16.7.11

Cukuplah Allah sebagai Pemelihara...








Firman Allah SWT :

"Dan kepunyaan Allah lah apa yang di langit dan apa yang di bumi. Cukuplah Allah sebagai Pemelihara"
(Surah An Nisa': 132)



Subhanallah...Ada pesan yang tersirat dalam kejadian ini tentang kebenaran Allah SWT bahawa "Tiada Tuhan Selain Allah" dan Maha Kuasa Allah mengatur makhlukNya.



8.7.11

Kenapa biarkan hati kita lalai...




Bismillahirrahmanirrahim...


Firman Allah SWT :

"Ingatlah Tuhan di dalam hatimu dalam keadaan rendah hati dan takut, bukan dengan suara keras di waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau tergolong ke dalam kumpulan orang-orang yang lalai." (Surah Al A'raf: 205)



Menyedari hidup terlalu singkat tetapi sangat berharga maka Islam bukan sahaja melarang kita melakukan perkara-perkara dosa, malah perkara yang sia-sia. Bahkan, jika seluruh masa dalam hidup ini dihabiskan dalam ketaatan pun, manusia masih tidak mampu membalas seluruh kebaikan Allah SWT.


Apatah lagi, kalau banyak perkara yang sia-sia yang kita lakukan. Mereka yang mensia-siakan hidup dengan perkara yang sia-sia adalah orang yang "bankrap" dalam "perniagaannya" dengan Allah SWT.


Menurut Ibn Qayyim Al Jauzi dalam kitab Al-Fawaid, perkara sia-sia yang jika kita lakukan, insyaAllah ianya berkesan menggagalkan kehidupan kita samada di dunia, juga di akhirat.


* Memiliki ilmu namun tidak diamalkan.

* Beramal namun tidak ikhlas dan tidak mengikuti tuntunan Nabi SAW.

* Memiliki harta namun enggan untuk menginfakkan. Harta tersebut tidak digunakan untuk hal yang bermanfaat di dunia dan juga tidak diutamakan untuk kepentingan akhirat.

* Hati yang tiada perasaan cinta dan harap kepada Allah SWT, dan tiada usaha untuk menghampirkan diri kepadaNya.

* Badan yang lalai dari taat dan mengabdi pada Allah SWT.

* Mencintai Allah SWT tanpa mematuhi suruhanNya dan mencari keredhaanNya.

* Waktu yang tidak diisi dengan amal kebaikan dan pendekatan diri pada Allah SWT.

* Fikiran yang selalu berputar pada hal yang tidak bermanfaat dan sia-sia.

* Pekerjaan yang tidak membuatmu semakin mengabdi pada Allah SWT dan juga tidak memperbaiki urusan duniamu.

* Rasa takut dan rasa harap pada makhluk yang dia sendiri berada pada genggaman Allah SWT. Makhluk tersebut tidak dapat melepaskan bahaya dan mendatangkan manfaat pada dirinya, juga tidak dapat menghidupkan dan mematikan serta tidak dapat menghidupkan yang sudah mati.


Namun, perkara yang lebih besar daripada segala yang tersebut di atas ialah hati yang selalu lalai dan waktu yang tersia-siakan. Hati yang lalai akan membuat seseorang mengutamakan dunia daripada akhirat, sehingga dia cenderung mengikuti hawa nafsu. Sedangkan mensia-siakan waktu akan membuat seseorang panjang angan-angan.


Kehancuran berlaku apabila seseorang itu bertindak mengikut hawa nafsu dan berangan-angan, sedangkan kebaikan hanya dapat diperolehi dengan mengikut jalan yang benar dan bersiap sedia untuk bertemu dengan Allah SWT.


Sedar atau tidak, sesungguhnya manusia sedang menuju kepadaNya. Tidak kira tua, muda, sihat atau sakit ia proses alamiah kepada sebuah kehidupan.


Semoga kita selalu mendapatkan ilmu yang bermanfaat. Segala puji bagi Allah, yang dengan nikmatNya segala kebaikan menjadi sempurna.



Wallahualam..



1.7.11

Khutbah Jumaat - Peristiwa Israk dan Mikraj




Bismillahirrahmanirrahim...


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tanpa kita sedari, kita sudah pun berada di penghujung bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang peristiwa yang sangat penting dalam sejarah hidup Rasulullah SAW dan dalam sejarah umat Islam iaitu peristiwa Israk dan Mikraj.

Israk bermaksud perjalanan Rasulullah SAW pada waktu malam dari masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.

Firman Allah SWT:

"Maha Suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang kami berkati sekelilingnya , untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" (Surah Al Isra': 1)

Mikraj pula bermaksud perjalanan nabi Muhammad SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit ke tujuh berhampiran dengan Arasy.



