6.8.13

Ohh Ramadhan...kian pergi






Allahu akbar..Allahu akbar..wa lillahil hamd

Sayu dan sedih...Ramadhan bakal meninggalkan kita

Di penghujung Ramadhan ini, hanyalah ampunan dan pembebasan 
dari siksa neraka yang kami harap harapkan dari Allah swt yang Maha Pengampun.

Kami juga berharap semoga Allah swt menerima amalan kita semua 
walaupun kami rasa amalan kami begitu sedikit dan 
begitu banyak kekurangan di dalamnya.

Semoga Allah swt menerima amalan kami dan amalan kalian.
Semoga Allah swt menjadikan kita insan yang istiqamah 
dalam menjalankan ibadah selepas Ramadhan nanti.

Ibnu Mas'ud mengatakan bahwa sebenar-benar taqwa adalah mentaati Allah 
tanpa bermaksiat kepadaNya, mengingati Allah tanpa lalai dariNya 
dan bersyukur atas nikmat-nikmatnya Allah tanpa kufur dariNya.


6.7.13

Marhaban Ya Ramadhan !



Marhaban Ya Ramadhan!

Alhamdulillah… beberapa hari lagi bulan suci Ramadhan akan datang, bulan penuh rahmat, berkah dan ampunan. Ayuh! kita bersihkan hati  biar ringan menjalani ibadah puasa Ramadhan tahun ini dan semoga ibadah kita diterima Allah swt, aamiin...

7.6.13

doa



Ya ALLAH, Ya Tuhanku...

Perbaikilah urusan agamaku
yang mana ia adalah segala galanya bagiku...

Perbaikilah urusan duniaku
yang mana ia adalah tempat aku mencari bekalan...

Perbaikilah urusan akhiratku
yang mana ia adalah tempat kembaliku...

Jadikanlah kehidupan ini untuk aku menambah segala kebaikan...

Jadikanlah kematian itu sebagai pelindung daripada memungkinkan
aku melakukan kejahatan...

Amin...



Berdasarkan hadith Rasulullah saw daripada Abu Hurairah yang bermaksud,

"Pada hari Jumaat ada satu saat bertetapan dengan orang Islam ketika dia sedang bersembahyang, dimana tatkala ia berdoa doanya itu akan dimakbulkan"

Rasulullah saw menunjukkan isyarat tangannya yang membawa maksud sedikit sahaja waktunya.


4.5.13

Selamat Mengundi !!


 Menang kalah adat pertandingan.

Andainya menang, jadilah pemerintah yang adil dan saksama.

Andai kalah jadilah pembangkang yang membina.

Yang menang dan yang kalah ada peranannya.

Menyokong pada yang hak, menegur pada yang bathil. 

Ikhlaskan niat  berjuang untuk agama dan negara.




23.4.13

Bangsa Maju dengan Islam


Kata-kata yang ingin saya sampaikan ini begitu popular di kalangan orang Melayu tidak kira yang bergelar guru, mahasiswa, ahli politik malahan ustaz dan mufti juga menuturkan kata-kata yang sama. Kata-katanya berbunyi : “Jika Melayu bersatu, maka Islam akan tertegak kerana kebanyakkan Melayu adalah beragama Islam.”

Jika dilihat dari segi rasional pasti kita akan mengatakan kata-kata ini sangat relevan. Tetapi benarkah ianya benar-benar releven??? Jika ditanya pandangan saya akan soalan adakah ianya releven ataupun tidak pasti jawapan saya adalah ianya tidak releven sama sekali dan jauh dari erti perjuangan Islam yang sebenar.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa saya katakan ayat ini tidak releven sama sekali dan tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang mufti atau ustaz.

Hujah Yang Pertama :

Mari kita melihat dari struktur ayat atau kata-kata di atas. Jika diukur dari sudut pemahaman saya apabila mendengar ayat ini adalah Islam itu bergantung kepada Melayu. Tanpa Melayu maka Islam tidak mungkin akan bersatu dan tertegak di Malaysia ini. Apakah ini satu konsep yang betul sedangkan Islam tidak memerlukan Melayu untuk terus tertegak tetapi sebaliknya bangsa Melayulah yang memerlukan Islam supaya ianya dapat membimbing bangsa kita kearah menjadi bangsa yang maju dan bertamadun.

