22.12.11

Bukan Fantasi Tapi Realiti !!





Di manakah perjuangan kita untuk ini?


Layakkah ke kita dengan hanya sekadar memeluk tubuh memerhati...


Di mana, bila dan bagaimana harus kita mulakan?


Adakah mampu kita bergerak tanpa Jemaah?


Bekerja dalam jemaah adalah satu tuntutan.


Sabda Rasulullah SAW,
"Kekuasaan Allah bersama jemaah, sesiapa yang bersendirian dia bersendirian di neraka. Hanyasanya yang dibaham daripada kambing-kambing ialah yang bersendirian dari kumpulannya"


Rasulullah SAW juga bergerak bersama-sama para sahabat.


Jadi mulakan langkah demi umat manusia sekelian alam...


Pelajari dan fahamilah tentang taadud jemaah dan dasar jemaah yang baik.. 
Agar usaha kita untuk membentuk dan mentarbiah diri dan masyarakat lain mendapat pertolongan dan keredhaan Allah..
InsyaAllah...



19.12.11

Sahabatku...





Sahabatku...

Ku tinggalkan kaktus ini khusus untukmu

Dengan pesanan...

Ia mudah hidup

Biarpun berhari-hari kau biarkan tuntas

Ia tetap akan besar dan bercambah

Kerana ia belajar bernafas dari gersang tanah

Asalkan setiap kali kau melintasi lemparkan senyumanmu disini

Tahulah aku, kau sayang padanya

Ku hadiahkan kaktus yang masih kecil ini kepadamu

Peliharalah dengan kemanjaan dan perhatian

Berilah ia pasu baru bila waktu

Ia akan remaja dan dewasa

Tajam durinya lambang kemurnian hatimu

Sahabat...

Jika kaktus itu aku

Sudikah kau tersenyum dan tukarkan pasu

Sedangkan kau tahu durinya akan melukakan jarimu

Lalu tidak lagi ku rasakan sentuhan

Yang tinggal mungkinlah perhatian

Yang menjadi baja menyuburkan ingatan


Petikan syair Saidina Ali bin Abi Talib


“Saudaramu yang sebenar ialah orang yang berada besertamu dan orang itu mengorbankan dirinya sendiri dalam bahagia, semata-mata untuk manfaat dirimu. Itulah sahabatmu, apabila kamu dalam keadaan bimbang, ia sentiasa menyatakan secara terus-terang kepadamu, serta rela mencurahkan tenaga dan kekuatannya semata-mata untuk berkumpul denganmu.”

3.12.11

Memenuhi Panggilan Mu...


Assalamualaikum wbt..

Bismillahirrahmanirrahim...


Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh (QS Al Hajj 22.27)

Ibadah haji bagaikan satu persidangan kemuncak umat Islam, pertemuan saudara-saudara seagama dari pelusuk dunia dengan pelbagai jenis dan rupa bentuk manusia yang datang dengan sebuah hikmah yang sama "Islam Agama Penyatu".

Menyembah ALLAH yang Satu, berjuang demi agama yang satu dan menuju tujuan yang satu, Redha Allah. Kita adalah SATU AQIDAH, SATU UMAT DAN SATU ISLAM. Negara, bangsa, warna kulit, keturunan, jawatan, kekayaan, keilmuan, tidak akan pernah menjadi penghalang bagi kita semua untuk bersatu.


p/s baru hari ni berkesempatan mengupdate blog...dah bersawang hehehe...so ari kongsikan beberapa gambar buat tatapan sahabat semua yang dikasihi Allah swt. Selamat menonton!








12.9.11

Doakan saya...




Labbaika Allahumma Labbaik
Labbaika Laa Syarikalaka Labbaik
Innal hamda wanni'mata
Laka wal Mulk La Syarikalak




Syukur Alhamdulillah Ya Allah kerana memberiku kesempatan untuk menunaikan haji tahun ini. Insya Allah akan berangkat ke Tanah Suci pada 4 Oct ini. Perasaan masih bercampur baur antara rasa tidak sabar untuk menjadi tetamu Allah dengan rasa takut tidak dapat beribadat dengan sempurna.


Semoga Allah SWT permudahkan perjalanan untuk menjadi tetamu-Nya yang paling istimewa. Moga perjalanan ini satu ibadah ku untuk mencari keredhaan-Nya.
Ya Allah..ampunilah dosa-dosaku, berkati dan rahmatilah aku sepanjang masa. Amin Ya Rabb..

Doakan agar ibadah saya diterima dan dikurniakan haji yang mabrur, tiada balasan dan ganjaran kecuali syurga-Nya. Saya doakan sahabat2 dan semua pengunjung blog ini sentiasa dalam limpahan rahmat kasih sayang Allah Taala.

Mohon kemaafan andai blog ini tidak akan diupdate untuk beberapa lama.
Doakan saya...


26.8.11

Hakikat Hari Raya



Bagi umat Islam yang menghadapi Ramadhan ini dengan berpuasa, tentu ternanti-nanti akan ketibaan Syawal yakni hari raya.

Sabda Rasulullah SAW:

"Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kesenangan iaitu ketika berbuka (hari raya) dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Namun bagi orang soleh dan mukmin yang sebenarnya bagi mereka, bukan hanya Syawal hari raya bagi mereka kerana ada hari raya yang lebih diidamkan iaitu bertemu kekasih yaani Allah SWT. sesetengah mereka berpendapat untuk mencapai hakikat hariraya, perlu melepasi lima tahap hari raya.


5 hari raya bagi seorang mukmin ialah:

1. Hari-hari yang mereka lalui tanpa melakukan sebarang dosa.

2. Meninggalkan dunia (waktu menghembus nafas terakhir) beserta iman dan dapat mengucap Lailahaillallah.

3. Ketika selamat menyeberangi titian siratal mustaqim.

4. Ketika dimasukkan ke dalam syurga

5. Waktu dapat melihat wajah Allah


Kecuali Rasul dan Nabi-Nabi yang maksum, manusia tetap melakukan dosa, sama ada dosa besar atau kecil, sengaja atau tidak, dosa yang diketahui atau tersembunyi. Dosa yang dilakukan di masa-masa lalu, sekarang atau akan datang. Dosa lahir mahupun batin. Dosa dengan Allah SWT dan dosa dengan makhluk khususnya dosa sesama insan.


Setiap dosa merupakan titik hitam pada hati. Bila sudah terlalu banyak dosa, hati terasa gelap dan keras. Sekeras-keras batu, boleh pecah dengan titisan air, tetapi hati yang keras, lebih keras dari batu. Hati yang keras tak sensitif lagi dengan Allah SWT. Tak terasa apa-apa bila terdengar neraka atau syurga. Tak rasa takut dan cemas bila buat dosa. Dosa membawa manusia ke neraka, neraka dunia dan neraka akhirat.


Dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT, dosa boleh dibersihkan dengan taubat. Taubat yang benar-benar taubat, taubat nasuha. Pemaaf Allah mengatasi murkaNya. Dosa kecil yang dilakukan secara tetap, berulang-ulang tanpa taubat, boleh menjadi dosa besar. Dosa yang ditinggalkan bukan dengan taubat, dosanya tak terhapus. seperti seorang yang berhenti minum arak atas sebab-sebab kesihatan, bukan kerana Allah SWT.


Bertaubatlah atas setiap dosa. Dosa jangan dipandang pada kecilnya tapi pandanglah dengan siapa kita berdosa. Walaupun dosa kecil tapi kalau Allah murka, kita tak akan selamat.


Kita hanya dikira bertaubat jika benar-benar menyesal, benci dengan dosa serta berazam tidak akan mengulanginya lagi. Jika berdosa dengan manusia, maka mesti diselesaikan dengan manusia.


Rasulullah SAW bersabda, rintihan hati orang berdosa (kerana takutkan Allah) lebih bernilai di sisi Allah daripada zikir para wali. Rasulullah bersabda lagi, orang yang bertaubat dari dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa.


Rasulullah SAW sendiri bertaubat lebih dari 70 kali sehari atau 100 kali sehari, walaupun baginda maksum yakni terpelihara dari dosa. Kita sepatutnya lebih dari itu kerana kita tidak maasum dan sentiasa berdosa.


