27.2.12

Bijak lagi berhemah...OLEYY!!




Tengahari itu kami berehat sebentar melepaskan lelah setelah travel beratus kilometer ke Kuala Lumpur. Sebelah petangnya ada lagi 2 program besar menanti dan perlu berada semula di Perak pada waktu Isya' sebelum meneruskan ekspedisi dakwah ke bumi Kedah keesokan harinya.

Peluang berehat seketika itu memang sangat mustahak demi mengekalkan kesegaran untuk mengharungi jadual padat kami pada hari itu.

Di saat berehat itu, kami didatangi seorang lelaki Eropah, memperkenalkan dirinya sebagai Frank Michel. Rupanya beliau merupakan first secretary kedutaan German di Malaysia. Beliau menghampiri kami kerana tertarik kepada lambang jemaah Islam yang tertera di jaket yang kami pakai.

Peluang keemasan ini kami gunakan sepenuhnya untuk menerangkan dasar Islam serta polisi jemaah dakwah kami ini. Ternyata beliau seolah-olah mendengarnya buat kali pertama.

Kami tidak hairan dengan keadaannya itu. Maklumat sebenar Islam telah lama disorokkan, hanya perkara berkaitan solat, puasa, haji dan zakat sahaja yang sering dikaitkan dengan Islam, sedangkan Islam itu adalah cara hidup dan lebih dari 5 rukun Islam itu sahaja.

Justeru, soalannya berkaitan dengan perkara selain 5 rukun Islam terutamanya berkaitan hukum hudud sudah boleh dijangka bentuk nada soalannya.

"Kenapa Islam minta potong tangan orang yang mencuri? Tidakkah itu sangat kejam?" soal lelaki German itu dengan nada separuh provok dan ingin tahu.

Suasana menjadi diam seketika.


Setelah diam buat beberapa ketika, saya membalas soalannya dengan nada yang sangat lembut dan senyuman yang tidak lekang di bibir, "Soalan anda itu sangat menarik!". Saya menunjukkan minat kepada soalan provokasinya itu.

"Dalam Islam, kita mengutamakan keadilan. Kepada siapa sahaja, samada seorang lelaki atau wanita, kanak kanak atau dewasa, sihat atau sakit, tanpa mengira kaum dan warna kulit" saya memulakan muqaddimah. Dia mendengar dengan penuh minat sambil mengangguk angguk kepala.

"Begitu juga keadilan bagi orang telah kehilangam barangnya kerana dicuri. Haknya perlu dibela. Keadilan perlu ditegakkan" saya mula masuk ke topik perbincangan.

Tiba-tiba lelaki German itu mencelah, "Betul, saya setuju keadilan perlu ditegakkan. Tapi takkanlah sampai kena potong tangan?" soalnya lagi.

Saya tersenyum. Teringat perbincangan dalam kelas Syariah saya tempoh hari dalam madah Siasah Syariah. Suasana hampir serupa kerana kami telah mensimulasikan suasana dialog seperti ini dalam kelas. Lucu juga rasanya bila tiba tiba terbayang lelaki German di hadapan saya sekarang ini seperti kawan sekelas yang merupakan orang Banjar berasal dari Bagan Serai!

Saya mengawal semula eksperisi muka agar kelihatan tenang dan tidak menyinggung perasaan lelaki German itu.

"Tuan, salahkah doktor kalau dia mengarahkan pesakit diabetis untuk dipotong kakinya? Jika tidak salah, mengapa?" soalan retorik dilontarkan.

Cepat-cepat lelaki German itu menjawab, "Sudah tentulah tidak salah. Sebab doktor itu tahu apa yang terbaik untuk pesakitnya. Dia ahli dalam bidang perubatan"

Saya bertanya lagi, "Eh, bukankah kaki itu sangat berharga dan penting untuk kegunaan seharian?"

"Memanglah penting, tapi ia sudah berpenyakit, jika tidak dipotong, akan merebak dan membahayakan anggota lain pula. Silap silap membawa maut pula" petah lelaki German itu menjawab.