Jika kita menyelusuri sejarah bangsa Arab sebelum dan selepas kedatangan Islam maka pasti kita akan mengakui bahawa Islam bukan kuat kerana ianya diperjuangkan oleh bangsa Arab tetapi bangsa Arablah yang menjadi kuat apabila memperjuangkan Islam. Bermaksud perjuangan yang perlu dititik beratkan adalah perjuangan menegakkan Islam di Malaysia bukan perjuangan menyatukan Melayu yang tidak semua beragama Islam. Dan realiti masyarakat Melayu zaman sekarang, Islam mereka hanya pada i/c dan kad pengenalan sedangkan kehidupan mereka seharian terlalu jauh dari landasan Islam yang sebenar. Malah yang dipertahankan oleh pihak mahkamah pada masa kini adalah Islam yang ada di dalam i/c sedangkan persoalan aqidah diketepikan. Lihat sahaja kes Lina Joy. Apa yang dipertahankan oleh mahkamah adalah berkenaan penukaran status agama daripada Islam kepada kristian sedangkan aqidah yang dituntut oleh Lina Joy adalah aqidah agama kristian. Jadi apakah faedahnya menyatukan Melayu sedangkan Melayu sendiri telah jauh dari jalan Islam yang sebenar???

Oleh sebab itu, saya katakan perjuangkanlah Islam kerana jika Islam tertegak PASTI dengan sendirinya Melayu juga akan bersatu dan menjadi satu bangsa yang kuat tetapi bukan memperjuangkan Melayu untuk menegakkan Islam kerana bersatunya Melayu tidak akan menjamin tertegaknya Islam di bumi Malaysia ini.

Hal ini telah dibuktikan oleh bangsa Arab Quraisy yang sebelum kedatangan Islam dilihat sebagai satu kaum yang sangat tidak bertamadun oleh kuasa-kuasa besar pada masa itu tetapi dengan kedatangan Islam bangsa Arab yang dahulunya tidak bertamadun telah mampu menawan 2/3 dunia di samping mampu untuk mengalahkan kuasa terbesar pada masa tersebut iaitu Rom dan Parsi. Ini menunjukkan bahawa suatu bangsa menjadi kuat kerana Islam bukan Islam menjadi kuat kerana bangsa.

Hujah Yang Kedua :

Perlu diingat bahawa Islam tidak terbatas kepada sesuatu bangsa sahaja. Lebih-lebih lagi di negara kita yang bermasyarakat majmuk. Jadi konsep perjuangan bangsa untuk menaikkan Islam adalah tidak releven sama sekali kerana seperti yang kita semua ketahui orang yang beragama Islam di Malaysia ini bukan sahaja terdiri daripada bangsa Melayu malah Cina, India dan bangsa-bangsa lain juga ada yang beragama Islam. Oleh kerana itu konsep memperjuangkan bangsa untuk menegakkan Islam adalah satu perjuangan yang sangat sempit. Hal ini kerana jika Melayu bersatu Islam masih tidak bersatu kerana masyarakat Islam yang berbangsa lain pasti akan terasa tersisih. Perlu diingat Allah tidak melebihkan sesuatu bangsa dengan suatu bangsa yang lain. Apa yang membezakan kita semua hanyalah iman dan taqwa kepada Allah swt. Hal ini disebut oleh Allah swt di dalam Al Quran yang berbunyi ;

“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.”(Surah Al-Hujurat : 13)

Jika kita melihat konteks di awal ayat Al Quran di atas lihat , Allah memanggil “Wahai manusia!” menunjukkan betapa Allah swt tidak membezakan setiap bangsa dan kaum yang berada di atas muka bumi. Inilah salah satu tanda keadilan Allah swt. Satu penafsiran yang menarik telah dikeluarkan oleh Syed Qutb ketika mana beliau menafsirkan ayat ini dengan katanya :

“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran, Syed Qutb)

Perkara ini juga disebut oleh Rasulullah saw di dalam satu hadis yang berbunyi :

“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Oleh kerana itu, saya pasti jika Islam menjadi perkara pokok yang diperjuangkan maka pasti setiap orang yang mengakui dirinya beragama Islam akan bersama-sama dalam perjuangan ini dan apabila Islam telah mampu dimartabatkan dan umat Islam dapat disatukan maka dengan sendiri bangsa Melayu yang beragama Islam pasti akan bersatu di bawah payung Islam dan bangsa lain yang beragama Islam juga dapat bersama-sama bernaung di bawah satu panji yang sama.