Perbanyakkan ucapan istighfar (yang terbit dari hati). Sentiasa merasai diri berdosa, dan amalkan sembahyang sunat taubat. Pastikan setiap apa apa yang dilakukan menjadi ibadah dengan memenuhi syarat-syaratnya. Di samping itu bersabar dan redha dengan setiap ujian dan kesusahan yang Allah timpakan kepada kita. Kerana dengan ujian-ujian dan kesusahan itu adalah sebahagian cara Allah nak hapuskan dosa kita. Demikianlah pengisian yang patut dilakukan untuk menjadikan hari-hari berlalu sebagai hari raya.


Di antara saat yang paling ditakuti ialah saat sakaratul maut. Di ketika nyawa di kerongkong sebelum dicabut keluar oleh malaikat Izrail. Inilah saat penentu nasib kita di akhirat seperti amal ibadah dikira di penghujung sama ada ikhlas atau tidak, begitu juga dengan kehidupan kita dikira penghujungnya bagaimana.


Di saat akhir inilah iblis dan syaitan berhabis-habisan untuk menyesatkan manusia. Datang dengan gerombolannya. Ada iblis yang datang menyerupai ibu bapa, guru dan sebagainya. Ada syaitan yang datang menyerupai benda yang kita sayang dan menyerupai benda yang kita benci.


Target utama syaitan ialah supaya anak Adam mati dalam keadaan tercabut iman (tidak membawa iman). Keadaan ketika sakaratul maut amat mengerikan. Di antaranya dibuka hijab hingga orang yang hampir mati itu dapat melihat alam ghaib, dapat melihat seluruh amalan waktu ia hidup dan dapat melihat nasibnya di akhirat nanti.


Walau bagaimanapun orang yang dapat berhari raya peringkat pertama tadi akan mudah baginya untuk mendapat hari raya tahap kedua. Mati dalam beriman serta dapat mengucap Laailahaillallah adalah hari raya bagi seorang mukmin. Masakan tidak, orang yang dapat mati dalam beriman dijanjikan keselamatan di negeri akhirat.


Menempuh Siratal mustaqim di akhirat adalah perkata yang wajib diimani. Di atas titian itu pula akan ada soal jawab dengan malaikat berhubung soal-soal keimanan, solat dan diikuti soal-soal lain mengikut keutamaannya. Jika tak lulus dalam soal jawab akan dicampakkan ke Neraka.


Keadaan orang menyeberang titian Siratal mustaqim berbagai-bagai mengikut amalan masing-masing dengan api neraka menjulang-julang di bawah titian itu. Ada yang menyeberangi secepat kilat, ada yang seperti orang berlari, ada yang merangkak, ada yang menyeberang dalam keadaan titian itu halus bagai rambut yang dibelah tujuh.


Orang yang menyeberang secepat kilat atau disebut golongan bighairi hisab (masuk syurga tanpa hisab) di antaranya golongan nabi dan rasul, wali-wali, orang yang mati syahid, orang yang terlalu sabar, orang yang mampu berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya, orang miskin yang redha dengan kemiskinannya.


Sebenarnya tertahan atau tertangguh di titian siratal mustaqim kerana banyaknya persoalan semasa hidup dahulu merupakan penyiksaan yang berat kerana ukuran masa di akhirat, satu hari di sana bagaikan 1000 tahun di dunia.


Kerana susahnya, siksanya dan lamanya menunggu untuk masuk syurga (jika tidak ke neraka), orang-orang soleh dan wali-wali sangat berhati-hati dalam menerima nikmat dunia. Kerana nikmat dunia, halalnya di hisab, haramnya di azab. Dapat melepasi Siratal mustaqim adalah hari raya kerana ia bererti terlepas dari azab neraka. Bagi orang beriman, inilah antara hari raya yang sebenar.


Ada hari raya yang lebih agung dari terlepas dari neraka iaitu apabila diumumkan sebagi ahli syurga. Inilah kemenangan yang hakiki. Inilah hari raya yang hakiki. Dapat masuk syurga bererti dapat mengecap nikmat akhirat yang kekal abadi dengan serba keindahan dan kegembiraan serta sentiasa dalam keredhaan Allah azzawajalla.


Tidak cukup sekadar itu, bagi penghuni syurga ada lagi nikmat yang sangat dirindui bagi mereka. Itulah kemuncak hari raya yang diidam sejak di dunia lagi. Allah SWT yang dicintai dan disembah sejak di dunia lagi, hidup bagaikan merindui kekasih, dapat bertemu kekasihnya. Itulah saat apabila mereka dapat melihat wajah Allah. Memang nikmat di syurga itu adalah perkara yang tidak terlintas dihati dan tak terbayang dek mata. Tak dapat di bayangkan. Wallahu allam.


Lihat bagaimana orang bertaqwa berhari raya...


Soleh bin Abdullah, apabila tiba hari raya Idil Fitri, pagi-pagi lagi beliau telah keluar ke Musolla (lapangan) untuk menunaikan solat sunat Idilfitri. Dia duduk di hujung lapangan sambil bertakbir. Ditanya orang: "Mengapa kamu duduk di sini? Beliau menjawab: "Saya datang sambil memohon rahmat (kasih sayang) Allah, dan ini adalah tempat orang yang meminta."


Sebaik sahaja selesai menunaikan solat Idilfitri, beliau bergegas pulang ke rumah. Dia mengalungkan rantai besi di lehernya, menabur abu di atas kepala dan badannya sambil menangis dengan kuat. Keluarganya bertanya: "Hai Soleh, hari ini adalah hari raya, hari bergembira, mengapa engkau berbuat demikian?"


Dia menjawab: "Saya tahu hari ini hari raya, akan tetapi saya hanyalah seorang hamba yang diperintah Tuhan supaya beramal untukNya. Maka saya telah mengerjakannya, dan saya tidak mengetahui apakah Dia menerimanya atau tidak.


Demikian orang bertaqwa merasa tidak layak berhariraya kerana bimbangkan amalannya yang tidak sempurna.



Oleh Mohd Fadli Yusof


p/s Selamat berhari raya buat sahabat semua, mohon kemaafan atas segala silap dan salah..


25.8.11

Pencarian sudah bermula...





Ia mungkin hanya sekali

Namun, walau hanya sekali

Ia sudah memadai dengan penantian

Selama 1000 bulan

Carilah ia

Di tengah kesibukkan masamu

Kerana ia hanya berada di hadapan

Matamu

Cuma, menunggu kamu

Mengintainya sahaja....




6.8.11

Andai ini Ramadhan terakhir...





Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu siangnya engkau sibuk berzikir

tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu

mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu

sholat yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawadhu'

tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri

menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji

"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"

sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...

kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu

setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja

di setiap kesempatan juga masa yang terluang

alunan Al Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu malammu engkau sibukkan dengan

bertarawih...berqiamullail...bertahajjud...

mengadu...merintih...meminta belas kasih

"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU

tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang

mari kita meriahkan Ramadhan

kita buru...kita cari...suatu malam idaman

yang lebih baik dari seribu bulan


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir

mempersiap diri...rohani dan jasmani

menanti-nanti jemputan Izrail

di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman


Duhai Ilahi....

andai ini Ramadhan terakhir buat kami

jadikanlah ia Ramadhan paling berarti...paling berseri...

menerangi kegelapan hati kami

menyeru ke jalan menuju redha serta kasih sayangMu Ya Ilahi

semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti


Namun teman...

tak akan ada manusia yang bakal mengetahui

apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya

yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah

berusaha...bersedia...meminta belas-NYA


Andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita

MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH AKU LAKUKAN


16.7.11

Cukuplah Allah sebagai Pemelihara...








Firman Allah SWT :

"Dan kepunyaan Allah lah apa yang di langit dan apa yang di bumi. Cukuplah Allah sebagai Pemelihara"
(Surah An Nisa': 132)



Subhanallah...Ada pesan yang tersirat dalam kejadian ini tentang kebenaran Allah SWT bahawa "Tiada Tuhan Selain Allah" dan Maha Kuasa Allah mengatur makhlukNya.



