24.2.10

...akan kami buktikan

.

.

Kalau kita ingin merasakan kehadiran Allah s.w.t dalam diri kita,

maka hadirkanlah Rasulullah s.a.w di hati kita...

Kalau kita ingin disapa oleh Allah s.w.t,

maka sapalah Rasulullah s.a.w dengan membaca selawat...

Kalau kita ingin dicintai Allah s.w.t,

maka cintailah Rasulullah s.a.w...

.

Firman Allah dalam Surah Al Imran: 31

"Katakanlah: Jika kamu mengasihi Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosamu. Dan Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang"

.

18.2.10

Ilmu Itu Adalah Imam Dan Amal Itu Adalah Makmum

.

~ Bismillahirrahmanirrahim ~

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al Fathir: 19-21

"Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat dan tidak pula (sama) kegelapan dengan cahaya dan tidak pula (sama) yang teduh dengan yang panas"

Allah telah menggambarkan orang yang berilmu seperti orang yang indah matanya. Manakala orang yang jahil seperti seorang yang buta matanya. Sungguh tinggi perumpamaan terhadap orang yang berilmu.

Sabda Rasulullah s.a.w

"Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan permudahkannya untuk masuk syurga. Para malaikat akan mengepakkan sayapnya keatas pencari ilmu, kerana mereka suka dengan apa yang dilakukannya. Orang yang berilmu dimintakan ampun oleh semua yang ada di langit dan di bumi, bahkan ikan-ikan di air juga turut memohon ampun untuknya. Keutamaan orang yang alim atas ahli ibadah seperti keutamaan bulan di atas bintang. Para ulama adalah pewaris nabi dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Sehingga orang yang mengambilnya benar-benar telah mengambil bahagian yang sempurna"
(HR Imam Bukhari)

Betapa orang yang berilmu sangat dihormati dan dipandang tinggi. Namun virus-virus malas dan tidak mengamalkan ilmu yang ada semakin lama semakin membara dikalangan penuntut ilmu.

Sungguh ramai penuntut ilmu mulai mencari ilmu untuk kemegahan dan keuntungan dunia. Ada juga yang bertujuan untuk berdebat dan menguji para ulama yang ada.

Nasihat Rasulullah s.a.w kepada penuntut ilmu tentang hal ini. Sabda baginda,

"Jangan mempelajari ilmu untuk menyombongkan diri pada ulama, berbangga dengan orang yang jahil, serta memilih-milih majlis. Sesungguhnya barangsiapa yang melakukan hal tersebut, dia akan masuk ke dalam neraka"
(HR Ibn Hibban)

Begitu juga dengan siapa saja yang menuntut ilmu niatnya kerana ingin mendapat keuntungan dunia.

Sabda Rasulullah s.a.w

"Seharusnya seseorang yang mempelajari sesuatu ilmu adalah untuk mendapat keredhaan Allah, namun jika dia mempelajari adalah memperoleh kesenangan dunia, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada hari Kiamat"
(HR Ibn Hibban)

Oleh sebab niat yang tidak jujur dan ikhlas menuntut ilmu kerana Allah, membuat ilmu itu hanyalah di lidah tanpa pengamalan. Sedangkan ilmu itu haruslah dipenuhi dengan amalan, kerana ilmu itu adalah imam dan amal itu adalah makmum.

Al Imam Yusuf Al Qardhawi berkata,

"Sesungguhnya musibah terburuk yang menimpa kehidupan dan menerpa umat manusia adalah orang alim yang perkataannya bertentangan dengan perbuatannya dan perbuatannya mendustakan perkataannya. Orang alim seperti ini adalah bencana untuk hamba-hamba Allah"

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al Shaf: 3

"Amat besar kebencian disisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan"

Sungguh hina dan azab kepada orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan imunya.

Golongan berilmu ini juga dinamakan sebagai seorang munafik, kerana orang munafik lahiriahnya bagus tetapi dalamannya rosak. Lidahnya manis menuturkan kata-kata hikmah namun amalannya pahit 'bak hempedu'. Memperdayakan manusia dengan ilmu yang ada, padahal hatinya kosong dari keyakinan iman dan Islam. Golongan ilmuan seperti ini adalah munafik yang alim tutur katanya.

Sabda Rasulullah s.a.w

"Sesungguhnya sesuatu yang paling aku risaukan sepeninggalanku terhadapmu ialah setiap orang munafik yang alim lidahnya"
(HR Tabrani)

Jadi berhati-hatilah dengan golongan ilmuan seperti ini .


~ Wallahualam ~



10.2.10

Kenapa Kita Diuji?





~ Bismillahirrahmanirrahim ~

Firman Allah dalam Surah Al Ankabut : 1-3
Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

Hakikat kehidupan ini adalah ujian dari Allah s.w.t.
Mengapa manusia diuji?


