.
.
~ Bismillahirrahmanirrahim ~
.
.
Abu Hurairah berkata,
"Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tenteranya.
Jika raja itu baik, maka akan baik pulalah tenteranya.
Jika raja itu buruk, maka akan buruklah pula tenteranya"
.
Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali. Antaranya..
1. Malas melakukan ketaataan dan amal kebajikan
Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat atau merasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah.
Allah s.w.t telah menyifatkan kaum munafikin dalam Surah At Taubah:54,
"Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta mereka) melainkan dengan rasa enggan"
2. Tidak merasa menghayati dengan ayat Al Quran
Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca Al Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya.
Sedangkan Allah s.w.t memberi ingatan dalam Surah Al Qaf: 45,
"Maka beri peringatanlah dengan Al Quran orang yang takut dengan ancaman Ku"
3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat
Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segalanya ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia saja.
Akhirnya jadilah ia seorang yang dengki, ego dan individualistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.
4. Kurang mengagungkan Allah
Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah dilecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap kemaksiatan dan dosa.
5. Tidak terpengaruh dengan peristiwa-peristiwa yang dapat memberi pengajaran seperti kematian, sakit, bencana dan seumpamanya. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa padahal cukuplah kematian sebagai peringatan.
Firman Allah s.w.t dalam Surah At Taubah: 125,
"Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?"
.
Persoalannya sekarang, kenapa hati keras membatu?
Pertama adalah kerana tidak diberikan makanan dan santapan rohani yang sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan minum, begitulah hati. Jika tidak diubati ia bukan saja akan sakit malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.
"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia" (Surah Al Ra'd: 28)
Kedua adalah kerana tidak lagi berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.
"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata" (Surah Al Zumar: 22 )
.
Sucikanlah 4 hal dengan 4 hal
Wajahmu dengan linangan airmata keinsafan
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu
Dosa-dosa yang silam disulami dengan taubat kepada Dzat yang Memilikimu
.
~ Wallahualam ~