Beberapa perkara yang perlu dilakukan sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam Hadith dan Sunnah untuk terlepas atau diringankan dari seksaan kubur.
1. Memelihara solat 5 waktu.
Bahawa orang yang memelihara solat 5 waktu itu akan dihindarkan dari seksaan kubur. Sebaliknya orang yang mengabaikannya maka diwaktu dia mati, mayatnya dihimpitkan kubur sehingga berselisih tulang rusuknya.
(HR Ibu Hajar Al-Haitami dalam kitabnya Az-Zawaajir)
2. Selalu membaca Surah Al-Ikhlas terutamanya dalam kesakitan yang membawa kematian.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Siapa membaca Qul huwallaahuahad dalam kesakitan yang membawa matinya, tiadalah ia menderitai himpitan kubur dan di Hari Kiamat kelak, ia dibawa oleh malaikat dengan telapak tangannya hingga terlepas dari Titian Siratul Muntaha dan sampai ke syurga (bagi mereka yang beriman)
(Al-Imam At-Tabaraani meriwayatkan dari Abdulah b. Asy-Syakhiir)
3. Sentiasa membaca Surah Al-Mulk (Tabaarak) pada setiap malam sekurang-kurangnya malam Jumaat.
Rasulullah s.a.w menamakan surah ini dengan "Al-Maani'ah (yang mencegah) dan "Al-Munjiah (yang menyelamatkan) dimana beliau bersabda:
"Dialah surah pencegah yang menyelamatkan pembacanya dari seksaan kubur"
(At-Tarmizi meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a)
Dan diriwayatkan Imam Ahmad daripada Jaabir b. Abdullah berkata:
"Adalah Nabi s.a.w tidak tidur hingga dibaca Surah As-Sajdah dan Al-Mulk.
4. Mati syahid.
At-Tarmizi dan Ibnu Maajah meriwayatkan bahawa antara kelebihan mati syahid kerana menegakkan kalimah Allah s.w.t ialah seorang itu akan dijauhkan seksaan kubur.
5. Mati di malam atau siang hari Jumaat.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Tiadalah seseorang Islam yang meninggal dunia di hari atau malam Jumaat, melainkan Allah memeliharanya dari fitnah kubur"
(HR Al-Tarmizi)
6. Mati sebab sakit dalam perut.
.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Siapa mati disebabkan penyakit dalam perut tidaklah dia diseksa dalam kuburnya"
(Ibnu Maajah dan At-Tarmizi meriwayatkan dari Abu Daud)
7. Tidak ditangisi mayat diwaktu kematian seperti perlakuan Jahiliah.
Umar Al-Khattab menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Seseorang yang mati itu akan diseksa dalam kuburnya disebabkan dia ditangisi"
(HR Al-Bukhari dan Muslim)
8. Memperbanyakkan memberi sedekah atau derma kebajikan.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya sedekah itu akan mengurangkan kepanasan (keseksaan) kubur daripada yang selalu memberi sedekah dan hanya sesungguhnya seseorang mukmin itu akan dapat bernaung dibawah naungan sedekahnya di Hari Kiamat"
(At-Tabaraani meriwayatkan dari Uqbah b. Aamir)
9. Menyempurnakan basuhan wuduk dan menolong yang dianiayai.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Ada seorang hamba Allah yang diperintahkan supaya dipukul 100 kali dalam kuburnya. Akan tetapi oleh sebab orang itu selalu berdoa supaya dilindungi daripada seksaan kubur semasa hidupnya maka dia dipukul hanya sekali pukulan. Akan tetapi dengan sekali pukulan itu menyebabkan kuburnya dipenuhi api. Sesudah api hilang (padam) dan dia sembuh dari pukulan itu maka orang itu bertanya kepada malaikat, "Sebab apakah saya dipukul (tadi)". Malaikat menjawab, "Engkau bersembahyang tanpa wuduk (dengan wuduk yang tidak sempurna basuhannya) dan engkau pernah melalui orang yang dianiayai tetapi engkau tidak memberikan pertolongan"
(At-Tahaawi meriwayatkan dari Ibnu Masuud)
10. Selalu memohon pada Allah s.w.t agar dilindungi dari seksaan kubur.
Bahawa Rasulullah s.a.w membacakan doa memohon daripada Allah s.w.t agar dilindungiNya dari 4 perkara yang mana dibacakan lepas Tasyahhud Akhirnya sebagai sunnah baginda s.a.w (yg perlu diikuti segera) iaitu dibacakan sebelum doa terakhir sebelum salam.
"Wahai Allah, sesungguhnya saya memohon perlindungan Engkau daripada seksaan Neraka Jahanam, daripada seksaan kubur, daripada fitnah (perdayaan) hidup dan mati dan daripada fitnah Al-Dajjal"
(HR Imam Muslim, Abu Daud, An-Nasaa'i, Ahmad b. Hanbal, Abu Awanah dan Ibnu Al Jaaruud)
11. Seseorang hamba Allah itu hendaklah selalu membaca dan mengkhatami Al Quran serta berdoa diwaktu khatamnya dengan salah satu doa yang pernah diajarkan Rasulullah s.a.w berbunyi:
"Perjinakkan keliaranku dari ketakutan dalam kuburku"
(HR Abi Umaamah)
Wallahualam