8.2.12

Moga Ikhlas Milik Kita




Semua murabbiku berpesan pada suatu perkara yang sama, sedangkan aku berjumpa mereka pada waktu dan tempat yang berbeza. Seolah hati mereka begitu kuat bertaut!

“Ikhlaskan hati kalian. Allah pasti mengatur pertolongan untuk kalian!”


Mungkin ayat dan susunan perkataan berbeda, namun semua mereka menyeru dan menasihati kami satu perkara yang maha penting dalam perjuangan - KEIKHLASAN!!

Ikhlas, hakikat yang sukar

Dalam Risalah Taalim, As Syahid Imam Hassan al Banna menyatakan dengan jelas perihal ikhlas,

Apa yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah saudara muslim itu meniatkan setiap kata, tindakan dan jihad yang dilakukan hanya untuk Allah, mencari keredhaan dan ganjaranNya tanpa mengharapkan harta atau kemasyhuran atau kedudukan atau pangkat atau kemajuan atau kemunduran. Ini bermakna dia merupakan pejuang fikrah dan akidah bukan memperjuangkan matlamat dan kepentingan peribadi.

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan. (Surah Al An'am: 162-163)

Dengan ini saudara muslim akan memahami maksud apa yang sering dilaungkannya:

“Allah matlamat kami” dan “Allah Maha besar dan segala puji bagi Allah”


Inilah pengertian mudah ikhlas itu sendiri.

Hakikat betapa sukarnya untuk mendapat keikhlasan ini diakui seorang ulama yang bernama Sufyan Ats Tsauri. Beliau pernah menyatakan,

“Sesuatu yang paling sulit bagiku untuk aku luruskan adalah niatku, kerana begitu seringnya ia berubah-ubah.”

Namun begitu, ia adalah suatu hal yang mesti kita bajak dan pasak dalam jiwa walau sukar sekalipun. Tanpanya amalan kita adalah sia-sia, menjadi debu-debu yang berterbangan.

Haruskah menyemai benih ikhlas?

Ya, benih-benih ikhlas itu harus benar kita tanam dan menyuburkannya dalam jiwa kita yang tandus ini. Agar, saat kita dipanggil berjumpa denganNya kelak dalam keadaan tersenyum. Bahagia.

Bagaimana ?


Satu, sembunyikan segala amal kebaikan.

Kebaikan yang kita lakukan harus disembunyikan lagak si pencuri menyembunyikan harta curiannya. Amalan yang dilakukan tanpa diketahui manusia lain ternyata lebih senang untuk menumbuhkan ikhlas atasnya, kerana itu rahsia antara diri dan Allah  sahaja.

Sungguh beruntung mereka yang berbuat demikian. Kerana janji Rasulullah SAW, di antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah SWT adalah mereka yang bersedekah dan menyembunyikan sedekahnya tersebut hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.

Sedekah hanyalah simbolik kepada kebaikan lain. Jadi, rahsiakan amalan kebaikanmu.


Dua, merasa amal yang kita lakukan hanya secuil berbanding sahabat lain.

Benar,sekiranya kita merasakan amalan kita ini hanyalah ibarat zarah kecil berbanding sahabat lain maka perasaan bangga padanya akan lenyap. Perasaan rendah diri pula akan mengambil ruang itu, InsyaAllah.


Tiga, takut segala amal tidak diterima Allah SWT.  Allah SWT berfirman,

“Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahwa) Sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka.” (Surah Al Mu'minun: 60)


Dalam Tafsir Ibnu Katsir menghuraikan ayat ini Allah SWT menjelaskan bahwa di antara sifat-sifat orang mukmin adalah mereka yang memberikan suatu pemberian, namun mereka takut akan tidak diterimanya amal perbuatan mereka tersebut.

Bila jiwa sebegini ditanam, nescaya diri tidak lut oleh kejian malah pujian manusia. Mereka hanya mengharapkan amalannya diterima Allah rabbul jalil.


Akhir, berdoalah!

Berdoalah agar Allah SWT menempatkan ikhlas itu dicelah hati kita. Dan menjauhi rasa riak yang akhirnya menjadi kita syirik padaNya.

Berdoalah dengan doa yang telah Nabi ajarkan pada kita,

“Ya Allah, aku memohon perlindungan kepada-Mu dari perbuatan menyekutukan-Mu sementara aku mengetahuinya, dan akupun memohon ampun terhadap perbuatan syirik yang tidak aku ketahui.” (Hadits Shahih Riwayat Ahmad)


Penutup

Rasulullah SAW bersabda,

“Berkaitan dengan ikhlas, aku bertanya kepada Jibril a.s , apakah ikhlas itu?

Lalu Jibril berkata,“Aku bertanya kepada Tuhan yang Maha Suci tentang ikhlas, apakah ikhlas itu sebenarnya?“

Allah SWT yang Maha Luas Pengetahuannya menjawab,“Ikhlas adalah suatu rahsia dari rahsia-Ku yang Aku tempatkan di hati hamba-hamba-Ku yang Kucintai.“(H.R Al-Qazwini)


Maka, mudah-mudahan ikhlas itu menjadi milik kita yang menjadi rahsia kita dan Dia.