28.4.12

Indahnya kasih sayang...




Sabda Rasulullah SAW

“ALLAH  SWT mempunyai 100 rahmat (kasih sayang), dan menurunkan 1 rahmat (dari 100 rahmat) kepada jin, manusia, binatang, dan haiwan melata. Dengan rahmat itu mereka saling berbelas-kasih dan berkasih sayang, dan dengannya pula binatang-binatang buas menyayangi anak-anaknya. Dan (ALLAH SWT) menangguhkan 99 bagian rahmat itu sebagai kasih sayang-Nya pada Hari Kiamat nanti.”
(HR Muslim)



27.4.12

20.4.12

Buktikan kesyukuran kepada ALLAH SWT





Pada zaman Sayyidina Umar Al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang bermaksudnya:

"Ya ALLAH! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit"

Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika Sayyidina Umar sedang melakukan tawaf di Kaabah. Sayyidina Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya:

"Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya ALLAH! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada ALLAH?"

Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku  takut dengan penjelasan ALLAH seperti 

Firman-Nya  yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami  telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur". (Surah Al A'raaf: 10)

Aku memohon agar ALLAH memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada ALLAH.

Jelas pemuda berkenaan. Mendengar jawapan itu, Umar Al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri:

"Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu".

Syukur adalah pengakuan hati terhadap sesuatu ganjaran dan nikmat dianugerahkan ALLAH  SWT. Syukur bukan hanya meliputi perkara nikmat, kita juga perlu bersyukur apabila terlepas daripada bala, malapetaka dan bencana.

Pelbagai nikmat dianugerahkan ALLAH  SWT terhadap hamba-Nya. Keseluruhan nikmat dikurniakan perlu ada bukti yang memperlihatkan kesyukuran. 

Bukti mensyukuri nikmat harta adalah apabila seseorang hamba itu membelanjakan hartanya di jalan ALLAH  SWT.

Bukti mensyukuri nikmat kekuasaan diperoleh oleh pemimpin adalah menjadi pemimpin yang adil dan berusaha sekuat tenaga memberikan kesejahteraan kepada orang dipimpinnya. 

Bukti mensyukuri nikmat ilmu adalah mengamalkannya dan mengajarkannya kepada orang lain.

Begitulah bukti mensyukuri nikmat yang lain dengan menggunakannya kepada jalan ALLAH  SWT. Banyak pengajaran ditunjukkan oleh ALLAH  mengenai mereka yang diazab kerana tidak mensyukuri nikmat-Nya.

Antaranya, Firaun ditenggelamkan bersama bala tenteranya kerana kufur terhadap nikmat kekuasaan. Qarun ditenggelamkan ke dalam perut bumi bersama harta bendanya kerana kufur terhadap nikmat harta. Hamman diseksa kerana kufur nikmat kecerdikan ALLAH  SWT berikan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 
“Sesungguhnya ALLAH  mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan. Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka ALLAH  akan pindahkan nikmat itu kepada kaum yang lain pula.” (Hadis riwayat At-Thabrani)

Berdasarkan peristiwa dirakamkan dalam Al Quran, ia membuktikan nikmat ALLAH SWT yang tidak disyukuri akan dimusnahkan mengikut kadar kekufurannya. Sesungguhnya sangat banyak nikmat yang ALLAH  kurniakan tanpa kita sedari.

ALLAH  menyatakan, jika kita cuba menghitung nikmat dikurniakan kepada kita, nescaya tidak dapat dihitung dan terhitung. 

Firman ALLAH  SWT yang bermaksud: 
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya.” 
(Surah An Nahl: 18)

Mereka yang tidak bersyukur dengan nikmat dikurniakan ALLAH, sedikit atau banyak, mereka itu masih jauh dengan rahmat ALLAH.

Firman ALLAH  SWT yang bermaksud: 
“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim: 7)

Bersyukur hendaklah diterjemahkan dalam seluruh amalan kehidupan seharian. Orang yang bersyukur pasti ibadahnya bertambah, seluruh hidupnya mengarah kepada tuntutan ibadah diperintahkan ALLAH  SWT.

Kerap kali kita memikirkan sesuatu yang telah hilang sehingga lupa mensyukuri apa yang ada di depan. Kita merasa sedih kerana kekurangan material padahal kita masih memiliki kunci kebahagiaan.

Oleh itu, renungkanlah supaya kita sentiasa bersyukur dan janganlah kita termasuk golongan mereka yang ingkar. 

Firman Allah yang bermaksud: 
“Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal dari Allah, tetapi mereka mengingkarinya.” (Surah An Nahl: 83)

Justeru, sentiasalah bersyukur kepada ALLAH  SWT tanpa bertangguh-tangguh. Jika kita menerima nikmat ALLAH  keseluruhannya wajiblah kita menerima Islam keseluruhannya. Semoga kita tergolong dalam golongan yang sedikit itu. Aaamiiin...