Saya sekali lagi tersenyum. Alhamdulillah, sudah nampak sinar di hujung dialog ini.

Segera saya menyambung bicara, "Jika demikian, begitulah dengan si pencuri tadi, dia adalah seorang manusia yang "berpenyakit" dan ubat kepada sakit itu ada pada pembuat manusia itu, iaitu  ALLAH. Dan ALLAH  tentukan bahawa cara mengubatnya ialah dengan memotong tangan si pencuri".

"Tapi kenapa perlu potong, tak bolehkah jika kita penjarakan sahaja. Tangan tu penting untuk kegunaan seharian" bentaknya.

Saya tenang mendengar respon spontannya.

"Tuan, jika dalam kes diabetis tadi, bukankah doktor itu tidak salah apabila memotong kaki pesakitnya, begitulah dengan kes curi ini. Ia jika dibiarkan akan membarah, akan menggangu ketenteraman anggota masyarakat yang lain. Dan yang menariknya, bukan semua kes curi kita akan potong tangan. Barang curian yang terdedah kepada curian seperti ditinggalkan di tempat terbuka, harga barang curian yang murah seperti gula gula seringgit, keadaan masyarakat yang dhorurat seperti kebuluran yang melampau, semua ini tidak tergolong dalam kes potong tangan apabila mencuri" panjang lebar saya terangkan.

Lelaki German itu kelihatan terkejut dan kemudiannya nampak kelegaan di wajahnya. Kelihatan sangat puas dengan jawapan yang diberikan. Maklumat ini tidak pernah dia dengar dari media perdana. Senyuman terukir di wajahnya menghapus semua kerutan di dahi.

Saya menghabiskan sedutan terakhir air jus oren di depan saya dan bangun meminta diri ke masjid kerana mahu menunaikan solat Jumaat.

Tiba- tiba dia bangun menghalang, "Ustaz, boleh tak saya ikut serta ustaz ke masjid?" tanya penuh mengharap sambil memegang lembut tangan saya.

"Kenapa ya anda mahu ikut kami ke masjid?" saya meminta kepastian.

"Saya mula berminat dengan Islam. Saya mahu belajar mengenai Islam"  jawabnya penuh semangat.

Saya tersentuh dengan jawapannya. Terharu sehingga terasa bergenang air mata ini.

Saya merangkul tangannya erat seraya berkata, " Let's go my brother," dengan senyuman puas di bibir.





**  Tidak Pilih Selain Hukum ALLAH  **



21.2.12

Insan contoh




Maka ketahuilah, menghormati manusia kerana ilmu agamanya yang tinggi adalah lebih baik 
dari menghormati pangkat anugerah manusia di dunia yang nyata hanya sementara sahaja...




19.2.12

Ingatlah...




Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. (Surah Al Hujurat: 12)




15.2.12

Jadikan Percakapan Satu Zikir



Assalamualaikum...

Hari ini percakapan dunia kita sudah menjadi kebiasaan dan sudah sebati serta sudah menjadi darah daging kita. Dalam keadaan tidak sedar, kita hari ini telah mengagungkan dunia melalui percakapan kita. Nauzubillah...apa yang sepatutnya kita agungkan hanyalah  Allah SWT!

Firman Allah SWT :

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah lalu peringatkanlah (manusia). Dan tuhan engkau, hendaklah engkau besarkan. Dan pakaian engkau, hendaklah engkau bersihkan. Dan perbuatan dosa, hendaklah engkau tinggalkan. Dan janganlah engkau memberi (kerana hendak) mendapatkan balasan yang lebih banyak. Dan kerana (memenuhi perintah) Tuhan engkau, hendaklah engkau bersabar. (Surah Al Mudathir : 1-7)

Nabi Muhammad SAW bersabda :

“Perbaharuilah iman kamu sekalian. Sahabat bertanya: Bagaimanakah caranya memperbaharui iman kami? Ujar baginda: Hendaklah kamu memperbanyakkan ucapan La Ilaha illallah.” (HR Ahmad)


Berkata Imam Al Ghazali :
“Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”


Oleh sebab itulah kita perlu ubah percakapan kita daripada percakapan yang sia-sia dan keduniaan kepada percakapan yang membesarkan Allah SWT dan percakapan yang haq iaitu perkara yang kita tidak nampak seperti kubur, mahsyar, mizan, titian sirat, syurga dan neraka,  untuk datangkan keinsafan dan peringatan buat diri kita.


