Pada zaman Sayyidina Umar Al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang bermaksudnya:
"Ya ALLAH! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit"
Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika Sayyidina Umar sedang melakukan tawaf di Kaabah. Sayyidina Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya:
"Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya ALLAH! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada ALLAH?"
Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku takut dengan penjelasan ALLAH seperti
Firman-Nya yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur". (Surah Al A'raaf: 10)
Aku memohon agar ALLAH memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada ALLAH.
Jelas pemuda berkenaan. Mendengar jawapan itu, Umar Al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri:
"Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu".
Syukur adalah pengakuan hati terhadap sesuatu ganjaran dan nikmat dianugerahkan ALLAH SWT. Syukur bukan hanya meliputi perkara nikmat, kita juga perlu bersyukur apabila terlepas daripada bala, malapetaka dan bencana.
Pelbagai nikmat dianugerahkan ALLAH SWT terhadap hamba-Nya. Keseluruhan nikmat dikurniakan perlu ada bukti yang memperlihatkan kesyukuran.
Bukti mensyukuri nikmat harta adalah apabila seseorang hamba itu membelanjakan hartanya di jalan ALLAH SWT.
Bukti mensyukuri nikmat kekuasaan diperoleh oleh pemimpin adalah menjadi pemimpin yang adil dan berusaha sekuat tenaga memberikan kesejahteraan kepada orang dipimpinnya.
Bukti mensyukuri nikmat ilmu adalah mengamalkannya dan mengajarkannya kepada orang lain.
Begitulah bukti mensyukuri nikmat yang lain dengan menggunakannya kepada jalan ALLAH SWT. Banyak pengajaran ditunjukkan oleh ALLAH mengenai mereka yang diazab kerana tidak mensyukuri nikmat-Nya.
Antaranya, Firaun ditenggelamkan bersama bala tenteranya kerana kufur terhadap nikmat kekuasaan. Qarun ditenggelamkan ke dalam perut bumi bersama harta bendanya kerana kufur terhadap nikmat harta. Hamman diseksa kerana kufur nikmat kecerdikan ALLAH SWT berikan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya ALLAH mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan. Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka ALLAH akan pindahkan nikmat itu kepada kaum yang lain pula.” (Hadis riwayat At-Thabrani)
Berdasarkan peristiwa dirakamkan dalam Al Quran, ia membuktikan nikmat ALLAH SWT yang tidak disyukuri akan dimusnahkan mengikut kadar kekufurannya. Sesungguhnya sangat banyak nikmat yang ALLAH kurniakan tanpa kita sedari.
ALLAH menyatakan, jika kita cuba menghitung nikmat dikurniakan kepada kita, nescaya tidak dapat dihitung dan terhitung.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya.”
(Surah An Nahl: 18)
Mereka yang tidak bersyukur dengan nikmat dikurniakan ALLAH, sedikit atau banyak, mereka itu masih jauh dengan rahmat ALLAH.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim: 7)
Bersyukur hendaklah diterjemahkan dalam seluruh amalan kehidupan seharian. Orang yang bersyukur pasti ibadahnya bertambah, seluruh hidupnya mengarah kepada tuntutan ibadah diperintahkan ALLAH SWT.
Kerap kali kita memikirkan sesuatu yang telah hilang sehingga lupa mensyukuri apa yang ada di depan. Kita merasa sedih kerana kekurangan material padahal kita masih memiliki kunci kebahagiaan.
Oleh itu, renungkanlah supaya kita sentiasa bersyukur dan janganlah kita termasuk golongan mereka yang ingkar.
Firman Allah yang bermaksud:
“Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal dari Allah, tetapi mereka mengingkarinya.” (Surah An Nahl: 83)
Justeru, sentiasalah bersyukur kepada ALLAH SWT tanpa bertangguh-tangguh. Jika kita menerima nikmat ALLAH keseluruhannya wajiblah kita menerima Islam keseluruhannya. Semoga kita tergolong dalam golongan yang sedikit itu. Aaamiiin...
Alhamdulillah atas semua nikmat n ihsan Allah SWT pd kami......TQ for sharing this!
ReplyDeleteAssalamualaikum Kak Ani..
DeletePengucapan 'Alhamdulillah' dlm apa jua keadaan samada ketika susah mahupun senang akan mendekatkan diri kita kpd ALLAH SWT..
TQ kak!
Salam kak ariani..
ReplyDeleteseronok ada kota komen nie... semoga kak ariani sihat dan sentiasa dalam rahmat Ilahi... semoga saya tergolong dalam golongan sedikit dan sentiasa dalam rahmat Nya......saya suka topik nie... baca sungguh menenang kan hati
Waalaikumsalam Atie..
DeleteMaaf ya atas kesulitan..semoga Atie juga sihat sentiasa dalam rahmat dan redha ALLAH SWT.
Begitulah harapan kita, mudah-mudahan kita mampu membuktikannya. Sesungguhnya kedudukan orang yang bersyukur itu teramat mulia disisi Tuhannya.
mohon dikongsi rencana yg sangat bermanfaat. alhamdulillah,semoga ditambahkan ilmu utk arianni n pembaca lain kerana Allahswt...terima kasih
ReplyDelete