30.8.10

Berhemah Dalam Menegur



Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah justeru apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun."
(Surah Yunus :36)

Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya. Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar.

Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik."
(Surah An Nahl :125).

Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya. Sesungguhnya kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah."

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai 'orang perantaraan'
bagi menjelaskan sesuatu perkara.

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah Pertama, tidak merendahkan ego orang yang ditegur. Kedua, mencari waktu yang tepat. Ketiga, memahami kedudukan orang yang ditegur.

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan
kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia
dan diperhitungkan oleh Allah SWT.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk."
(Surah Ali Imran :103)

Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya. Ia terkandung dalam Al Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun.

 Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut."
(Surah Thaha :44)

Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan."

Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan atau perkatakan akan diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan kebatilan. Justeru itu jadikanlah ayat-ayat Al Quran ini
sebagai pegangan hidup kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung."

"Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat."
(Surah Ali Imran :104-105)

23.8.10

"Shanke Yadem"

.

.
.
Mungkin kita tidak akan percaya jika tidak melihat faktanya. Seorang yang tidak kaya, bahkan tergolong dalam golongan fakir miskin, namun mampu membangun sebuah Masjid di Turki. Nama masjidnya pun paling aneh di dunia, iaitu "Shanke Yadem" (Anggap Saja Sudah Makan). Sangat aneh bukan? Di sebalik Masjid yang namanya paling aneh tersebut berselindung kisah yang sangat menarik dan mengandungi pelajaran yang sangat berharga buat kita.
.
.
Ceritanya begini :

.
.
Di sebuah kawasan Al-Fateh, di pinggiran kota Istanbul ada seorang yang warak dan sangat sederhana, namanya Khairuddin Afandi. Setiap kali ke pasar dia tidak membeli apa-apa. Ketika merasa lapar dan ingin makan atau membeli sesuatu, seperti buah, daging atau manisan, ia berkata pada dirinya: "Anggap saja sudah makan" dalam bahasa Turkinya "Shanke Yadem".
.

.
Apa yang dia lakukan selepas itu? Wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli keperluan makanannya itu dimasukkan ke dalam sebuah tabung. Begitulah yang dia lakukan pada setiap bulan dan sepanjang tahun. Dia mampu menahan dirinya untuk tidak makan dan berbelanja sesuka hati kecuali cukup untuk membeli sedikit makanan bagi meneruskan kehidupannya.
.
.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun Khairuddin Afandi tetap istiqamah dengan amal dan niatnya yang kuat untuk mewujudkan impiannya membangun sebuah masjid. Tanpa disedari, akhirnya Khairuddin Afandi mampu mengumpulkan dana untuk membangun sebuah masjid kecil di daerah tempat tinggalnya. Bentuknya sangat sederhana. Sebuah pagar persegi empat, ditandai dengan dua menara di sebelah kiri dan kanannya, sedangkan di sebelah arah kiblat ditengahnya dibuat seperti mihrab.

.
.
Bentuknya boleh dikatakan sederhana, namun jama’ah yang datang dari seluruh pelosok desa memenuhi masjidnya menunggu waktu solat masuk.

.
.
Akhirnya, Khairuddin berjaya mencapai cita-citanya yang amat mulia itu. Masyarakat di sekitarnya pun turut berasa hairan dan kagum. Khairuddin yang miskin itu di dalam dirinya tertanam sebuah cita-cita mulia, yakni membangun sebuah masjid. Khairudin ternyata orang yang sangat luar biasa dan mempunyai tahap keimanan yang tinggi. Ramai lagi orang yang kaya-raya tetapi tidak mampu berbuat kebaikan seperti yang dilakukan oleh Khairuddin Afandi.

.
.
Masyarakat kagum dengan Khairuddin Afandi. Mereka kagum bagaimana seorang yang fakir miskin boleh membangunkan masjid. Mereka pun sepakat memberi namanya dengan "Shanke Yadem" (Anggap Saja Sudah Makan).
.

.
Subhanallah!! Jama’ah yang melimpah, tanda keberkatan dan amal soleh dari harta yang halal dan bersih.


8.8.10

Hadiah & Bonus Hebat !! Menangilah...

.
.
.

