22.11.09

Peringatan Buat Diri Ini

.


Bismillahirrahmanirrahim

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman" (Surah Az-Zaariyaat:55)
Beringatlah, begitu banyak perkara yang membuat kita diseksa di alam kubur. Beruntunglah bagi mereka yang memiliki persiapan yang cukup bagi berhadapan dengan ajalnya kelak. Beruntunglah mereka yang memiliki akhlak yang baik, cemerlang memelihara diri, istiqamah melaksanakan fardu dan sunat serta sering bertaubat. Amalan-amalan itu akan mendampingi kita sehingga alam kubur menjadi indah dan damai. Itulah yang kita perlu persiapkan sekarang sebelum menjelang ajal.

Namun bagi mereka yang malang, yang tidak mengerti rahsia hidup, hanya tahu berseronok dengan dunia dan tidak mengenal Allah, mengabaikan solat, lebih suka mengumpul harta, cenderung memuaskan nafsu, Allah s.w.t tidak memberinya kebahagiaan di alam kubur apatah lagi di akhirat nanti. Jadi jalan yang terbaik adalah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Berwaspadalah kerana apabila ajal tiba tiada siapa dapat menghalang dan menahannya.

Kubur setiap hari menyeru manusia sebanyak 5 kali

1. Aku rumah yang terpencil, maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al Quran
2. Aku rumah yang gelap, maka terangilah aku dengan selalu solat malam
3. Aku rumah yang penuh tanah dan debu, bawalah amal soleh yang menjadi hamparan
4. Aku rumah ular berbisa, maka bawalah amalan bismillah sebagai penawar
5. Aku rumah pertanyaan Malaikat Munkar dan Nankir maka banyakkanlah bacaan "Laailaahaillah Muhammadur Rasulullah" supaya kamu dapat jawapan kepadanya

5 jenis racun dan 5 jenis penawarnya

1. Dunia itu racun, zuhud itu ubatnya
2. Harta itu racun, zakat itu ubatnya
3. Perkataan yang sia-sia itu racun, zikir itu ubatnya
4. Seluruh umur itu racun, taat itu ubatnya
5. Seluruh tahun itu racun, Ramadhan itu ubatnya

Bersiap-sedialah. Kain kafan bila-bila masa bakal menjadi pakaian kita. Mungkin esok ataupun lusa. Mudah-mudahan Allah s.w.t menolong kita, menjadikan kematian suatu keyakinan dan pendorong untuk kita memperbanyakkan amal soleh. Yakinlah seksa kubur tersedia. Yakinlah kita perlu menolong ibubapa kita, samada yang masih hidup ataupun yang sudah pergi dengan doa dan kesolehan kita.