Menurut Rasulullah SAW ada tiga jenis manusia, iaitu manusia yang mendapat pahala, manusia yang selamat daripada dosa dan manusia yang binasa. Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir, mengerjakan solat dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya dengan baik. 


Berkata Saidina Ali bin Abi Talib :  "Sikap seseorang tersembunyi di bawah lidahnya"


Kita dapat mengenali peribadi seseorang daripada percakapannya. Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang baik-baik sahaja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya.




Kata-kata  Muhammad B Abdullah Al-Abid,

Sesiapa yang meninggalkan penglihatan yang tidak perlu, 
maka ia mendapat taufik untuk khusyuk. 

Siapa yang meninggalkan sombong, 
diberi taufik untuk bertawaduk

Siapa yang meninggalkan bicara yang tidak penting, 
maka ia mendapat hikmah

Siapa yang meninggalkan makanan yang berlebihan, 
maka diberikan taufik untuk merasakan lazatnya ibadah, 

Siapa yang meninggalkan senda gurau, 
diberi wibawa dan keindahan

Siapa yang meninggalkan tertawa, 
maka ia wibawa dan hebat!


8.2.12

Moga Ikhlas Milik Kita




Semua murabbiku berpesan pada suatu perkara yang sama, sedangkan aku berjumpa mereka pada waktu dan tempat yang berbeza. Seolah hati mereka begitu kuat bertaut!

“Ikhlaskan hati kalian. Allah pasti mengatur pertolongan untuk kalian!”


Mungkin ayat dan susunan perkataan berbeda, namun semua mereka menyeru dan menasihati kami satu perkara yang maha penting dalam perjuangan - KEIKHLASAN!!

Ikhlas, hakikat yang sukar

Dalam Risalah Taalim, As Syahid Imam Hassan al Banna menyatakan dengan jelas perihal ikhlas,

Apa yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah saudara muslim itu meniatkan setiap kata, tindakan dan jihad yang dilakukan hanya untuk Allah, mencari keredhaan dan ganjaranNya tanpa mengharapkan harta atau kemasyhuran atau kedudukan atau pangkat atau kemajuan atau kemunduran. Ini bermakna dia merupakan pejuang fikrah dan akidah bukan memperjuangkan matlamat dan kepentingan peribadi.

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan. (Surah Al An'am: 162-163)

Dengan ini saudara muslim akan memahami maksud apa yang sering dilaungkannya:

“Allah matlamat kami” dan “Allah Maha besar dan segala puji bagi Allah”


Inilah pengertian mudah ikhlas itu sendiri.

Hakikat betapa sukarnya untuk mendapat keikhlasan ini diakui seorang ulama yang bernama Sufyan Ats Tsauri. Beliau pernah menyatakan,

“Sesuatu yang paling sulit bagiku untuk aku luruskan adalah niatku, kerana begitu seringnya ia berubah-ubah.”

Namun begitu, ia adalah suatu hal yang mesti kita bajak dan pasak dalam jiwa walau sukar sekalipun. Tanpanya amalan kita adalah sia-sia, menjadi debu-debu yang berterbangan.

Haruskah menyemai benih ikhlas?

Ya, benih-benih ikhlas itu harus benar kita tanam dan menyuburkannya dalam jiwa kita yang tandus ini. Agar, saat kita dipanggil berjumpa denganNya kelak dalam keadaan tersenyum. Bahagia.

Bagaimana ?


Satu, sembunyikan segala amal kebaikan.