8.7.11

Kenapa biarkan hati kita lalai...




Bismillahirrahmanirrahim...


Firman Allah SWT :

"Ingatlah Tuhan di dalam hatimu dalam keadaan rendah hati dan takut, bukan dengan suara keras di waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau tergolong ke dalam kumpulan orang-orang yang lalai." (Surah Al A'raf: 205)



Menyedari hidup terlalu singkat tetapi sangat berharga maka Islam bukan sahaja melarang kita melakukan perkara-perkara dosa, malah perkara yang sia-sia. Bahkan, jika seluruh masa dalam hidup ini dihabiskan dalam ketaatan pun, manusia masih tidak mampu membalas seluruh kebaikan Allah SWT.


Apatah lagi, kalau banyak perkara yang sia-sia yang kita lakukan. Mereka yang mensia-siakan hidup dengan perkara yang sia-sia adalah orang yang "bankrap" dalam "perniagaannya" dengan Allah SWT.


Menurut Ibn Qayyim Al Jauzi dalam kitab Al-Fawaid, perkara sia-sia yang jika kita lakukan, insyaAllah ianya berkesan menggagalkan kehidupan kita samada di dunia, juga di akhirat.


* Memiliki ilmu namun tidak diamalkan.

* Beramal namun tidak ikhlas dan tidak mengikuti tuntunan Nabi SAW.

* Memiliki harta namun enggan untuk menginfakkan. Harta tersebut tidak digunakan untuk hal yang bermanfaat di dunia dan juga tidak diutamakan untuk kepentingan akhirat.

* Hati yang tiada perasaan cinta dan harap kepada Allah SWT, dan tiada usaha untuk menghampirkan diri kepadaNya.

* Badan yang lalai dari taat dan mengabdi pada Allah SWT.

* Mencintai Allah SWT tanpa mematuhi suruhanNya dan mencari keredhaanNya.

* Waktu yang tidak diisi dengan amal kebaikan dan pendekatan diri pada Allah SWT.

* Fikiran yang selalu berputar pada hal yang tidak bermanfaat dan sia-sia.

* Pekerjaan yang tidak membuatmu semakin mengabdi pada Allah SWT dan juga tidak memperbaiki urusan duniamu.

* Rasa takut dan rasa harap pada makhluk yang dia sendiri berada pada genggaman Allah SWT. Makhluk tersebut tidak dapat melepaskan bahaya dan mendatangkan manfaat pada dirinya, juga tidak dapat menghidupkan dan mematikan serta tidak dapat menghidupkan yang sudah mati.


Namun, perkara yang lebih besar daripada segala yang tersebut di atas ialah hati yang selalu lalai dan waktu yang tersia-siakan. Hati yang lalai akan membuat seseorang mengutamakan dunia daripada akhirat, sehingga dia cenderung mengikuti hawa nafsu. Sedangkan mensia-siakan waktu akan membuat seseorang panjang angan-angan.


Kehancuran berlaku apabila seseorang itu bertindak mengikut hawa nafsu dan berangan-angan, sedangkan kebaikan hanya dapat diperolehi dengan mengikut jalan yang benar dan bersiap sedia untuk bertemu dengan Allah SWT.


Sedar atau tidak, sesungguhnya manusia sedang menuju kepadaNya. Tidak kira tua, muda, sihat atau sakit ia proses alamiah kepada sebuah kehidupan.


Semoga kita selalu mendapatkan ilmu yang bermanfaat. Segala puji bagi Allah, yang dengan nikmatNya segala kebaikan menjadi sempurna.



Wallahualam..



1.7.11

Khutbah Jumaat - Peristiwa Israk dan Mikraj




Bismillahirrahmanirrahim...


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tanpa kita sedari, kita sudah pun berada di penghujung bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang peristiwa yang sangat penting dalam sejarah hidup Rasulullah SAW dan dalam sejarah umat Islam iaitu peristiwa Israk dan Mikraj.

Israk bermaksud perjalanan Rasulullah SAW pada waktu malam dari masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.

Firman Allah SWT:

"Maha Suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang kami berkati sekelilingnya , untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" (Surah Al Isra': 1)

Mikraj pula bermaksud perjalanan nabi Muhammad SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit ke tujuh berhampiran dengan Arasy.



Sidang Jemaah sekalian,

Inti pati daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah Allah SWT memfardukan solat lima waktu sehari semalam. Dalam peristiwa mikraj, Rasulullah SAW bertemu dengan Allah SWT untuk menerima perintah mengerjakan solat yang pada mulanya 50 waktu dan akhirnya dikurangkan kepada lima waktu.

Peristiwa Mikraj menunjukkan kepada kita ibadat solat mempunyai kedudukan yang paling tinggi di dalam Islam. Ini kerana hanya ibadat solat difardukan di langit. Justeru itu marilah sama-sama kita menjaga kualiti solat kita dengan melakukannya dengan penuh khusyuk dan melakukannya di awal waktu.

Firman Allah SWT:

"Telah berjaya orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk di dalam solatnya"
(Surah Al Mukminun: 1)



Sidang Jumaat yang berbahagia,

Antara pesanan Rasulullah SAW berkenaan solat ialah :

Diriwayatkan daripada Abdullah katanya:

"Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, apakah amal yang paling disukai Allah?"
Baginda SAW menjawab: "Solat pada waktunya"
(HR Imam Bukhari)

Diriwayatkan daripada Uthman bin Affan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

"Barangsiapa yang menyempurnakan wuduk sebagaimana yang diperintahkan Allah, maka solat lima waktu yang diwajibkan akan menghapuskan dosa yang dilakukan antara waktu-waktu solat tersebut" (HR Imam Muslim)

Nabi SAW juga memberi amaran kepada golongan yang mengabaikan solat seperti dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:

"Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka mengakui bahawa tiada tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah dan mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat. Apabila mereka melakukan yang demikian, maka darah dan harta mereka terpelihara melainkan dengan cara yang hak yang dibenarkan oleh Islam dan perhitungan mereka terserahlah kepada Allah"
(HR Imam Bukhari dan Muslim)

Hadith ini menunjukkan bahawa orang yang mengucap dua kalimah syahadah tetap akan diperangi sekiranya dia tidak mendirikan solat.

Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Al Thirmizi daripada Abu Hurairah r.a berkata:

Bersabda Rasulullah SAW :

"Sesungguhnya perkara yang pertama dihisab di akhirat ialah solatnya, sekiranya solatnya baik maka dia termasuk dalam golongan yang berjaya dan sekiranya solatnya rosak, maka dia termasuk dalam golongan yang rugi"



Sidang Jumaat yang berbahagia,

Apa yang menyedihkan kita pada hari ini, terdapat segelintir umat Islam yang memandang ringan tentang solat, terdapat sebahagian mereka yang masih berada dipadang bola atau berpeleseran di pusat membeli belah pada waktu maghrib tanpa mengendahkan solat bahkan lebih menyedihkan masih ada masjid-masjid yang kosong yang tidak dapat menyempurnakan tuntutan fardu kifayah.

Begitu juga terdapat dikalangan umat Islam yang hanya mengerjakan solat pada hari Jumaat sahaja dan ada juga yang solat dua kali setahun iaitu pada hari raya. Inilah sebahagian daripada realiti yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Golongan ini seharusnya mengingati amaran Rasulullah SAW yang berbunyi:

"Sesiapa yang tidak menjaga solat maka dia tidak akan memperolehi cahaya, tidak akan selamat dan dibangkitkan bersama Firaun, Qarun, Haman dan Ummayah bin Khalaf.”
( HR Imam Ahmad, Al Tabarani dan Ibn Hibban)

Tahukah sidang Jumaat sekalian, siapakah Firaun, Haman, Qarun dan Ummayah bin Khalaf? Mereka ini adalah golongan yang disebut dengan jelas di dalam Al Quran dan hadith yang sahih sebagai ahli neraka. Mohon perlindungan Allah daripadanya.



