26.12.09

Tuhan Tidak Berbuat Aniaya



Jika anda tahu bahawa dilangit terdapat Tuhan Yang Maha Adil dan Penguasa yang bijaksana, bahkan Dia memasukkan seorang wanita ke syurga hanya kerana anjing dan memasukkan wanita ke neraka kerana kucing, seharusnya anda berbahagia, menjadi tenang dan yakin akan janji Allah.

Disebutkan bahawa ada seorang wanita pelacur dari Bani Israel yang memberi minum seekor anjing yang kehausan. Kerana ia berbuat hal itu dengan ikhlas semata-mata kerana Allah, Allah pun mengampuni dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.
Sementara itu ada seorang wanita yang mengurung seekor kucing di dalam sebuah sangkar. Kucing itu tidak diberinya makan dan minum dan tidak pula diberikannya mencari makanan sendiri berupa serangga yang ada di tanah. Kerana perbuatannya, Allah memasukkannya ke dalam neraka.
Kejadian tersebut cukup memberi manfaat kepada kita kerana kita tahu bahawa Allah s.w.t pasti akan membalas setiap perbuatan baik walaupun kebaikan seremeh apa pun serta memberi balasan kepada hambaNya atas kebaikan sekecil apa pun.

Sabda Nabi s.a.w :
"Ada 40 kebaikan, yang paling besar, diantaranya adalah meminjamkan kambing perahan kepada orang lain (untuk diambil susunya). Tidak ada seorang pun yang melakukan salah satu dari semua kebaikan tersebut kerana mengharap janji Allah dan meyakini balasannya, kecuali Allah akan memasukkanya ke dalam syurga"
(HR Al Bukhari)

Firman Allah s.w.t :
Barangsiapa yang berbuat kebaikan meskipun sebesar biji zarah, maka ia akan melihat (balasannya). Barangsiapa yang berbuat keburukan meskipun sebesar biji zarah, maka ia akan melihat (balasannya) pula.
(Az Zalzalah : 7-8)


Bantulah orang yang sedang mengalami kesulitan
Berilah orang yang tidak pernah mahu memberi kepada anda
Tolonglah orang yang dianiaya
Berilah makan orang yang kelaparan
Berilah minum orang yang kehausan
Jenguk orang yang sakit
Hantarkanlah jenazah
Layanilah dengan baik orang yang tertimpa musibah
Tuntunlah orang yang buta
Berilah petunjuk orang yang bingung
Muliakanlah tetamu
Berbuat baik kepada tetangga
Hormatilah orang yang lebih tua dan sayangilah orang yang lebih muda
Bahagikanlah makanan yang anda miliki kepada orang lain
Sedekahkanlah wang anda
Berbicaralah dengan kata-kata yang baik
Kekanglah diri anda agar tidak sampai menyakiti orang lain sebab hal itu sedekah bagi anda


Betapa indahnya akhlak sebegini yang menggambarkan pekerti-pekerti yang tinggi , yang mendatangkan kebahagiaan dan melapangkan dada serta mengusir kesusahan, kesedihan, kekuatiran dan kedukaan