Tetapi jika bangsa yang diperjuangkan maka percayalah bahawa masyarakat Melayu mungkin boleh bersatu tetapi dasar penyatuannya bukan dibawah lembayung Islam tetapi di atas dasar bangsa. Maka penyatuan Melayu tidak memastikan Islam akan tertegak tetapi dengan memperjuangkan Islam pasti Melayu yang beragama Islam akan bersatu.

Jadi perjuangan Islam merupakan satu konsep perjuangan yang sangat luas sedangkan perjuangan bangsa adalah perjuangan sempit yang hanya menyeru kepada asabiyyah.

Hujah Yang Ketiga :

Sesungguhnya penyeruan untuk penyatuan bangsa supaya Islam tertegak hanyalah alasan untuk mereka yang ingin menghalalkan perjuangan bangsa melebihi perjuangan agama. Dan ianya tidak lebih dari sekadar penyeruan kepada assabiyyah. Sedangkan Islam ini adalah yang tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Oleh itu, sepatutnya dasar perjuangan kita adalah berada di atas dasar Islam bukan atas dasar bangsa. Jika dari sudut dasar atau akar pun sudah salah bagaimana mungkin pokok dan buahnya boleh jadi baik. Tidak ingatkah kita Rasulullah saw telah bersabda ;

“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada assabiyyah atau marah kerana assabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”.
(Riwayat Muslim).

Di dalam hadis yang lain Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ;

”Bukan dari kalangan kita yang menyeru kepada assabiyyah, berperang kerana assabiyyah dan mati kerana assabiyyah” (HR Abu Dawud)

Melalui sabda Rasulullah saw di atas menunjukkan betapa Rasulullah begitu bertegas dan memberi amaran yang keras kepada mereka yang memperjuangkan assabiyyah. Tetapi bukanlah bermaksud tidak boleh menyayangi bangsa atau ingin memperjuangkan bangsa tetapi bukan dengan meletakkan perjuangan bangsa melebihi perjuangan Islam. Sedangkan Islam itu adalah yang tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Tambahan pula, sejarah telah membuktikan bangsa mana yang memperjuangkan Islam maka bangsa tersebut akan menjadi kuat, maju dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain. Oleh kerana itu, wahai saudara-saudaraku sekalian kembalilah kepada Islam. Jadikanlah Islam itu sebagai wadah perjuangan yang ingin diperjuangkan kerana hanya dengan itu sahaja bangsa kita mampu bersatu dan menjadi kuat. Ingatlah akan firman Allah swt di dalam Al-Kitab ;

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya, supaya kamu mendapat petunjuk.”
(Surah Ali Imran : 102-103)

Oleh itu, ayuh kita berpegang teguh dengan tali Allah iaitu dengan kembali kepada konsep Islam yang sebenar di samping menjernihkan kembali fikrah perjuangan kita supaya perjuangan kita ini didasari atas dasar Iman dan Islam.

Akhirul Kalam,
Bersama-sama kita merenung kembali apakah kita sedar akan kepentingan perjuangan untuk menegakkan syiar Islam?? Jika jawapannya ya maka fikirkan pula apakah betul wadah perjuangan yang kita ambil selama ini?? Buanglah segala sifat-sifat assabiyyah yang telah ditanam selama ini dan kembali kepada perjuangan yang sebenar dalam meningkat syiar Islam. Sesungguhnya berjihad di jalan Allah ini merupakan perniagaan yang terlalu menguntungkan dan kita tidak akan rugi. Hal ini telah disebut oleh Allah swt di dalam firmannya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab seksa yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.”
(Surah As-Shaff : 10-11)