Sidang Jumaat yang berbahagia,

Dalam mengingati Peristiwa Israk, kita tidak boleh melupakan bumi Israk iaitu bumi Palestin, bumi bertuah yang dibuka oleh nabi Ibrahim a.s, bapa kepada nabi-nabi dan rasul-rasul yang ramai. Tanggung jawab membebaskan bumi Palestin bukan tanggung jawab umat Islam di Palestin sahaja tetapi ianya kewajipan setiap individu muslim walau di mana mereka berada.

Marilah kita mengingati ucapan Saidina Umar bin Al Khattab apabila membuka Palestin beliau mengatakan :

"Kita adalah kaum yang dimuliakan dengan Islam, apabila kita mencari selain Islam maka Allah akan menghina kita"

Marilah kita kembali kepada Islam dengan berpegang teguh dengan ajaran Al Quran dan Hadith dan memerangi segala bentuk amalan dan kemungkaran yang ada dalam masyarakat yang jelas bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah.



Wassalam...



19.6.11

Zaman yang paling Rasulullah SAW takuti





Bismillahirrahmanirrahim...


Daripada Abu Hurairah ra berkata : Rasulullah SAW bersabda :

"Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah".

Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?". Nabi SAW menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai". (HR Ibnu Majah)



Zaman yang disebutkan tadi adalah zaman ketandusan. Tandus di segi material dan juga tandus di segi pemikiran. Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan di sanjung dan dibesar-besarkan.

Orang yang benar tidak diberikan peluang untuk bercakap. Yang berpeluang bercakap hanyalah peribadi-peribadi yang hina dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat.



18.6.11

Kasih akan Al Quran...

.



Bismillahirrahmanirrahim...


Al Quran itu seumpama kekasih. Mungkin itulah tamsilan mudah untuk menerangkan perkaitan Al Quran dalam kehidupan kita seharian.

Ternyata, apabila sesuatu itu menjadi kekasih hati kita, maka pelbagai cara kita menzahirkan rasa cinta yang begitu mendalam apa bentuk dan cara sekalipun. Dan sememangnya jika kita bercinta dengan sesuatu itu mengharap cinta kita tidak bertepuk sebelah tangan!

Dari itu, marilah kita merenung sejauh mana hati kita benar-benar mencintai Al Quran kalam Allah Yang Maha Agung.



Kekasih Yang Terlalu Istimewa


Sekeping warkah daripada orang yang kita cintai, pasti akan ditatap sepuas-puasnya malah berulang kali dibaca. Namun, hakikatnya akan timbul juga rasa jemu kelak. Tidakkah ia hanya sekadar bahasa yang tidak memiliki sebarang keistimewaan?

Berbanding Al Quran, biarpun kita membacanya berulangkali, tidak sedikit pun kita akan merasa jemu apatah lagi membencinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah (zikrullah). Ketahuilah dengan mengingati Allah itu , tenang tenteramlah hati manusia"
(Surah Ar Rad: 28)

Malah dijanjikan oleh Allah SWT sesiapa yang ikhlas mengharap keredhaan Allah. Dengan memperbanyakkan zikrullah (mengingati Allah) maka dia akan memperolehi ketenangan yang membahagiakan. Dan zikrullah yang paling afdal (terbaik) itu ialah membaca Al Quran.


Seterusnya Allah SWT juga menyatakan keistimewaan kekasih ini iaitu Allah SWT menurunkan dengan sebaik-baiknya perkataan.

FirmanNya:

"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan pelbagai cara) yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Allah mereka menjadi seram kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.
(Surah Az Zumar: 23)

Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah SWT. Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.



Kekasih Yang Perlu Dimuliakan


Al Quran juga merupakan kekasih yang perlu dimuliakan kerana sifatnya yang berkat dan banyak manfaatnya. Dengan itu Alah SWT telah menyeru kita agar mematuhi kandungan kekasih itu kerana dengan itu kita akan memperolehi keberkatan daripada-Nya,

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan ini sebuah kitab (Al Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya), oleh itu hendaklah kamu menurutnya dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat." (Surah Al An'am: 155)

Malah Allah swt juga menggariskan adab-adab bagaimana memuliakan kekasih kita ini. Antaranya ialah apabila kita mendengar bacaan Al Quran, maka kita perlu mendengar dan berdiam diri,

FirmanNya:

"Dan apabila Al Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat"
(Surah Al A'raf: 204)



Kekasih Yang Setia


Kesetiaan dalam percintaan adalah jaminan kebahagiaan hati. Begitulah juga seandainya kita menjalinkan cinta bersama Al Quran. Namun begitu, orang yang bercinta dengan Al Quran akan sentiasa mengukur kesetiaan dirinya terhadap Al Quran. Lalu apakah ukurannya?

Bukankah qiamullail itu adalah satu pengukur yang paling relevan? Ini kerana kesukaran untuk menunaikan ibadah pada malam hari dengan tidur yang sedikit itu menggambarkan pengorbanan.

Firman Allah SWT:

"Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Antaranya ada golongan yang telah (memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada Agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat. Segala pekara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh" (Surah Ali Imran: 113-114)

Malah At Tabrani meriwayatkan daripada Sahl bin Sa'ad r.a Rasulullah SAW bersabda:

"Kemuliaan seorang mukmin ialah qiamullail (bangun pada waktu malam untuk beribadat)"

Baginda juga menceritakan tentang kelebihan dan ganjaran yang diperolehi seseorang yang berqiamullail dan membaca al-Quran.

"Sesiapa yang melakukan qiamullail dengan membaca sepuluh ayat, dia tidak tertulis daripada kalangan orang-orang yang lalai. Sesiapa yang melakukan qiamullail dengan membaca seratus ayat akan ditulis daripada kalangan orang yang beribadat. Sesiapa yang melakukan qiamullail dengan membaca seribu ayat akan ditulis daripada kalangan orang yang berlaku adil."
(Riwayat Abu Daud)



Kekasih Yang Perlu Dibelai Sentiasa


Kekasih yang perlukan belaian bermaksud kita perlu menjaganya dan sentiasa mendampinginya. Dari itu, Rasulullah SAW sering memberi amaran dan memerintahkan agar umatnya menjaga Al Quran dan tidak melupakannya.

Daripada Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:

"Dibentangkan kepadaku pahala umatku, sehingga pahala hasil perbuatan seseorang yang membuang kotoran daripada masjid. Dibentangkan juga kepadaku dosa-dosa umatku. Aku tidak dapati dosa yang lebih besar daripada satu surah atau satu ayat yang dikurniakan kepada seseorang kemudian dia melupakan". (Riwayat Abu Daud dan At Tirmizi)

Selain itu, kita membelai kekasih ini dengan sifat kita berlumba-lumba untuk membacanya pagi dan malam malah berasa iri hati dengan "kegilaan" orang lain membaca Kalamullah itu.

Dari Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Hasad (iri hati) itu tidak dibenarkan melainkan dua pekara, seseorang yang dirahmati Allah dengan bacaan Al Quran dan terus berada dalam keadaan demikian siang dan malam dan seorang lagi yang dilimpahkan dengan harta yang banyak oleh Allah dan dia membelanjakannya siang dan malam".

Hasad dan iri hati semestinya dilarang oleh Allah SWT. Bagaimanapun ulama mentafsirkan hasad di sini sebagai 'ghitbah' yang dimaksudkan sifat ingin berlumba-lumba. Sifat ini menggambarkan keinginan memperolehi sesuatu sama seperti orang itu dan berlumba-lumba untuk lebih terhadapan dalam beramal.

Semoga kita akan terus konsisten atau beramal secara berterusan untuk menjaga hubungan baik kita bersama Al Quran. Bukankah dia kekasih yang membahagiakan?



Keutamaan Membaca Al Quran

* Ibadat yang paling utama dari segi bacaan, manakala sembahyang sebesar ibadat dari segi gerak laku atau perbuatan.

* Pahala membaca Al Quran, 1 huruf 10 kebajikan, dan menurut Ibnu Majah diganda sampai 400 dan menurut Ibnu Al Jauzi diganda 700 kali.

* Balasan satu huruf yang dibaca ialah bidadari di syurga.

* Juga dikatakan balasan sebatang pokok di syurga.