Kebaikan yang kita lakukan harus disembunyikan lagak si pencuri menyembunyikan harta curiannya. Amalan yang dilakukan tanpa diketahui manusia lain ternyata lebih senang untuk menumbuhkan ikhlas atasnya, kerana itu rahsia antara diri dan Allah  sahaja.

Sungguh beruntung mereka yang berbuat demikian. Kerana janji Rasulullah SAW, di antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah SWT adalah mereka yang bersedekah dan menyembunyikan sedekahnya tersebut hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.

Sedekah hanyalah simbolik kepada kebaikan lain. Jadi, rahsiakan amalan kebaikanmu.


Dua, merasa amal yang kita lakukan hanya secuil berbanding sahabat lain.

Benar,sekiranya kita merasakan amalan kita ini hanyalah ibarat zarah kecil berbanding sahabat lain maka perasaan bangga padanya akan lenyap. Perasaan rendah diri pula akan mengambil ruang itu, InsyaAllah.


Tiga, takut segala amal tidak diterima Allah SWT.  Allah SWT berfirman,

“Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahwa) Sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka.” (Surah Al Mu'minun: 60)


Dalam Tafsir Ibnu Katsir menghuraikan ayat ini Allah SWT menjelaskan bahwa di antara sifat-sifat orang mukmin adalah mereka yang memberikan suatu pemberian, namun mereka takut akan tidak diterimanya amal perbuatan mereka tersebut.

Bila jiwa sebegini ditanam, nescaya diri tidak lut oleh kejian malah pujian manusia. Mereka hanya mengharapkan amalannya diterima Allah rabbul jalil.


Akhir, berdoalah!

Berdoalah agar Allah SWT menempatkan ikhlas itu dicelah hati kita. Dan menjauhi rasa riak yang akhirnya menjadi kita syirik padaNya.

Berdoalah dengan doa yang telah Nabi ajarkan pada kita,

“Ya Allah, aku memohon perlindungan kepada-Mu dari perbuatan menyekutukan-Mu sementara aku mengetahuinya, dan akupun memohon ampun terhadap perbuatan syirik yang tidak aku ketahui.” (Hadits Shahih Riwayat Ahmad)


Penutup

Rasulullah SAW bersabda,

“Berkaitan dengan ikhlas, aku bertanya kepada Jibril a.s , apakah ikhlas itu?

Lalu Jibril berkata,“Aku bertanya kepada Tuhan yang Maha Suci tentang ikhlas, apakah ikhlas itu sebenarnya?“

Allah SWT yang Maha Luas Pengetahuannya menjawab,“Ikhlas adalah suatu rahsia dari rahsia-Ku yang Aku tempatkan di hati hamba-hamba-Ku yang Kucintai.“(H.R Al-Qazwini)


Maka, mudah-mudahan ikhlas itu menjadi milik kita yang menjadi rahsia kita dan Dia.



4.2.12

Kau Istimewa



Dinihari di Madinah al Munawwarah 
Ku saksikan para sahabat berkumpul di masjidmu
Angin sahara membekukan kulitku
Gigiku gemertak..kakiku bergoncang..hatiku tak keruan.


Tiba-tiba pintu hujrahmu terbuka 
Engkau datang, Ya Rasul ALLAH
Ku pandang dikau..ku dengar salam bersahut-sahutan.
Kau tersenyum, ya Rasulullah..wajahmu bersinar
Angin sahara berubah menjadi hangat
Cahayamu menyelusup seluruh sendi dan darahku


“Assalamualaikum ayyuhan Nabi Warahmatullah
Assalamualaikum ayyuhan Habibullah”