Kesimpulannya, perjuangan Islam merupakan satu konsep perjuangan yang menyeluruh dan sangat luas tetapi konsep perjuangan bangsa atau assabiyyah adalah konsep perjuangan yang sangat sempit dan terbatas. Ingatlah jika Islam tertegak pasti bangsa yang memperjuangkannya akan selamat dan bersatu tetapi jika bangsa bersatu belum tentu lagi Islam akan tertegak. Sedangkan Allah swt tidak rugi apa-apa pun jika kita tidak mahu memperjuangkan agamaNya kerana pasti Dia menghantar suatu kumpulan yang mana Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah. Jadi ayuh kita masukkan diri di dalam kelompok yang Allah utuskan untuk menegakkan syiar Islam di atas muka bumi ini. Allahu’alam.

Perkukuhkan Iman, Perbanyakkan Ibadah dan Perbaiki Akhlak.
Usrah Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah Tunjang Kekuatan Jemaah.

Disediakan oleh :
Muhammad Zulhilmi b. Mohd Razali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Kuantan.

************************************ 

“Kita  dahulunya adalah kaum (bangsa Arab) yang hina, lalu Allah swt muliakan kita dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain cara yang Allah swt muliakan kepada kita, sudah pasti kita akan dihina oleh-Nya.” - Saidina Umar Al Khattab

Sesuatu bangsa menjadi mulia kerana Islam menjadi pegangan hidup. Sebaliknya, sesuatu bangsa akan menjadi hina disebabkan mereka meninggalkan Islam. Justeru, jika mahu menjadikan bangsa Melayu mulia, tidak perlu memperjuangkan ketuanan Melayu kerana itu tidak boleh membawa kemuliaan kepada bangsa Melayu. Akan tetapi bangsa Melayu boleh maju dan mulia, apabila Islam menjadi dasar perjuangannya.

24.1.13

Allahumma solli ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘ala ali Sayyidina Muhammad



Berselawatlah!

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat  ke atas Nabi . Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atas Nabi serta ucapkanlah salam dengan penuh  penghormatan kepadanya ”  [Al-Ahzab: 56]

Semoga kita memperolehi  selawat dari Allah SWT, memperolehi syafaat Nabi Muhammad SAW, memperolehi limpah rahmat dari Allah SWT, ditulis sepuluh kebajikan, dihapuskan sepuluh kesalahan, diangkat sepuluh darjat, memperolehi kesempurnaan iman dan banyak lagi.

Salam Maulidur Rasul...


12.1.13

Rahmati mereka...




 Berkata Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW :  

'' Rahmatilah mereka yang berada di bumi, nescaya kamu akan dirahmati
mereka yang berada di langit ''


Rahmatilah si Jahil dengan Ilmu

Rahmatilah si Hina dengan Kemuliaan

Rahmatilah si Miskin dengan Harta

Rahmatilah si Lemah dengan Kekuatan

Rahmatilah Kanak-Kanak, Orang Tua & Binatang dengan Kasih Sayang

Nescaya Seluruh Alam akan merahmati Kamu...


5.1.13

Ingat Allah...




Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah SWT telah berfirman:

"Wahai anak Adam! Jika engkau ingat kepadaKu. Aku juga tetap ingat kepadamu. Dan jika engkau lupa kepadaKu. Aku masih ingat terus kepadamu. Apabila engkau taat kepadaKu maka pergilah ke mana saja yang engkau suka di tempat engkau mematuhiKu dan Aku mematuhimu. Dan engkau mengikhlaskan kecintaanmu kepadaKu dan Aku mengikhlaskan kecintaanKu kepadamu. Kemudian engkau memalingkan diri daripadaKu sedang Aku tetap mengambil berat terhadapmu. Siapakah yang memberimu makan sewaktu engkau masih janin di dalam perut ibumu... Aku tetap menguruskan segala keperluanmu dengan baik sehingga terlaksana semua takdirKu terhadapmu. Apabila Aku lahirkan engkau ke alam dunia lalu engkau pun membuat banyak maksiat. Bukan begini sewajarnya balasanmu terhadap siapa yang berbuat baik kepadamu."
(Riwayat Rifa'i dan Abu Nasr)