* Pahala membaca satu huruf al-Quran,
Dalam sembahyang - 100 kebajikan
Di luar sembahyang berwudhuk - 50 kebajikan
Tanpa wudhuk - 10 kebajikan

* Pembaca Al Quran adalah hartawan dan pahala membaca tidak akan putus menurut Ibnu Abbas.

* Untuk selamat daripada api neraka.

* Mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia bersama Malaikat.

* Di hari kiamat, Al Quran menjadi pembela.

* Pembaca akan memperolehi keamanan.

* Membaca sebelum tidur akan mendapat kawalan Malaikat.

* Pembaca dimasukkan ke dalam golongan Siddiqin.



Membacanya Adalah Ibadah..

Memahaminya Adalah Ubat..

Mengikutinya Adalah Petunjuk..

Menghayatinya Adalah Iman dan Taqwa..


.





15.6.11

Subhanallah...syahdunya





Syahdu kan suara adik ni ?

Sekarang kita lihat pula video dibawah ini...
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.



Subhanallah...keistimewaan anugerah ALLAH SWT



23.5.11

Ujian tanda kasihsayang ALLAH SWT



Bismillahirrahmanirrahim...


Untuk apakah ujian itu Allah SWT berikan kepada hamba-hamba-Nya?


Ujian adalah sunnatullah dari Allah SWT untuk memisahkan orang-orang munafik dari barisan orang-orang beriman, memisahkan antara loyang dengan emas.


“Allah menguji hamba-Nya dengan menimpakan musibah sebagaimana seorang menguji kemurnian emas dengan api (pembakaran). Ada yang keluar emas murni. Itulah yang dilindungi Allah dari keragu-raguan. Ada juga yang kurang dari itu (mutunya) dan itulah yang selalu ragu. Ada yang keluar seperti emas hitam dan itu yang memang ditimpa fitnah (musibah).”
(HR Al Tabrani)


Ujian adalah tarbiyah dari Allah SWT untuk meningkatkan derajat hamba-Nya, sebagai wujud kasih sayang-Nya.


“Seorang hamba memiliki suatu derajat di syurga. Ketika dia tidak dapat mencapainya dengan amal-amal kebaikannya maka Allah menguji dan mencubanya agar dia mencapai derajat itu.” (HR Al Tabrani)


Ujian adalah sunatullah untuk orang-orang yang berada di jalan Al Haq. Jika kita tidak merasakan adanya ujian yang berat, maka patut dipertanyakan apakah jalan yang kita lalui adalah jalan yang benar.


Saad bin Abi Waqqash berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berat ujian dan cubaannya” Nabi SAW menjawab, “Para nabi kemudian yang meniru (menyerupai) mereka dan yang meniru (menyerupai) mereka. Seseorang diuji menurut kadar agamanya. Kalau imannya lemah dia diuji sesuai dengan itu (ringan) dan kalau imannya kukuh dia diuji sesuai dengan itu (berat). Seorang diuji terus-menerus sehingga dia berjalan di muka bumi bersih dari dosa-dosa.” (HR Al Bukhari)


Dalam menghadapi ujian, seorang mukmin harus selalu bersangka baik kepada Tuhannya.


“Besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian dan cubaan. Sesungguhnya Allah Azza wajalla bila menyenangi suatu kaum, Allah menguji mereka. Barangsiapa bersabar maka baginya manfaat kesabarannya dan barangsiapa murka maka baginya murka Allah.” (HR Al Tirmidzi)

Allah SWT menghibur orang-orang beriman dalam menghadapi ujian dengan firman-Nya,


“Dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”
(Surah Al Imran: 139)


Kehidupan tidak selamanya berbentuk penderitaan dan kesedihan hati, tetapi bisa juga dalam bentuk kenikmatan dan kesenangan. Bila ujian itu dalam bentuk kesenangan, apakah si hamba itu bersyukur? Bila dalam penderitaan, apakah si hamba itu bersabar?


Syukur dan sabar adalah keistimewaan orang-orang yang beriman, yang dikagumi oleh para nabi.


Syurga memiliki kriteria (muwashofat) untuk orang-orang yang akan memasukinya. Nilai A, B, C, D, atau E adalah hak Allah SWT. Tugas manusia adalah berdoa, berikhtiar dan bersabar. Dan tentu saja, untuk mengetahui apakah kita benar-benar lulus atau tidak, jawapannya ada di hari akhirat nanti.


Lulus ujian, akan menaikkan derajat kita di sisi-Nya dan tiada lain balasannya adalah redhaNya, syurga-Nya dan bidadari.


Allah SWT berfirman, “(Disamping) mereka ada bidadari-bidadari. Seperti mutiara yang tersimpan rapi” (Surah Al Waqiah : 22-23)




 Bersabar dengan ujian itu adalah biasa
Namun bersyukur atas ujian itu adalah luar biasa 






.

20.5.11

Cara menghadapi FUTUR




Bismillahirrahmanirrahim...


Antara bentuk futur adalah rasa malas beribadah dan kadang-kadang boleh meninggalkannya sama sekali. Sikap lemah itu timbul akibat renggangnya hubungan seorang hamba dengan Penciptanya.


Cara menghadapi futur dalam diri.


1- Membaca, merenung dan memikirkan kandungan Al Quran

Firman ALLAH SWT bermaksud: “Dan Kami turunkan Al Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat kepada orang yang beriman.” (Surah Al Isra: 82)

Ada dua perkara yang dianjurkan Ibnul Qayyim bagi mengatasi kemalasan daripada kekerasan hati.

Pertama, bertafakur dan alihkan hatimu dari dunia untuk beberapa waktu, lalu ditempatkan di akhirat.

Kedua, hadapkan seluruh hatimu pada pengertian Al Quran, memikirkan dan memahami apa yang dimaksudkan serta mengapa ia diturunkan. Hayati semua ayatnya. Jika suatu ayat diturunkan untuk mengubat hati, maka dengan izin Allah hati itu pun akan sembuh.


2-Merasakan keagungan ALLAH SWT

Antara ungkapan indah Ibnul Qayyim ketika menyifatkan keagungan Allah Yang Maha Tinggi: “Dia yang mengatur urusan semua hamba, memerintah, melarang, mencipta, melimpahkan rezeki, mematikan, menghidupkan, memuliakan dan menghinakan manusia. Begitu juga menjadikan malam dan siang, menggantikan hari demi hari antara manusia, membalikkan kekuasaan dan menggantikannya dengan kekuasaan yang lain serta urusan dan kekuasaan-Nya berlaku di bumi dan antara kedua-duanya, di lautan dan daratan. Ilmu-Nya meliputi segala sesuatu dan mampu menghitung segala sesuatu.

“Pendengaran-Nya mencakupi pelbagai suara dan tidak ada yang menyerupai-Nya. Bahkan, Dia dapat mendengar suara hiruk-pikuk yang saling bertindih dengan pelbagai perbezaan bahasa. Pendengaran-Nya tidak akan diganggu oleh pendengaran yang lain, tidak menjadi kacau-bilau kerana banyak masalah. Tidak pernah jemu meskipun terus menerus diajukan secara bertubi-tubi dengan permintaan orang yang mempunyai keperluan.

“Penglihatan-Nya meliputi segala sesuatu yang nampak, sehingga Dia mampu melihat langkah kaki semut hitam di tengah-tengah padang pasir yang luas terbentang pada tengah malam gelap-gelita. Yang ghaib dapat disaksikan dan yang tersembunyi nampak jelas bagi-Nya.”

Firman ALLAH SWT bermaksud: “Semua yang ada di langit dan di bumi selalu meminta kepada-Nya. Setiap waktu Dia dalam kesibukan.” (Surah Ar Rahman: 29)


3- Mendalami ilmu syariat

Maksudnya adalah ilmu yang mampu menimbulkan rasa takut kepada ALLAH SWT dan menambah beratnya timbangan iman. Dengan mengetahui ilmu itu, seseorang akan mengetahui apa yang terjadi sesudah mati, kehidupan di alam kubur, ketakutan dahsyat di padang Mahsyar, nikmat yang dikecapi di syurga dan azab pedih di neraka. Begitu juga nikmah syariat, masalah halal dan haram serta perjalanan hidup nabi dan pelbagai perkara yang tidak terhitung manfaatnya.

