30.11.09

Betapa Dahsyatnya Azab Kubur

.




Beberapa perkara yang perlu dilakukan sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam Hadith dan Sunnah untuk terlepas atau diringankan dari seksaan kubur.

1. Memelihara solat 5 waktu.

Bahawa orang yang memelihara solat 5 waktu itu akan dihindarkan dari seksaan kubur. Sebaliknya orang yang mengabaikannya maka diwaktu dia mati, mayatnya dihimpitkan kubur sehingga berselisih tulang rusuknya.
(HR Ibu Hajar Al-Haitami dalam kitabnya Az-Zawaajir)

2. Selalu membaca Surah Al-Ikhlas terutamanya dalam kesakitan yang membawa kematian.

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Siapa membaca Qul huwallaahuahad dalam kesakitan yang membawa matinya, tiadalah ia menderitai himpitan kubur dan di Hari Kiamat kelak, ia dibawa oleh malaikat dengan telapak tangannya hingga terlepas dari Titian Siratul Muntaha dan sampai ke syurga (bagi mereka yang beriman)
(Al-Imam At-Tabaraani meriwayatkan dari Abdulah b. Asy-Syakhiir)

3. Sentiasa membaca Surah Al-Mulk (Tabaarak) pada setiap malam sekurang-kurangnya malam Jumaat.

Rasulullah s.a.w menamakan surah ini dengan "Al-Maani'ah (yang mencegah) dan "Al-Munjiah (yang menyelamatkan) dimana beliau bersabda:
"Dialah surah pencegah yang menyelamatkan pembacanya dari seksaan kubur"
(At-Tarmizi meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a)

Dan diriwayatkan Imam Ahmad daripada Jaabir b. Abdullah berkata:
"Adalah Nabi s.a.w tidak tidur hingga dibaca Surah As-Sajdah dan Al-Mulk.

4. Mati syahid.

At-Tarmizi dan Ibnu Maajah meriwayatkan bahawa antara kelebihan mati syahid kerana menegakkan kalimah Allah s.w.t ialah seorang itu akan dijauhkan seksaan kubur.

5. Mati di malam atau siang hari Jumaat.

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Tiadalah seseorang Islam yang meninggal dunia di hari atau malam Jumaat, melainkan Allah memeliharanya dari fitnah kubur"
(HR Al-Tarmizi)

6. Mati sebab sakit dalam perut.
.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Siapa mati disebabkan penyakit dalam perut tidaklah dia diseksa dalam kuburnya"
(Ibnu Maajah dan At-Tarmizi meriwayatkan dari Abu Daud)

7. Tidak ditangisi mayat diwaktu kematian seperti perlakuan Jahiliah.

Umar Al-Khattab menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Seseorang yang mati itu akan diseksa dalam kuburnya disebabkan dia ditangisi"
(HR Al-Bukhari dan Muslim)

8. Memperbanyakkan memberi sedekah atau derma kebajikan.

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya sedekah itu akan mengurangkan kepanasan (keseksaan) kubur daripada yang selalu memberi sedekah dan hanya sesungguhnya seseorang mukmin itu akan dapat bernaung dibawah naungan sedekahnya di Hari Kiamat"
(At-Tabaraani meriwayatkan dari Uqbah b. Aamir)

9. Menyempurnakan basuhan wuduk dan menolong yang dianiayai.

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Ada seorang hamba Allah yang diperintahkan supaya dipukul 100 kali dalam kuburnya. Akan tetapi oleh sebab orang itu selalu berdoa supaya dilindungi daripada seksaan kubur semasa hidupnya maka dia dipukul hanya sekali pukulan. Akan tetapi dengan sekali pukulan itu menyebabkan kuburnya dipenuhi api. Sesudah api hilang (padam) dan dia sembuh dari pukulan itu maka orang itu bertanya kepada malaikat, "Sebab apakah saya dipukul (tadi)". Malaikat menjawab, "Engkau bersembahyang tanpa wuduk (dengan wuduk yang tidak sempurna basuhannya) dan engkau pernah melalui orang yang dianiayai tetapi engkau tidak memberikan pertolongan"
(At-Tahaawi meriwayatkan dari Ibnu Masuud)