Rasa kehambaan

Rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap TuhanNya iaitu rasa miskin, jahil,lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesusahan, kemiskinan, kekurangan atau cercaan, seorang yang memiliki rasa kehambaan akan nampak segalanya itu datang daripada Allah s.w.t.

Firman Allah dalam Surah At Taubah : 51
"Katakanlah (Muhammad) tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman"

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu.

Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita 'memberontak' hati akan bertambah kacau.

Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja'
Innalillahi wainna ilaihi rajiun

Firman Allah dalam Surah Al Baqarah : 156
"Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali"

Mengapa kita diperintahkan mengucap istirja'? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah, kepadaNya kita akan dikembalikan.
Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita adalah hambaNya.


Rasa bertuhan

Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada yang Maha Kuat. Bila rasa kurang, timbul pengharapan kepada yang Maha Sempurna. Bila miskin, timbul rasa ingin meminta pada yang Maha Kaya.

Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan adalah hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan. Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat.

Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah disisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya.

Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah s.a.w yang mententeramkan Saidina Abu Bakar ketika bersembunyi di Gua Thur dengan katanya "La Tahzan Innallaha Maana - Jangan takut sesungguhnya Allah bersama kita!"

Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para Nabi dan Rasul, mujadid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan dengan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa.

Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah s.w.t.

Firman Allah dalam Surah Al Baqarah: 153
"Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat"


Memahami maksud takdir Allah s.w.t

Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah s.w.t. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah disamping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu.

Kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita. Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita ialah hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutama bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah. Yakin kepada kasih sayang, keampunan dan sifat pemurahNya.

Apa jua takdir yang ditimpakanNya keatas kita, adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandanganNya yang Maha Luas, semua yang ditakdirkan keatas hambaNya pasti bermaksud baik. Jadi bersangka baik kepada Allah s.w.t.

Firman Allah dalam Surah Al Baqarah: 216
"Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya"

Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih 'kerja tuhan' yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita yakni mengawal perlayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari masa ke semasa.


Mendapat hikmah bila diuji

Hikmah adalah sesuatu yang tersirat yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Melalui ujian-uijan kita mendapat didikan langsung daripada Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w
"Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja"

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, redha dan pemaaf daripada Allah? Maka dengan ujian, darjat para rasul, para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ditingkatkan. Mereka sentiasa diuji dan paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Firman Allah dalam Surah Al Baqarah: 214
Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan sehingga Rasul dan orang-orang beriman bersamanya merintih, "Bilakah datangnya pertolongan Allah?"

Bagi orang yang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik disebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkanNya sebagai satu pengampunan.
Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.

Justeru, berkata para muqarrabin tentang hikmah ujian..
"Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan dan Allah melepaskan engkau dari kedua-duanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah"


~ Wallahualam ~



4.2.10

Ketika Hati Sudah Menjadi Batu

.

.
~ Bismillahirrahmanirrahim ~
.
.
Abu Hurairah berkata,
"Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tenteranya.
Jika raja itu baik, maka akan baik pulalah tenteranya.
Jika raja itu buruk, maka akan buruklah pula tenteranya"

.

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali. Antaranya..

1. Malas melakukan ketaataan dan amal kebajikan

Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat atau merasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah.

Allah s.w.t telah menyifatkan kaum munafikin dalam Surah At Taubah:54,

"Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta mereka) melainkan dengan rasa enggan"

2. Tidak merasa menghayati dengan ayat Al Quran

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca Al Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya.

Sedangkan Allah s.w.t memberi ingatan dalam Surah Al Qaf: 45,

"Maka beri peringatanlah dengan Al Quran orang yang takut dengan ancaman Ku"

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat

Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segalanya ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia saja.

Akhirnya jadilah ia seorang yang dengki, ego dan individualistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah dilecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap kemaksiatan dan dosa.

5. Tidak terpengaruh dengan peristiwa-peristiwa yang dapat memberi pengajaran seperti kematian, sakit, bencana dan seumpamanya. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa padahal cukuplah kematian sebagai peringatan.

Firman Allah s.w.t dalam Surah At Taubah: 125,

"Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?"

.

Persoalannya sekarang, kenapa hati keras membatu?

Pertama adalah kerana tidak diberikan makanan dan santapan rohani yang sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan minum, begitulah hati. Jika tidak diubati ia bukan saja akan sakit malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia" (Surah Al Ra'd: 28)

Kedua adalah kerana tidak lagi berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata" (Surah Al Zumar: 22 )

.

Sucikanlah 4 hal dengan 4 hal

Wajahmu dengan linangan airmata keinsafan

Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu

Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu

Dosa-dosa yang silam disulami dengan taubat kepada Dzat yang Memilikimu

.

~ Wallahualam ~