Sidang Jemaah sekalian,

Inti pati daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah Allah SWT memfardukan solat lima waktu sehari semalam. Dalam peristiwa mikraj, Rasulullah SAW bertemu dengan Allah SWT untuk menerima perintah mengerjakan solat yang pada mulanya 50 waktu dan akhirnya dikurangkan kepada lima waktu.

Peristiwa Mikraj menunjukkan kepada kita ibadat solat mempunyai kedudukan yang paling tinggi di dalam Islam. Ini kerana hanya ibadat solat difardukan di langit. Justeru itu marilah sama-sama kita menjaga kualiti solat kita dengan melakukannya dengan penuh khusyuk dan melakukannya di awal waktu.

Firman Allah SWT:

"Telah berjaya orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk di dalam solatnya"
(Surah Al Mukminun: 1)



Sidang Jumaat yang berbahagia,

Antara pesanan Rasulullah SAW berkenaan solat ialah :

Diriwayatkan daripada Abdullah katanya:

"Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, apakah amal yang paling disukai Allah?"
Baginda SAW menjawab: "Solat pada waktunya"
(HR Imam Bukhari)

Diriwayatkan daripada Uthman bin Affan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

"Barangsiapa yang menyempurnakan wuduk sebagaimana yang diperintahkan Allah, maka solat lima waktu yang diwajibkan akan menghapuskan dosa yang dilakukan antara waktu-waktu solat tersebut" (HR Imam Muslim)

Nabi SAW juga memberi amaran kepada golongan yang mengabaikan solat seperti dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:

"Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka mengakui bahawa tiada tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah dan mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat. Apabila mereka melakukan yang demikian, maka darah dan harta mereka terpelihara melainkan dengan cara yang hak yang dibenarkan oleh Islam dan perhitungan mereka terserahlah kepada Allah"
(HR Imam Bukhari dan Muslim)

Hadith ini menunjukkan bahawa orang yang mengucap dua kalimah syahadah tetap akan diperangi sekiranya dia tidak mendirikan solat.

Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Al Thirmizi daripada Abu Hurairah r.a berkata:

Bersabda Rasulullah SAW :

"Sesungguhnya perkara yang pertama dihisab di akhirat ialah solatnya, sekiranya solatnya baik maka dia termasuk dalam golongan yang berjaya dan sekiranya solatnya rosak, maka dia termasuk dalam golongan yang rugi"



Sidang Jumaat yang berbahagia,

Apa yang menyedihkan kita pada hari ini, terdapat segelintir umat Islam yang memandang ringan tentang solat, terdapat sebahagian mereka yang masih berada dipadang bola atau berpeleseran di pusat membeli belah pada waktu maghrib tanpa mengendahkan solat bahkan lebih menyedihkan masih ada masjid-masjid yang kosong yang tidak dapat menyempurnakan tuntutan fardu kifayah.

Begitu juga terdapat dikalangan umat Islam yang hanya mengerjakan solat pada hari Jumaat sahaja dan ada juga yang solat dua kali setahun iaitu pada hari raya. Inilah sebahagian daripada realiti yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Golongan ini seharusnya mengingati amaran Rasulullah SAW yang berbunyi:

"Sesiapa yang tidak menjaga solat maka dia tidak akan memperolehi cahaya, tidak akan selamat dan dibangkitkan bersama Firaun, Qarun, Haman dan Ummayah bin Khalaf.”
( HR Imam Ahmad, Al Tabarani dan Ibn Hibban)

Tahukah sidang Jumaat sekalian, siapakah Firaun, Haman, Qarun dan Ummayah bin Khalaf? Mereka ini adalah golongan yang disebut dengan jelas di dalam Al Quran dan hadith yang sahih sebagai ahli neraka. Mohon perlindungan Allah daripadanya.



Sidang Jumaat yang berbahagia,

Dalam mengingati Peristiwa Israk, kita tidak boleh melupakan bumi Israk iaitu bumi Palestin, bumi bertuah yang dibuka oleh nabi Ibrahim a.s, bapa kepada nabi-nabi dan rasul-rasul yang ramai. Tanggung jawab membebaskan bumi Palestin bukan tanggung jawab umat Islam di Palestin sahaja tetapi ianya kewajipan setiap individu muslim walau di mana mereka berada.

Marilah kita mengingati ucapan Saidina Umar bin Al Khattab apabila membuka Palestin beliau mengatakan :

"Kita adalah kaum yang dimuliakan dengan Islam, apabila kita mencari selain Islam maka Allah akan menghina kita"

Marilah kita kembali kepada Islam dengan berpegang teguh dengan ajaran Al Quran dan Hadith dan memerangi segala bentuk amalan dan kemungkaran yang ada dalam masyarakat yang jelas bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah.



Wassalam...