Dinihari Madinah berubah menjadi siang yang cerah
Ku dengar engkau berkata:
Adakah air pada kalian?
Ku lihat pantas gharibahku
Para sahabat sihat memperlihatkan kantong kosong
Tidak ada setitis pun air, ya Rasulullah
Ku sesali diriku
Mengapa tak kucari air sebelum tiba di masjidmu
Alangkah bahagianya, jika ku basahi wajah dan tanganmu
Dengan percikan air dari gharibahku
Ku dengar suaramu lirih
Bawakan wadah yang basah
Inginku meloncat mempersembahkan gharibahku
Tapi… ratusan sahabat berdesakan mendekatimu
Kau ambil gharibah kosong..Kau celupkan jari-jarimu
Subhanallah!!! Kulihat air mengalir dari sela-sela jemarimu
Kami merapati, berebut berwudhu dari pancuran sucimu
Kulihat Ibnu Mas’ud mereguk sepuas-puasnya
Betapa sejuk air itu ya Rasulullah
Betapa harum air itu ya Nabiyullah
Betapa lazat air itu ya Habibullah….


Alangkah bahagianya solat di belakangmu
Ayat-ayat suci mengalir dari suara baidurimu
Melimpah syahdu mendamaikan sanubari
Adakalanya menyusup sendu ke jiwa, oh terasanya…..
Sesudah solat, kau pandangi kami dengan redupan kasih
Masih dengan senyuman sejuk menawan kalbu
Cahaya di wajahmu ya Rasulullah, tak mungkin ku lupakan
Ingin kubenamkan setitis diriku dalam samudera dirimu
mahu kujatuhkan sebutir debuku dalam saharamu yang tak terjangkau


Ya Rasulullah… ya Habibullah…
Ku dengar kau berkata lirih penuh persoalan:-
Siapakah makhluk yang imannya paling mempesona?
Malaikat, Ya Rasul ALLAH!
Bagaimana Malaikat tidak beriman,
Bukankah mereka berada di samping ALLAH?!
Para nabi, ya Nabiyullah!
Bagaimana pula para nabi tidak akan beriman,
Bukankah kepada mereka ternuzulnya wahyu Tuhan?!
Kami , para sahabatmu…?
Bagaimanalah kalian tidak mungkin beriman,
Bukankah aku di tengah-tengah kalian?!
Telah kalian saksikan kehadiranku bersama pedoman nan nyata
Kalau begitu, siapakah mereka wahai kekasih ALLAH???


Langit Madinah bening..bumi Madinah hening..kami termanggu
Siapakah gerangan yang imannya sungguh mempesona?
Ku tahan nafasku, ku hentikan detak jantungku, ku dengar sabdamu:-
Yang paling menakjubkan imannya
Mereka yang datang sesudahku
Beriman kepadaku
Padahal tidak pernah melihat dan bertemu denganku
Yang paling mempesona imannya
Mereka yang tiba setelah aku tiada..itulah ikhwanku!
Yang membenarkanku..mempercayaiku tanpa pernah berjumpa
Bukankah kami ini saudaramu juga, ya Rasulullah?
Kalian sahabat-sahabatku…
Saudaraku adalah mereka yang tidak pernah sekali berhadapan denganku
Mereka beriman pada yang ghaib, mendirikan solat
Menginfaqkan sebahagian rezeki yang dikurniakan Tuhan!


Kami terpaku…
Langit Madinah bening..bumi Madinah hening
Ku dengar lagi engkau berkata:
Alangkah bahagianya aku mampu menemui mereka…
Suaramu parau, butir-butir air matamu bergenang
Engkau menangis, ya Rasulullah
Engkau rindukan ummatmu, ya Nabiyullah
UMMATI…UMMATI…UMMATI


Ya ALLAH…
Airmata ini tak mampu untuk ku tampung lagi
Di sini terhenti kata sabda Kekasih-Mu
Berdosanya aku pada insan pilihan-Mu bernama MUHAMMAD itu
Akulah ummatnya yang tidak tahu mengenang budi
Membalasi jasanya,apatah lagi berkorban demi Dia
Dia mendambakan pertemuan dengan kami, ummatnya!
Tapi kami….. oh! Malunya padamu ya Sofiyullah…..


Aspirasi Daripada Hadis Mutafaqun’alaih;
Olahan Semula: Saruman Namus & Abban Malena


**Syafaatkan kami....Ya  RASULULLAH**