29.3.11

Selamatkan kami dari Azab-Mu !

.


Bismillahirrahmanirrahim...


Firman ALLAH SWT :

"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)" (Surah Ar Rum: 41)


Azab akan diturunkan oleh ALLAH SWT kepada manusia sekiranya manusia ingkar terhadap perintahNya. Azab yang akan diturunkan itu pula, kadangkala diturunkan di akhirat. Akan tetapi di dunia pun sudah ditunjukkan penurunan azab tersebut.


Sebarang azab yang diturunkan, tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada ALLAH SWT. Ini bermakna kita tidak boleh menganggap sesuatu azab itu adalah semata-mata kerana ketentuanNya, tanpa ada kaitan dengan apa yang telah kita lakukan semasa hidup ini. Sebaliknya, azab yang diturunkan itu merupakan peringatan kepada manusia agar kembali bertaubat, kembali kepada ALLAH SWT.


Sesuatu azab, apabila diturunkan, ia akan melata kepada semua makhluk. Samada orang jahil mahupun orang alim, baik kaki maksiat mahupun kaki melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT, semuanya tidak terkecuali daripada menerima dan merasainya. Orang jahil dikenakan azab kerana kejahilan mereka. Adapun orang alim dikenakan azab kerana mereka tidak berusaha hendak menghilangkan kejahilan pada sahabat mereka. Kaki maksiat dikenakan azab kerana maksiat yang dilakukannya. Kaki taat dikenakan azab kerana merasakan ketaatan mereka itu sudah cukup untuk diri mereka, sedangkan dalam masa yang sama mereka tidak melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.


Justeru, sifat mahu mencegah kemungkaran dan mahukan orang melakukan makruf perlu disuburkan dalam diri setiap orang Islam. Tanpanya, pasti dunia ini akan ditimpa pelbagai kerosakan. Kerosakan samada dalam bentuk penurunan bala bencana ataupun berbentuk kerosakan moral dan sosial masyarakat seperti penipuan, anak-anak zina, pembunuhan dan sebagainya.


Wallahualam

.