Ramadhan terakhir...





Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu siangnya engkau sibuk berzikir

tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu

mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu

sholat yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawadhu'

tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri

menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji

"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"

sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...

kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu

setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja

di setiap kesempatan juga masa yang terluang

alunan Al Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu malammu engkau sibukkan dengan

bertarawih...berqiamullail...bertahajjud...

mengadu...merintih...meminta belas kasih

"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU

tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang

mari kita meriahkan Ramadhan

kita buru...kita cari...suatu malam idaman

yang lebih baik dari seribu bulan


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir

mempersiap diri...rohani dan jasmani

menanti-nanti jemputan Izrail

di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman


Duhai Ilahi....

andai ini Ramadhan terakhir buat kami

jadikanlah ia Ramadhan paling berarti...paling berseri...

menerangi kegelapan hati kami

menyeru ke jalan menuju redha serta kasih sayangMu Ya Ilahi

semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti


Namun teman...

tak akan ada manusia yang bakal mengetahui

apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya

yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah

berusaha...bersedia...meminta belas-NYA


Andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita

MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH AKU LAKUKAN