ALLAH SWT berfirman bermaksud: “Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” (Surah Az Zumar: 9)


4-Mencari persekitaran dan sahabat soleh

Keadaan seseorang banyak ditentukan persekitarannya. Lingkungan baik akan meningkatkan keimanan. Di sanalah seseorang mendapat teguran dan bimbingan ketika melakukan kesalahan.

Di sana pula dirasakan suasana berlumba dalam melakukan ketaatan, zikrullah, turunnya rahmat dan datangnya ketenteraman hati.


5-Memperbanyakkan kerja amal

Kerja amal mampu memberikan pengaruh ketara terhadap hati dan jiwa manusia. Apabila kita melakukan kerja kebaikan dan apa saja amal soleh, jiwa pasti puas dan penuh kedamaiannya.


6-Tumbuhkan rasa takut su’ul khatimah

Takut kepada kematian dalam dosa atau sesat akan mendorong seorang Muslim untuk taat dan memperbaharui iman.


7-Banyak mengingati mati

Mengingati mati juga akan membenteng seseorang daripada derhaka kepada ALLAH SWT. Hati keras berubah menjadi lembut. Tidaklah seseorang itu mengingati mati ketika dilanda kehidupan yang sempit melainkan akan membuatnya menjadi lapang. Antara cara mengingatkan mati adalah dengan sering menziarahi kubur.

Rasulullah SAW bersabda: “Dulu aku melarangmu menziarahi kubur, ketahuilah, sekarang ziarahilah kubur kerana itu boleh melunakkan hati, membuat mata menangis, mengingatkan hari akhirat dan janganlah kamu mengucapkan kata-kata yang kotor.” (HR Hakim)


8-Kepatuhan dan berlepas diri

Saling tolong-menolong dan patuh terhadap sesama mukmin serta berlepas diri daripada orang kafir. Hati yang bergantung dan terpaut pada musuh Allah, akan menjadi lemah. Keimanannya akan menurun dan mencair. Sebaliknya, apabila kepatuhan dimurnikan dan hanya kepada ALLAH SWT, maka ia akan menghidupkan keimanan dan semangat dalam hati.


9-Muhasabah jiwa ketika datang kelemahan

Menurut Ibnu Qayyim, hati memiliki dua sikap iaitu menerima dan menolak. Manfaatkan dua keadaan itu, sama ada ketika cenderung menerima dan menolak.

Ketika hati cenderung menerima, perbanyakkan amal soleh dan ibadah sunnah. Laksanakanlah ibadah sebanyak mungkin pada waktu siang dan malam.

Pada waktu hati sedang menolak (futur), ikatnya dengan melakukan amal wajib saja.

Rasulullah ditanya seorang sahabat : “Wahai Rasulullah, apa pendapat anda apabila aku merasakan lemah dalam melakukan suatu amal?” Baginda menjawab: “Peliharalah keburukanmu daripada manusia kerana itu adalah sedekah bagi dirimu.” Maksudnya jangan menunjukkan keburukan kita di depan manusia lain.


10-Menelaah kisah teladan salafussoleh

Sikap dan teladan salafussoleh, termasuk ulama dan mujahidin hingga zaman kini akan menumbuhkan rasa hina dalam diri hingga menyuntikkan semangat baru dalam jiwa seseorang untuk menjadikan mereka sebagai contoh.



Wallahualam...


25.4.11

Tanda2 Takut Kepada ALLAH SWT




Bismillahirrahmanirrahim...


"Hanyasanya takut akan Allah Taala daripada sekalian hambaNya 'alim ulama'"
(Surah Al Fathir: 28)


Abu Laits menegaskan, bahawa seseorang dinyatakan takut kepada ALLAH SWT dapat terlihat tanda-tandanya dalam tujuh macam hal seperti berikut:


1. Ia memiliki lidah yang selalu menjadikannya sibuk berzikir atau bertasbih kepada ALLAH SWT dengan membaca Al Quran dan mempelajari ilmu agama.


2. Ia memiliki hati yang selalu mengeluarkan dari dalam hatinya perasaan tidak bermusuhan, iri hati, dengki dan sebagainya.


3. Penglihatannya tidak akan memandang kepada hal-hal yang haram, tidak memandang dunia dengan keinginan hawa nafsu, tetapi ia memandanginya dengan mengambil iktibar dan pelajaran.

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa memenuhi matanya dengan hal-hal yang haram, ALLAH SWT akan memenuhi matanya besok di hari kiamat dengan api neraka”


4. Perutnya, dia tidak memasukkan hal-hal haram kedalamnya, sebab yang demikian itu adalah perbuatan dosa.

Sabda Rasulullah SAW: “Ketika sesuap haram masuk dalam perut anak cucu Adam, semua malaikat di bumi dan di langit membenci dan melaknat kepadanya, selama suapan itu masih berada dalam perutnya dan kalau ia mati dalam keadaan seperti itu, maka tempatnya adalah jahanam"


5. Tangannya, dia tidak memanjangkan tangannya kearah hal-hal yang haram, tetapi memanjangkannya untuk memenuhi ketaatan.


6. Telapak kakinya, dia tidak berjalan kepada hal-hal yang haram atau kedalam kemaksiatan, tetapi berjalan di jalan ALLAH SWT dengan bersahabat atau berteman dengan orang-orang yang sholeh.


7. Ketaatannya, dia menjadikan ketaatannya itu murni dan ikhlas kerana ALLAH SWT.


Amalan-amalan yang tersebut diatas, memang tidak mudah untuk dilaksanakan, tetapi bagi orang-orang yang benar-benar mengharapkan kebahagiaan yang abadi di akhirat kelak, beban berat yang mesti dilaksanakan itu bukan lagi menjadi persoalan, meskipun ia harus merangkak sedikit demi sedikit.


Sudah tentu, untuk menanamkan rasa takut kepada Allah SWT hingga menjadi darah daging dan tertanam di dalam hati, harus terlebih dahulu membiasakan diri dengan memenuhi perintah ALLAH SWT dan menjauhi segala laranganNya. Insya Allah dengan usaha seperti itu dari hari ke hari, ketaqwaan kita akan selalu bertambah dan meningkat terus, dan ingatlah bahwasanya iman yang kita miliki terkadang bertambah dan terkadang berkurang, “al-imaanu yazdaadu wa yanqushu”, dan ketika iman kita berkurang atau menurun, maka syaitan menjadi kuat menguasai diri kita di sebabkan kerana pertolongan nafsu dan segala kesenangannya, pada saat itulah kita tertipu oleh hawa nafsu.

“Musuhmu yang paling jahat adalah nafsumu sendiri yang berada diantara kedua sisimu”


Dengan demikian bererti kita harus mempunyai modal besar dalam mengharungi hidup yang penuh dengan aneka ragam godaan syaitan dan duniawi.

ALLAH SWT berfirman: “Dan hendaklah setiap manusia memperhatikan apa yang dia ajukan untuk hari esok”


Dengan memenuhi perintah ALLAH SWT, tentu kita akan senantiasa memperbaiki diri, apa kekurangan kita? Apa kesalahan kita? Bagaimana amal kebajikan kita? Bagaimana pula amal sholeh kita? Dengan demikian, tepatlah apa yang di katakan oleh Sayyidina Umar bin Khattab r.a

“Hisablah diri kalian atau adakanlah perhitungan pada diri kalian sebelum kalian dihisab”.


Sekali lagi marilah kita adakan perhitungan, sudahkah kita penuhi perintah-perintah Allah? Dan sudahkah kita menjauhi larangan-laranganNya!



Wallahualam...





5 minit untuk ALLAH...




12.4.11

Pertembungan Dua Golongan




Bismillahirrahmanirrahim...


"Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya , mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh menjawab: Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu"
(Surah Hud: 38)


Dalam kehidupan seharian, untuk melakukan perkara yang baik, pasti akan ada tentangan dari sebilangan manusia. Tentangan itu berlaku, kerana perkara baik ini adalah perkara yang bercanggah dengan hawa nafsu.


