13.11.09

Bagaimana Meraih Haji Mabrur?

.


Bismillahirrahmanirrahim


Sabda Rasulullah s.a.w:

"Balasan bagi haji mabrur tidak lain hanyalah syurga"

Haji mabrur itu adalah amalan haji yang menepati segenap hukum-hakam haji yang meninggalkan kesan mendalam kepada pelakunya terutaman persoalan hatinya yang menuju ketenteraman rohani daripada pengamalannya menurut syarat-syarat berikut:

1. Ikhlas kerana Allah s.w.t

Niat yang ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah adalah penentu kepada tercapainya haji yang mabrur bukan kerana mengejar gelaran haji. Ia menepati doa baginda Rasulullah s.a.w : "Ya Allah! Anugerahkanlah haji kerana-Mu, bukan kerana riyak (menunjuk-nunjuk) dan bukan mahu mencari nama"

2. Beramal menepati sunnah Rasulullah s.a.w

Hendaklah berusaha mengetahui selok-belok manasik haji dengan baik melalui penyertaan dalam siri kursus haji agar memantapkan ilmu mengenai sifat-sifat haji baginda Nabi sebagaimana dalam satu hadis bermaksud: "Hendaklah kamu lakukan manasik haji dengan sebaik-baiknya, kerana aku sendiri pun tidak tahu apakah aku boleh lakukan haji selepas haji yang aku lakukan ini"

3. Persediaan diri dari sudut rohani dan jasmani

Seseorang mampu meraih haji mabrur dengan persediaan diri yang mantap iaitu sentiasa melakukan taubat nasuha, sumber yang halal untuk mengerjakan haji, memilih kawan-kawan yang mempunyai ciri-ciri soleh, menunaikan hak-hak manusia sekeliling, gemar untuk memberi nasihat kepada ahli keluarga dan merasai ketenangan jiwa sebelum berlepas ke Tanah Suci.

4. Sentiasa melakukan amalan yang baik-baik

Berbuat baik terhadap ahli keluarga terutama isteri dan anak-anak, berakhlak mulia, suka melakukan yang makruf, berbuat-baik kepada manusia dengan pelbagai bentuk kebaikan samada melalui perkataan, ungkapan, perbuatan, contoh teladan, membelanjakan harta pada perkara baik terutama keluarga, belanja orang-orang yang baik, menunjukkan sesuatu kebaikan (ajaran agama) kepada yang tidak mengetahui dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Menurut Abdullah bin Umar bin al-Khattab: "Sesungguhnya perkara yang baik itu terlalu banyak, walaupun hanya sekadar memaniskan muka dan bercakap lembut"

5. Memperbanyakkan melakukan perkara-perkara yang bersifat ketaatan

Antaranya menjauhkan segenap bentuk maksiat, menyegerakan solat lima waktu dalam keadaan berjemaah di masjid/surau, berkata benar dalam apa jua keadaan dan membiasakan diri dengan sifat-sifat terpuji. Inilah bekalan terbaik bagi bakal haji kerana baginda s.a.w ada menyebut dalam hadisnya yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak pula berkata kesat, memaki, mencela dan sebagainya, maka dia memperoleh haji mabrur (seolah-olah bersih tiada dosa seperti baru dilahirkan oleh ibunya)

6. Mengetahui rahsia-rahsia haji

Bakal haji perlu mengetahui beberapa rahsia haji yang tersirat khususnya mengenai rukun dan hukum haji dengan baik, merasakan bahawa ia adalah syiar agung Allah s.w.t, merasakan bagaikan sudah berada di alam akhirat dam kiamat, perjalanan ke Tanah Suci tidak sama perjalanan untuk melancong ke tempat lain kerana ia adalah seruan Ilahi Yang Maha Agung.
Terdapat amalan-amalan haji yang menyerupai alam kiamat seperti wukuf di Arafah (macam berada di Padang Mahsyar), berihram seperti pakaian di sana nanti dan bermacam-macam lagi.

7. Mengecapi manfaat daripada pelaksanaan ibadat haji

Bakal haji merasakan pertemuan dengan saudara-saudara seagama dari seluruh pelosok dunia bagaikan dalam satu persidangan kemuncak umat Islam. Pertemuan dengan pelbagai jenis dan rupa bentuk manusia yang datang dengan niat yang satu iaitu untuk menyembah Allah s..w.t. Sesungguhnya mereka yang datang menemui Allah s..w.t berusaha utuk menjadi hamba-hambaNya yang bertakwa kerana semulia-mulia mereka adalah yang paling bertakwa kepada Allah s.w.t

8. Istiqamah berterusan dengan amalan Islam selepas bergelar haji

Antara tanda haji mabrur ialah istiqamah seseorang itu selepas berjaya mengharungi pelbagai kesulitan ketika berada di Tanah Suci, mula menunjukkkan perubahan diri seperti tidak meninggalkan solat berjemaah, berpuasa sunat Isnin dan Khamis, bangun malam untuk dua rakaat tahajjud seperti kata-kata masyur Imam Hasan al-Basri : "Haji mabrur itu menjadikan seseorang itu zuhud di dunia dan beramal gigih untuk hadapi alam akhirat".
Ini kerana amalan haji itu adalah tarbiyah yang paling berkesan melahirkan insan-insan yang berakhlak mulia, sabar, tawaduk, lemah lembut dalam pertuturan, bersikap tenang, menjauhi sifat pembohong, mengumpat, mencerca manusia dan sebagainya.

Itulah di antara faktor yang mampu menjadikan seorang yang bergelar haji itu meraih haji mabrur iaitu bersih daripada segenap dosa besar yang melampaui batasan agama seperti anak kecil yang baru dilahirkan daripada perut ibunya.


.