10. Selalu memohon pada Allah s.w.t agar dilindungi dari seksaan kubur.

Bahawa Rasulullah s.a.w membacakan doa memohon daripada Allah s.w.t agar dilindungiNya dari 4 perkara yang mana dibacakan lepas Tasyahhud Akhirnya sebagai sunnah baginda s.a.w (yg perlu diikuti segera) iaitu dibacakan sebelum doa terakhir sebelum salam.
"Wahai Allah, sesungguhnya saya memohon perlindungan Engkau daripada seksaan Neraka Jahanam, daripada seksaan kubur, daripada fitnah (perdayaan) hidup dan mati dan daripada fitnah Al-Dajjal"
(HR Imam Muslim, Abu Daud, An-Nasaa'i, Ahmad b. Hanbal, Abu Awanah dan Ibnu Al Jaaruud)

11. Seseorang hamba Allah itu hendaklah selalu membaca dan mengkhatami Al Quran serta berdoa diwaktu khatamnya dengan salah satu doa yang pernah diajarkan Rasulullah s.a.w berbunyi:
"Perjinakkan keliaranku dari ketakutan dalam kuburku"
(HR Abi Umaamah)


Wallahualam




22.11.09

Peringatan Buat Diri Ini

.


Bismillahirrahmanirrahim

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman" (Surah Az-Zaariyaat:55)
Beringatlah, begitu banyak perkara yang membuat kita diseksa di alam kubur. Beruntunglah bagi mereka yang memiliki persiapan yang cukup bagi berhadapan dengan ajalnya kelak. Beruntunglah mereka yang memiliki akhlak yang baik, cemerlang memelihara diri, istiqamah melaksanakan fardu dan sunat serta sering bertaubat. Amalan-amalan itu akan mendampingi kita sehingga alam kubur menjadi indah dan damai. Itulah yang kita perlu persiapkan sekarang sebelum menjelang ajal.

Namun bagi mereka yang malang, yang tidak mengerti rahsia hidup, hanya tahu berseronok dengan dunia dan tidak mengenal Allah, mengabaikan solat, lebih suka mengumpul harta, cenderung memuaskan nafsu, Allah s.w.t tidak memberinya kebahagiaan di alam kubur apatah lagi di akhirat nanti. Jadi jalan yang terbaik adalah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Berwaspadalah kerana apabila ajal tiba tiada siapa dapat menghalang dan menahannya.

Kubur setiap hari menyeru manusia sebanyak 5 kali

1. Aku rumah yang terpencil, maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al Quran
2. Aku rumah yang gelap, maka terangilah aku dengan selalu solat malam
3. Aku rumah yang penuh tanah dan debu, bawalah amal soleh yang menjadi hamparan
4. Aku rumah ular berbisa, maka bawalah amalan bismillah sebagai penawar
5. Aku rumah pertanyaan Malaikat Munkar dan Nankir maka banyakkanlah bacaan "Laailaahaillah Muhammadur Rasulullah" supaya kamu dapat jawapan kepadanya

5 jenis racun dan 5 jenis penawarnya

1. Dunia itu racun, zuhud itu ubatnya
2. Harta itu racun, zakat itu ubatnya
3. Perkataan yang sia-sia itu racun, zikir itu ubatnya
4. Seluruh umur itu racun, taat itu ubatnya
5. Seluruh tahun itu racun, Ramadhan itu ubatnya

Bersiap-sedialah. Kain kafan bila-bila masa bakal menjadi pakaian kita. Mungkin esok ataupun lusa. Mudah-mudahan Allah s.w.t menolong kita, menjadikan kematian suatu keyakinan dan pendorong untuk kita memperbanyakkan amal soleh. Yakinlah seksa kubur tersedia. Yakinlah kita perlu menolong ibubapa kita, samada yang masih hidup ataupun yang sudah pergi dengan doa dan kesolehan kita.