~ Bismillahirrahmanirrahim ~
.
.
Sabda Rasulullah saw
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan pengharapan, akan diampun dosa-dosa yang terdahulu"
.
Sheikh Yusuf al-Qardhawy dalam buku "Fiqh as-Siyam"nya menjelaskan ada tujuh hikmah dan maslahah Allah swt mensyariatkan puasa.
.
.
1. Pembersihan jiwa dengan mentaati perintah Allah swt dan meninggalkan laranganNya serta menjadikan ibadat sempurna. Semuanya itu kerana umat Islam menunaikan ibadat puasa dengan meninggalkan keinginan syahwat mereka daripada makan dan minum serta perkara-perkara lain yang ditegah.
.
Allah berfirman dalam hadith Qudsi yang bermaksud:
"Setiap amal anak Adam baginya kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi Aku dan Akulah yang akan membalasnya."
.
2. Para ahli perubatan mengakui dengan berpuasa akan mengimbangi kesihatan badan.
.
3. Melalui berpuasa akan mentarbiyah dan mujahadah diri, mempertingkatkan kesabaran dan menjadikan dirinya mampu meninggalkan maksiat.
.
4. Ibadah puasa boleh menundukkan nafsu syahwat. Ini bertetapan dengan seruan Nabi kepada golongan pemuda yang tidak berkemampuan untuk berkahwin supaya berpuasa kerana ia menundukkan syahwat kepada wanita.
.
5. Memperlihatkan nikmat yang dikurniakan oleh Allah swt kepada makhlukNya. Ini dikesan dengan kelaparan mengingatkan nikmat kenyang, dahaga kepada nikmat mendapat air.
.
6. Hikmah dari segi sosial ialah puasa Ramadhan mampu memaksa umat Islam merasai lapar sekalipun mereka mampu menyediakan makanan. Maka Allah swt samakan di antara mereka supaya mereka yang kaya turut merasai sebagaimana yang dirasai oleh mereka yang fakir miskin atau golongan yang derita dengan kelaparan.
.
7. Hikmah yang terpenting yang menghimpunkan kesemuanya ialah ketaqwaan manusia menerusi ibadah puasa. Sesungguhnya puasa Ramadhan adalah institusi pembezaan yang dikurniakan Allah swt setiap tahun sebagai tarbiyah kepada manusia. Maka sebaik puasa adalah sebagaimana yang disuruh Allah swt. Bagi golongan yang mengikut arahan tersebut mendapat keuntungan yang sangat besar.
.
Walau apapun hikmah puasa yang kita fikirkan, pastinya kita akan beriman dan melaksanakan puasa sebagaimana yang diperintahkan. Kerana kita adalah orang-orang yang beriman.
.
Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa" (Surah Al Baqarah :183)
.
.
.
p/s... ayuh kita 'upgrade' kan diri kita...


4.8.10

Air mata Penyelamat

.

~ Bismillahirrahmanirrahim ~


Sabda Rasulullah saw:

"Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka"


Hidup dimulakan dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan tangis. Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sama ada yang membawa untung atau merugikan.


Kata Ibnu Qayyim - 10 Jenis Tangisan

* Menangis kerana kasih sayang & kelembutan hati.
* Menangis kerana rasa takut.
* Menangis kerana cinta.
* Menangis kerana gembira.
* Menangis kerana menghadapi penderitaan.
* Menangis kerana terlalu sedih.
* Menangis kerana terasa hina dan lemah.
* Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
* Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
* Menangis orang munafik - pura-pura menangis.


Namun setitis air mata kerana takutkan ALLAH persis permata indahnya gemerlapan.

Sabda Rasulullah saw:
"Seseorang yang menangis kerana takut kepada Allah tidak akan masuk ke dalam neraka, meskipun susu dapat kembali ke dalam tetek, ataupun unta bisa masuk ke dalam lubang jarum"


Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada Abid yang berangan-angan tentang Syurga mana kelak ia akan bertakhta.

Nabi bersabda lagi:
"Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih Allah sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur"


Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut- takut tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan.

Sabda Rasulullah saw:
"Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis"

Kenangilah air mata taubat Nabi Adam. Beliau menangis selama 300 tahun tanpa mendongak ke langit tersangat takut dan hibanya terhadap dosa yang telah ia lakukan. Dia bersujud di atas gunung dan air matanya mengalir di jurang Serandip. Dari air matanya itulah Allah telah menumbuhkan pohon kayu manis dan pohon bunga cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum akan air mata Adam lalu berkata, "Manis sungguh air ini." Nabi Adam terdengar lalu menyangka burung itu mempersendakannya lalu ia memperhebatkan tangisannya. Lalu Allah mendengar dan menerima taubat Adam dan mewahyukan, "Hai Adam sesungguhnya belum pernah Aku menciptakan air lebih lazat daripada air mata taubat mu!."

Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata:
"Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu"

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya:
"Kenapa engkau menangis? Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar berperang", jawabnya.

Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidup, lalu berkata:
"Sesungguhnya engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu"

Tanyailah orang-orang soleh mengapa mereka tidak berhibur:
"Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur di hadapan kami, kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah ALLAH"

Simpanlah air mata-air mata tangisan itu semua buat bekalan untuk menginsafi di atas segala kecuaian yang telah melanda diri, segala dosa-dosa yang berupa bintik-bintik hitam yang telah mengkelamkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah swt.

Serulah air mata itu dari persembunyiannya di balik kelopak mata agar ia menitis membasahi dan mencuci hati agar ia putih kembali dan juga semoga ia dapat melebur dosa-dosa dan moga-moga akan mendapat ampunanNya jua.


p/s   hiba...