18.2.10

Ilmu Itu Adalah Imam Dan Amal Itu Adalah Makmum

.

~ Bismillahirrahmanirrahim ~

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al Fathir: 19-21

"Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat dan tidak pula (sama) kegelapan dengan cahaya dan tidak pula (sama) yang teduh dengan yang panas"

Allah telah menggambarkan orang yang berilmu seperti orang yang indah matanya. Manakala orang yang jahil seperti seorang yang buta matanya. Sungguh tinggi perumpamaan terhadap orang yang berilmu.

Sabda Rasulullah s.a.w

"Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan permudahkannya untuk masuk syurga. Para malaikat akan mengepakkan sayapnya keatas pencari ilmu, kerana mereka suka dengan apa yang dilakukannya. Orang yang berilmu dimintakan ampun oleh semua yang ada di langit dan di bumi, bahkan ikan-ikan di air juga turut memohon ampun untuknya. Keutamaan orang yang alim atas ahli ibadah seperti keutamaan bulan di atas bintang. Para ulama adalah pewaris nabi dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Sehingga orang yang mengambilnya benar-benar telah mengambil bahagian yang sempurna"
(HR Imam Bukhari)

Betapa orang yang berilmu sangat dihormati dan dipandang tinggi. Namun virus-virus malas dan tidak mengamalkan ilmu yang ada semakin lama semakin membara dikalangan penuntut ilmu.

Sungguh ramai penuntut ilmu mulai mencari ilmu untuk kemegahan dan keuntungan dunia. Ada juga yang bertujuan untuk berdebat dan menguji para ulama yang ada.

Nasihat Rasulullah s.a.w kepada penuntut ilmu tentang hal ini. Sabda baginda,

"Jangan mempelajari ilmu untuk menyombongkan diri pada ulama, berbangga dengan orang yang jahil, serta memilih-milih majlis. Sesungguhnya barangsiapa yang melakukan hal tersebut, dia akan masuk ke dalam neraka"
(HR Ibn Hibban)

Begitu juga dengan siapa saja yang menuntut ilmu niatnya kerana ingin mendapat keuntungan dunia.

Sabda Rasulullah s.a.w

"Seharusnya seseorang yang mempelajari sesuatu ilmu adalah untuk mendapat keredhaan Allah, namun jika dia mempelajari adalah memperoleh kesenangan dunia, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada hari Kiamat"
(HR Ibn Hibban)

Oleh sebab niat yang tidak jujur dan ikhlas menuntut ilmu kerana Allah, membuat ilmu itu hanyalah di lidah tanpa pengamalan. Sedangkan ilmu itu haruslah dipenuhi dengan amalan, kerana ilmu itu adalah imam dan amal itu adalah makmum.

Al Imam Yusuf Al Qardhawi berkata,

"Sesungguhnya musibah terburuk yang menimpa kehidupan dan menerpa umat manusia adalah orang alim yang perkataannya bertentangan dengan perbuatannya dan perbuatannya mendustakan perkataannya. Orang alim seperti ini adalah bencana untuk hamba-hamba Allah"

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al Shaf: 3

"Amat besar kebencian disisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan"

Sungguh hina dan azab kepada orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan imunya.

Golongan berilmu ini juga dinamakan sebagai seorang munafik, kerana orang munafik lahiriahnya bagus tetapi dalamannya rosak. Lidahnya manis menuturkan kata-kata hikmah namun amalannya pahit 'bak hempedu'. Memperdayakan manusia dengan ilmu yang ada, padahal hatinya kosong dari keyakinan iman dan Islam. Golongan ilmuan seperti ini adalah munafik yang alim tutur katanya.

Sabda Rasulullah s.a.w

"Sesungguhnya sesuatu yang paling aku risaukan sepeninggalanku terhadapmu ialah setiap orang munafik yang alim lidahnya"
(HR Tabrani)

Jadi berhati-hatilah dengan golongan ilmuan seperti ini .


~ Wallahualam ~



8 comments:

  1. Salam! Dari pakcik,
    Asalnya semua perintah2 dari Allah SWT ditujukan kpd Rasulullah SAW terlebih dahulu dan spy boleh dipraktikkan kpd kita kemudiannya. Rasululah, makhluk yg paling Allah sayangi pun diancam dlm Surah AlMaaidah:67, Hai Rasul, sampaikanlah apa yg diturunkan kpd mu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan, kamu tidak menyampaikan amanat/risalahNya`. Bagaimanalah pula kita, kalau kita sendiri tidak endah akan perintah Allah? Kalau Rasulullah boleh buat, maka kita sbg org beriman pun sanggup mengikutinya. Wallahualam.

    ReplyDelete
  2. Salam sahabatku..:)

    Terima kasih atas perkongsian ini.

    Seseorang tidaklah dipandang dari kebesaran badan, keelokan paras, dan keserasian bentuk tubuhnya, namun kesempurnaan seseorang dipandang dari wawasan akal fikirannya, keluasan ilmu, kemuliaan budi pekerti, kebaikan biografi hidup, kebeningan hati dan suara hati nuraninya

    ReplyDelete
  3. Salam Kak Arianni

    Post akak mengingatkan saya lirik lagu nasyid...

    "Paras rupa bukanlah ukuran, nilainya sama di sisi Tuhan,
    Cuma ibadat yang membezakan..."


    Terima kasih berkongsi kak.

    ReplyDelete
  4. W'salam Pakcik Tajnur..

    T/kasih atas perkongsian ayat Al Quran..Sesungguhnya Nabi s.a.w telah menyampaikan dan melaksanakannya sebaik2nya..

    Sabda Rasulullah s.a.w,
    "Siapa yang bertambah ilmunya, tetapi tiada bertambah petunjuknya, maka ia tiada bertambah melainkan jauh dari Allah"

    ReplyDelete
  5. W'salam sahabatku :)

    T/kasih kembali atas pandangannya wahai sahabat..
    Setuju sangat2 :):)

    ReplyDelete
  6. W'salam Iris..

    Betul tu Iris..amalan yang membezakan kita..

    Moga kita sentiasa istiqamah dlm melaksanakan ibadah2..

    ReplyDelete
  7. Salam...
    Sabda Rasulullah SAW yg bermaksud;
    "Kebinasaan umatku terletak pada dua hal; meninggalkan ilmu dan mengumpulkan harta"

    Beliau bersabda lagi;
    " Kebinasaan ilmu adalah mereka-reka"

    ReplyDelete
  8. W'salam..

    T/kasih atas perkongsian hadith :)

    Berkata Saidina Ali r.a,
    "Ilmu itu lebih utama dari hartabenda. Ilmu menjaga anda,tapi anda menjaga hartabenda. Ilmu bertambah jika dibelanjakan, tapi hartabenda akan berkurang. Ilmu sering menghukum, manakala hartabenda sering dihukum"

    ReplyDelete