13.11.09

Bagaimana Meraih Haji Mabrur?

.


Bismillahirrahmanirrahim


Sabda Rasulullah s.a.w:

"Balasan bagi haji mabrur tidak lain hanyalah syurga"

Haji mabrur itu adalah amalan haji yang menepati segenap hukum-hakam haji yang meninggalkan kesan mendalam kepada pelakunya terutaman persoalan hatinya yang menuju ketenteraman rohani daripada pengamalannya menurut syarat-syarat berikut:

1. Ikhlas kerana Allah s.w.t

Niat yang ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah adalah penentu kepada tercapainya haji yang mabrur bukan kerana mengejar gelaran haji. Ia menepati doa baginda Rasulullah s.a.w : "Ya Allah! Anugerahkanlah haji kerana-Mu, bukan kerana riyak (menunjuk-nunjuk) dan bukan mahu mencari nama"

2. Beramal menepati sunnah Rasulullah s.a.w

Hendaklah berusaha mengetahui selok-belok manasik haji dengan baik melalui penyertaan dalam siri kursus haji agar memantapkan ilmu mengenai sifat-sifat haji baginda Nabi sebagaimana dalam satu hadis bermaksud: "Hendaklah kamu lakukan manasik haji dengan sebaik-baiknya, kerana aku sendiri pun tidak tahu apakah aku boleh lakukan haji selepas haji yang aku lakukan ini"

3. Persediaan diri dari sudut rohani dan jasmani

Seseorang mampu meraih haji mabrur dengan persediaan diri yang mantap iaitu sentiasa melakukan taubat nasuha, sumber yang halal untuk mengerjakan haji, memilih kawan-kawan yang mempunyai ciri-ciri soleh, menunaikan hak-hak manusia sekeliling, gemar untuk memberi nasihat kepada ahli keluarga dan merasai ketenangan jiwa sebelum berlepas ke Tanah Suci.

4. Sentiasa melakukan amalan yang baik-baik

Berbuat baik terhadap ahli keluarga terutama isteri dan anak-anak, berakhlak mulia, suka melakukan yang makruf, berbuat-baik kepada manusia dengan pelbagai bentuk kebaikan samada melalui perkataan, ungkapan, perbuatan, contoh teladan, membelanjakan harta pada perkara baik terutama keluarga, belanja orang-orang yang baik, menunjukkan sesuatu kebaikan (ajaran agama) kepada yang tidak mengetahui dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Menurut Abdullah bin Umar bin al-Khattab: "Sesungguhnya perkara yang baik itu terlalu banyak, walaupun hanya sekadar memaniskan muka dan bercakap lembut"

5. Memperbanyakkan melakukan perkara-perkara yang bersifat ketaatan

Antaranya menjauhkan segenap bentuk maksiat, menyegerakan solat lima waktu dalam keadaan berjemaah di masjid/surau, berkata benar dalam apa jua keadaan dan membiasakan diri dengan sifat-sifat terpuji. Inilah bekalan terbaik bagi bakal haji kerana baginda s.a.w ada menyebut dalam hadisnya yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak pula berkata kesat, memaki, mencela dan sebagainya, maka dia memperoleh haji mabrur (seolah-olah bersih tiada dosa seperti baru dilahirkan oleh ibunya)

6. Mengetahui rahsia-rahsia haji

Bakal haji perlu mengetahui beberapa rahsia haji yang tersirat khususnya mengenai rukun dan hukum haji dengan baik, merasakan bahawa ia adalah syiar agung Allah s.w.t, merasakan bagaikan sudah berada di alam akhirat dam kiamat, perjalanan ke Tanah Suci tidak sama perjalanan untuk melancong ke tempat lain kerana ia adalah seruan Ilahi Yang Maha Agung.
Terdapat amalan-amalan haji yang menyerupai alam kiamat seperti wukuf di Arafah (macam berada di Padang Mahsyar), berihram seperti pakaian di sana nanti dan bermacam-macam lagi.