Nafsu ini perkara yang tidak boleh berenggang dalam tubuh manusia. Ia wujud, tetapi tidak dapat dinilai dengan mata kepala. Sama seperti wujud roh, tetapi tidak dapat dilihat. Bukti kewujudan roh adalah wujudnya orang hidup dan orang mati.


Begitu jugalah nafsu manusia. Ia wujud, tetapi tidak dapat dilihat dengan mata kepala manusia. Dalil wujudnya nafsu ini adalah ada manusia yang melakukan perkara yang baik dan ada manusia yang berbuat perkara jahat. Malahan dalam diri seseorang manusia itu sendiri, kadangkala kedua-dua perbuatan ini akan berlaku. Mereka buat benda baik dan kadangkala mereka buat benda jahat.


Manusia yang hanya mengikut hawa nafsu sahaja, pasti akan terdorong untuk melakukan perbuatan jahat. Pun begitu, nafsu ini tidak boleh dibuang dari diri manusia. Tidak ada manusia yang membuang hawa nafsu. Lantaran itu kalau ada orang yang mendakwa telah membuang nafsunya, itu adalah penipu dan perkara mustahil. Tetapi, apa yang sebenarnya berlaku adalah adanya manusia yang boleh mengawal nafsunya.


Bagaimana cara untuk mengawal nafsu? Jawabnya adalah dengan menggunakan akal fikiran yang dipimpin oleh Al Quran dan As Sunnah. Sebab itu, manusia yang mengikut Al Quran dan As Sunnah adalah manusia yang berusaha mengawal nafsunya. Apabila mereka telah berjaya mengawal nafsu, ketika itulah mereka akan menjadi seorang manusia yang baik.


Dalam keadaan wujudnya manusia yang sentiasa melakukan perkara yang baik, mesti ada manusia yang mengikut hawa nafsu. Apabila itulah tindakan mereka, sudah pasti wujud pertembungan, perbalahan dan perselisihan. Pertembungan ini adalah pertembungan antara golongan yang benar dan golongan yang jahat; golongan yang mengikut hawa nafsu dan golongan yang mengawal hawa nafsu.


Melaksanakan perintah ALLAH SWT , merupakan tindakan yang bercanggah dengan kehendak hawa nafsu. Nabi Nuh a.s diarahkan oleh ALLAH SWT untuk membina kapal. Walau susah, penat, dahaga, haus dan sebagainya, malah tanpa mengetahui sebab di sebalik suruhan ALLAH SWT itu, Nabi Nuh a.s tetap patuh dan baginda meneruskan juga usaha membina kapal tersebut. Nabi Nuh a.s patuh dengan perintah tersebut kerana baginda tidak mengikut kehendak hawa nafsunya.


Pada masa yang sama wujud juga manusia yang mengikut hawa nafsunya. Mereka melihat tindakan Nabi Nuh a.s sebagai perbuatan yang sia-sia, lantas mereka memperlekehkan, malahan mereka mengatakan tindakan Nabi Nuh a.s itu adalah bodoh kerana tidak pernah dilakukan manusia yang lain.


Mereka mengatakan Nabi Nuh a.s seorang yang bodoh, sebab mengikut perintah ALLAH SWT dan melanggar kehendak hawa nafsu, walhal orang yang mengikut hawa nafsulah sebenarnya orang yang bodoh. Mereka ini bodoh kerana mereka tidak sedar bahawa mereka akan didatangkan azab oleh ALLAH SWT, ekoran keingkaran mereka terhadap perintah-Nya.


Keadaan sebegini, sebenarnya bukan hanya berlaku pada zaman Nabi Nuh a.s sahaja, malah pada zaman sekarang pun banyak berlaku kejadian sebegini.



Wallahualam...



6.4.11

Tiada Hijab Bagi Yang Teraniaya




Bismillahirrahmanirrahim...


Salah satu dari tanda-tanda akan berakhirnya dunia ialah penzaliman yang berlaku berleluasa, tidak kira golongan atasan atau bawahan, lebih-lebih lagi mereka yang berkuasa. Berlaku penzaliman dan penganiayaan terhadap sesama manusia seakan-akan tidak ada sedikitpun perasaan belas kasihan. Sedih juga mengenangkan mereka yang tidak berhati perut ini. Apakah mereka anggap ALLAH SWT boleh melupakan penganiayaan yang mereka lakukan di dunia begitu sahaja?


Dipaparkan sebuah kisah teladan zaman silam untuk sama-sama merenung hukuman ALLAH SWT terhadap mereka yang suka menzalimi orang lain. Kisah ini berlaku kepada seorang wanita Bani Israel yang tinggal di sebuah rumah yang berhampiran dengan istana raja. Oleh kerana rumahnya telah usang, maka apabila ada tetamu yang datang ke istana, pasti bertanya kepada raja tentang rumah usang tersebut. Maka terasa jatuh maruah raja tersebut hanya kerana rumah usang itu.


Maka untuk mengatasi masalah tu, raja bercadang untuk membeli rumah tersebut daripada wanita Israiliyah itu tetapi wanita itu enggan menjualkannya kepada raja kerana itulah satu-satunya harta yang dimilikinya.


Pada suatu hari, semasa wanita itu tiada di rumah, raja telah memerintahkan pengawal-pengawalnya untuk merobohkan rumah yang dianggap mencemarkan pemandangan istananya. Apabila wanita itu pulang, dia amat terkejut melihat rumahnya yang telah pun dirobohkan. Bertambah hancur hatinya apabila mengetahui bahawa orang yang mengarahkan supaya rumah itu dirobohkan ialah raja sendiri.


Wanita itu lantas menuju ke istana dan berdoa dihadapan pintu istana: “ Ya Allah, jika aku pergi, Engkau tetap hadir untuk membantu orang yang lemah dan menolong orang yang dianiaya” Kemudian ia duduk di situ sehinggalah keluar rombongan raja berserta dengan pengawal-pengawalnya merasa hairan melihat wanita itu duduk di pintu istana.


“Apakah yang kamu buat di sini?” gertak raja dengan angkuhnya.

“Aku sedang menunggu hancurnya gedung istanamu” jawab wanita itu dengan beraninya. Apabila didengar oleh raja dan pengawal-pengawalnya jawapan wanita itu, mereka hanya mentertawakannya.


Tidaklah mereka ketahui bahawa doa orang yang dizalimi sangat cepat ALLAH SWT perkenankan. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengasih terhadap hamba-hamba-Nya, lebih-lebih lagi terhadap mereka yang dizalimi. Maka berlakulah keretakan demi keretakan pada dinding-dinding istana raja dengan tiba-tiba sehingga akhirnya robohlah keseluruhan istana raja itu. Malangnya kesemua penghuni istana tidak sedar dan mereka tidak sempat menyelamatkan diri. Maka tamatlah riwayat raja serta pengawal-pengawalnya bersama dengan kemusnahan istana yang mereka banggakan itu.


Yang paling menakjubkan dari kejadian itu, pada salah satu runtuhan dinding istana itu terdapat tulisan yang berbunyi : “Apakah kamu mengejek dan meremehkan doa, sedangkan kamu tidak mengetahui bagaimana saktinya doa itu. Panah pada waktu malam tidak pernah luput, dan ada saat dan masanya,dan masa itu juga terbatas. Dan ALLAH SWT telah berkehendak sebagaimana yang kamu lihat, maka kerajaan dan kekuasaanmu tiada sisa lagi…”


Begitulah besar ertinya doa orang yang teraniaya. ALLAH SWT terus memakbulkan doa orang yang teraniaya tanpa tangguh-tangguh lagi, sebagai balasan ALLAH SWT terhadap orang-orang yang zalim. Adakalanya ALLAH SWT tangguhkan pembalasannya di dunia bukan kerana ALLAH SWT lupa, tetapi untuk memberi masa orang yang zalim itu insaf dan bertaubat.


Firman ALLAH SWT:

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka ALLAH lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim, sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (Surah Ibrahim: 42)


Saiyidina Ali berkata: “ Awaslah dari doa orang yang teraniaya sebab ia minta haknya dari ALLAH dan ALLAH tiada akan menolak hak seseorang.”


Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Anas ra. Maksudnya :

“Zalim ada 3 jenis, iaitu zalim yang tidak diampunkan oleh ALLAH, zalim yang mudah diampunkan oleh ALLAH dan zalim yang tidak akan dibiarkan oleh ALLAH SWT. Adapun zalim yang tidak akan diampunkan oleh ALLAH SWT iaitu mempersekutukan ALLAH dengan sesuatu yang lain. Manakala zalim yang mudah diampunkan oleh ALLAH SWT ialah perbuatan maksiat antara manusia dengan ALLAH dan zalim yang tidak akan dibiarkan oleh ALLAH SWT iaitu menganiayai sesama manusia maka pasti akan dituntut oleh orang yang teraniaya di hadapan ALLAH SWT”


Justeru itu berhati-hatilah agar kita tidak melakukan penzaliman terhadap sesama makhluk ALLAH SWT . Kerana bukan sahaja di dunia disegerakan balasannya, bahkan kalau orang yang dianiaya menuntut di akhirat, maka bertambah-tambahlah penderitaan yang ditanggung.
Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang yang zalim.


Wallahualam..


29.3.11

Selamatkan kami dari Azab-Mu !

.


Bismillahirrahmanirrahim...


Firman ALLAH SWT :

"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)" (Surah Ar Rum: 41)


Azab akan diturunkan oleh ALLAH SWT kepada manusia sekiranya manusia ingkar terhadap perintahNya. Azab yang akan diturunkan itu pula, kadangkala diturunkan di akhirat. Akan tetapi di dunia pun sudah ditunjukkan penurunan azab tersebut.


Sebarang azab yang diturunkan, tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada ALLAH SWT. Ini bermakna kita tidak boleh menganggap sesuatu azab itu adalah semata-mata kerana ketentuanNya, tanpa ada kaitan dengan apa yang telah kita lakukan semasa hidup ini. Sebaliknya, azab yang diturunkan itu merupakan peringatan kepada manusia agar kembali bertaubat, kembali kepada ALLAH SWT.


Sesuatu azab, apabila diturunkan, ia akan melata kepada semua makhluk. Samada orang jahil mahupun orang alim, baik kaki maksiat mahupun kaki melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT, semuanya tidak terkecuali daripada menerima dan merasainya. Orang jahil dikenakan azab kerana kejahilan mereka. Adapun orang alim dikenakan azab kerana mereka tidak berusaha hendak menghilangkan kejahilan pada sahabat mereka. Kaki maksiat dikenakan azab kerana maksiat yang dilakukannya. Kaki taat dikenakan azab kerana merasakan ketaatan mereka itu sudah cukup untuk diri mereka, sedangkan dalam masa yang sama mereka tidak melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.


Justeru, sifat mahu mencegah kemungkaran dan mahukan orang melakukan makruf perlu disuburkan dalam diri setiap orang Islam. Tanpanya, pasti dunia ini akan ditimpa pelbagai kerosakan. Kerosakan samada dalam bentuk penurunan bala bencana ataupun berbentuk kerosakan moral dan sosial masyarakat seperti penipuan, anak-anak zina, pembunuhan dan sebagainya.


Wallahualam

.

16.2.11

Sesungguhnya beruntunglah mereka yang beriman..


Bismillahirrahmanirrahim..


"Sesungguhnya beruntunglah mereka yang beriman. (Yaitu) mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang berpaling dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna. Dan mereka yang mengeluarkan zakat. Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, maka mereka tidak tercela. Barangsiapa mencari diluar daripada itu (zina dsb), adalah mereka yang melampaui batas. Dan (sungguh beruntung) mereka yang memelihara amanah dan menepati janjinya. Dan mereka yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Yakni yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal didalamnya."

(Surah Al Mukminun: 1-11)


7 sifat mukmin yang 'BERUNTUNG'


Dari ayat di atas, dapat disimpulkan bahwa mukmin yang beruntung adalah yang memiliki tujuh sifat atau ciri yang harus kita miliki dalam hidup ini.


1. Khusyuk dalam solat, yakni solat yang disertai rasa takut kepada Allah SWT dan ia yakin akan berjumpa denganNya sehingga solatnya dilaksanakan dengan penuh konsentrasi dan akan membekas dalam kehidupan sesudah solat.

Firman Allah SWT,

“ Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali orang-orang yang khusyuk, (yaitu) orang-orang yang meyakini, bahwa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahwa mereka akan kembali kepadaNya" (Surah Al Baqarah: 45- 46)


2. Meninggalkan segala bentuk kesia-siaan, baik dalam bentuk perkataan maupun perbuatan. Seorang mukmin yang berjaya bukan hanya mampu untuk menghasilkan sesuatu tetapi juga mampu memberi manfaat kepada orang lain sehingga akan membuatnya menjadi manusia yang terbaik di dunia maupun di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW,

“ Sebaik-baik manusia diantara kamu adalah yang paling banyak manfaatnya kepada orang lain" (HR Muslim)

Begitu pula bila memiliki ilmu, seorang mukmin akan memanfaatkan ilmunya dengan baik agar ia tidak diazab.

Sabda Rasulullah SAW,

“ Orang yang paling keras siksanya pada hari kiamat adalah orang yang berilmu tapi tidak memanfaatkannya" (HR Thabrani)


3. Menunaikan zakat sehingga hartanya bersih dari segala kemungkinan yang haram dan hatinya juga bersih dari sifat-sifat yang tercela dalam kaitan dengan harta seperti kikir, terlalu cinta harta dan sebagainya. Zakat, infak dan sedekah merupakan bentuk-bentuk mengeluarkan harta di jalan kebaikan sebagai ciri orang yang beriman, sehingga mereka pun mendapat jaminan surga dari Allah SWT.

Firman Allah SWT,

“ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka" (Surah At Taubah: 111)


4. Menjaga kemaluan sehingga terhindar dari zina, yakni melakukan hubungan seksual kepada orang yang bukan istri atau suaminya. Kerana zina merupakan perbuatan tercela yang tidak mungkin dilakukan seorang mukmin sejati. Oleh sebab itu hukuman untuk pezina sangat berat.


5. Memelihara amanah atau kepercayaan yang diberikan kepadanya. Mukmin yang beruntung menyedari bahwa jika diberi kercayaan dalam berbagai bentuk itu merupakan sesuatu yang akan selalu dijaga dan dipelihara. Sebab ia merupakan sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT.

Firman Allah SWT,

“ Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui” (Surah Al Anfal: 27)

Betapa pentingnya memelihara amanah sebagai salah satu kunci untuk mendapatkan keberuntungan, maka amanah itu tidak dapat dipisahkan dari iman sehingga tidak sempurna iman bagi orang yang tidak mampu memelihara amanahnya.

Sabda Rasulullah SAW,

“ Tidak (sempurna) iman seseorang yang tidak amanah, dan tidak (sempurna) agama seseorang yang tidak menunaikan janji”
(HR Ahmad)


6. Memenuhi janji, baik janji kepada Allah SWT maupun kepada sesama manusia. Ketika manusia berjanji kepada Allah, seorang mukmin akan memenuhinya, yakni selalu beribadah kepadaNya.

Firman Allah SWT,

“ Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan" (Surah Al Fatihah: 5)

Begitu juga dengan janji kepada sesama manusia yang nantinya akan diminta untuk dipertanggungjawabkan.

Firman Allah SWT,

“ Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai ia dewasa dan penuhilah janji itu pasti diminta pertanggung jawabkan” (Surah Al Isra: 34)


7. Memelihara solat sehingga ia selalu menunaikan solat dengan sebaik-baiknya yang telah diwajibkan kepadanya. Dari solat yang ditunaikan dengan baik inilah, akan lahir dari dirinya kepribadian yang soleh yang selalu menunjukkan prinsip-prinsip solat dalam kehidupan sesudah solat, sehingga solat tidak sekadar dikerjakan, tapi didirikan yang pengaruhnya dapat mencegah dirinya dari perbuatan keji dan mungkar.

Firman Allah SWT,

“ Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu al-Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan ” (Surah Al Ankabut: 45)