7. Mengecapi manfaat daripada pelaksanaan ibadat haji

Bakal haji merasakan pertemuan dengan saudara-saudara seagama dari seluruh pelosok dunia bagaikan dalam satu persidangan kemuncak umat Islam. Pertemuan dengan pelbagai jenis dan rupa bentuk manusia yang datang dengan niat yang satu iaitu untuk menyembah Allah s..w.t. Sesungguhnya mereka yang datang menemui Allah s..w.t berusaha utuk menjadi hamba-hambaNya yang bertakwa kerana semulia-mulia mereka adalah yang paling bertakwa kepada Allah s.w.t

8. Istiqamah berterusan dengan amalan Islam selepas bergelar haji

Antara tanda haji mabrur ialah istiqamah seseorang itu selepas berjaya mengharungi pelbagai kesulitan ketika berada di Tanah Suci, mula menunjukkkan perubahan diri seperti tidak meninggalkan solat berjemaah, berpuasa sunat Isnin dan Khamis, bangun malam untuk dua rakaat tahajjud seperti kata-kata masyur Imam Hasan al-Basri : "Haji mabrur itu menjadikan seseorang itu zuhud di dunia dan beramal gigih untuk hadapi alam akhirat".
Ini kerana amalan haji itu adalah tarbiyah yang paling berkesan melahirkan insan-insan yang berakhlak mulia, sabar, tawaduk, lemah lembut dalam pertuturan, bersikap tenang, menjauhi sifat pembohong, mengumpat, mencerca manusia dan sebagainya.

Itulah di antara faktor yang mampu menjadikan seorang yang bergelar haji itu meraih haji mabrur iaitu bersih daripada segenap dosa besar yang melampaui batasan agama seperti anak kecil yang baru dilahirkan daripada perut ibunya.


.

1.11.09

Tiba-tiba terjaga dari tidur...



Saat sedang nyenyak dibuai mimpi di atas tilam yang begitu empuk, bilik yang dingin dan kelam tanpa cahaya, anda terbangun tiba-tiba. Setelah mata terbuka, persekitaran diamati. Belum subuh lagi ni, hati bermonolog sendirian. Kemudian tangan mencapai telefon bimbit melihat jam sekadar mendapatkan satu kepastian. "Oh, baru pukul 3 pagi".
Dalam situasi seperti di atas, apa yang akan anda lakukan? Di sini anda mempunyai beberapa pilihan. Tanya iman anda dan buatlah pilihan yang bijak.

Pilihan 1

Kebanyakan kita akan menarik selimut semula dan menyambung episod kedua mempi yang tergantung separuh jalan. Bukan itu sahaja, hati turut mengomel, "Apasal la aku bangun awal sangat". Terzahir sebuah kekesalan. Kesal bangun awal? Nauzubillah.

Pilihan 2

"Oh, baru pukul 3 pagi. Waktu macam ni doa makbul. Ya Allah, ampunkanlah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Jadikanlah aku hamba yang mempunyai semangat juang yang tinggi, berjuang untuk kebahagiaan dunia dan akhirat". Kemudian sambung kembali 'ibadah senyap'.

Pilihan 3

Sebaik menyedari dah pukul 3 pagi (bukan baru pukul 3), segera bangun untuk solat tahajud. Sembahlah Allah saat mata-mata lain terpejam rapat, rukuklah saat hati kita tenang, sujudlah saat minda masih kosong dari sebarang urusan dunia dan berdoalah saat doa didengari Allah.

******************************

Terjaga di awal pagi adalah satu rahmat yang merupakan kurniaan Allah.
Siapa tahu saat Allah takdirkan kita terjaga, sebenarnya Allah menunggu untuk memakbulkan sebarang permintaan malam tersebut.
Mulalah dari langkah pertama, berdoa sebaik terjaga.
Malah mintalah Allah untuk bangkitkan kita malam-malam seterusnya.
Itulah caranya mengucapkan terima kasih kerana terjaga saat sedang tidur, bukan mengomel penuh kekesalan.
Tetapi alangkah baiknya andai tahajud dapat ditunaikan.