6.4.11

Tiada Hijab Bagi Yang Teraniaya




Bismillahirrahmanirrahim...


Salah satu dari tanda-tanda akan berakhirnya dunia ialah penzaliman yang berlaku berleluasa, tidak kira golongan atasan atau bawahan, lebih-lebih lagi mereka yang berkuasa. Berlaku penzaliman dan penganiayaan terhadap sesama manusia seakan-akan tidak ada sedikitpun perasaan belas kasihan. Sedih juga mengenangkan mereka yang tidak berhati perut ini. Apakah mereka anggap ALLAH SWT boleh melupakan penganiayaan yang mereka lakukan di dunia begitu sahaja?


Dipaparkan sebuah kisah teladan zaman silam untuk sama-sama merenung hukuman ALLAH SWT terhadap mereka yang suka menzalimi orang lain. Kisah ini berlaku kepada seorang wanita Bani Israel yang tinggal di sebuah rumah yang berhampiran dengan istana raja. Oleh kerana rumahnya telah usang, maka apabila ada tetamu yang datang ke istana, pasti bertanya kepada raja tentang rumah usang tersebut. Maka terasa jatuh maruah raja tersebut hanya kerana rumah usang itu.


Maka untuk mengatasi masalah tu, raja bercadang untuk membeli rumah tersebut daripada wanita Israiliyah itu tetapi wanita itu enggan menjualkannya kepada raja kerana itulah satu-satunya harta yang dimilikinya.


Pada suatu hari, semasa wanita itu tiada di rumah, raja telah memerintahkan pengawal-pengawalnya untuk merobohkan rumah yang dianggap mencemarkan pemandangan istananya. Apabila wanita itu pulang, dia amat terkejut melihat rumahnya yang telah pun dirobohkan. Bertambah hancur hatinya apabila mengetahui bahawa orang yang mengarahkan supaya rumah itu dirobohkan ialah raja sendiri.


Wanita itu lantas menuju ke istana dan berdoa dihadapan pintu istana: “ Ya Allah, jika aku pergi, Engkau tetap hadir untuk membantu orang yang lemah dan menolong orang yang dianiaya” Kemudian ia duduk di situ sehinggalah keluar rombongan raja berserta dengan pengawal-pengawalnya merasa hairan melihat wanita itu duduk di pintu istana.


“Apakah yang kamu buat di sini?” gertak raja dengan angkuhnya.

“Aku sedang menunggu hancurnya gedung istanamu” jawab wanita itu dengan beraninya. Apabila didengar oleh raja dan pengawal-pengawalnya jawapan wanita itu, mereka hanya mentertawakannya.


Tidaklah mereka ketahui bahawa doa orang yang dizalimi sangat cepat ALLAH SWT perkenankan. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengasih terhadap hamba-hamba-Nya, lebih-lebih lagi terhadap mereka yang dizalimi. Maka berlakulah keretakan demi keretakan pada dinding-dinding istana raja dengan tiba-tiba sehingga akhirnya robohlah keseluruhan istana raja itu. Malangnya kesemua penghuni istana tidak sedar dan mereka tidak sempat menyelamatkan diri. Maka tamatlah riwayat raja serta pengawal-pengawalnya bersama dengan kemusnahan istana yang mereka banggakan itu.


Yang paling menakjubkan dari kejadian itu, pada salah satu runtuhan dinding istana itu terdapat tulisan yang berbunyi : “Apakah kamu mengejek dan meremehkan doa, sedangkan kamu tidak mengetahui bagaimana saktinya doa itu. Panah pada waktu malam tidak pernah luput, dan ada saat dan masanya,dan masa itu juga terbatas. Dan ALLAH SWT telah berkehendak sebagaimana yang kamu lihat, maka kerajaan dan kekuasaanmu tiada sisa lagi…”


Begitulah besar ertinya doa orang yang teraniaya. ALLAH SWT terus memakbulkan doa orang yang teraniaya tanpa tangguh-tangguh lagi, sebagai balasan ALLAH SWT terhadap orang-orang yang zalim. Adakalanya ALLAH SWT tangguhkan pembalasannya di dunia bukan kerana ALLAH SWT lupa, tetapi untuk memberi masa orang yang zalim itu insaf dan bertaubat.


Firman ALLAH SWT:

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka ALLAH lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim, sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (Surah Ibrahim: 42)


Saiyidina Ali berkata: “ Awaslah dari doa orang yang teraniaya sebab ia minta haknya dari ALLAH dan ALLAH tiada akan menolak hak seseorang.”


Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Anas ra. Maksudnya :

“Zalim ada 3 jenis, iaitu zalim yang tidak diampunkan oleh ALLAH, zalim yang mudah diampunkan oleh ALLAH dan zalim yang tidak akan dibiarkan oleh ALLAH SWT. Adapun zalim yang tidak akan diampunkan oleh ALLAH SWT iaitu mempersekutukan ALLAH dengan sesuatu yang lain. Manakala zalim yang mudah diampunkan oleh ALLAH SWT ialah perbuatan maksiat antara manusia dengan ALLAH dan zalim yang tidak akan dibiarkan oleh ALLAH SWT iaitu menganiayai sesama manusia maka pasti akan dituntut oleh orang yang teraniaya di hadapan ALLAH SWT”


Justeru itu berhati-hatilah agar kita tidak melakukan penzaliman terhadap sesama makhluk ALLAH SWT . Kerana bukan sahaja di dunia disegerakan balasannya, bahkan kalau orang yang dianiaya menuntut di akhirat, maka bertambah-tambahlah penderitaan yang ditanggung.
Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang yang zalim.


Wallahualam..


4 comments:

  1. السلم عليكم ورحمة الله

    Sahabat, moga dilimpahkan Allah kesihatan yang baik dan sentiasa dalam perlindungan~Nya..

    Kepedihan dan kesukaran yang mereka difitnahkan dapat kita rasai. Namun, atas keimanan mereka sabar dan tenang kerana mereka menaruh harapan yang tinggi kepada Allah Taala sebagai tempat bergantung dan berserah diri.

    Pasti Allah akan mendatangkan balasan kepada si fitnah baik di dunia mahupun di akhirat.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam sahabatku..

    Semoga sahabat juga sentiasa dilimpahkan ALLAH SWT kesihatan yang baik dan juga dalam perlindunganNya..

    Amalan yang sudah menjadi kebiasaan kini dan dianggap sekadar satu kesalahan kecil sahaja. Namun hakikatnya dosa fitnah ini menjauhkan diri dari syurga.

    Sabda Rasululah SAW:
    "Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah"
    (HR Bukhari & Muslim)

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum wbt

    Apabila orang2 Islam sudah lalai dan meninggalkan AlQuran dan Sunnah, maka terjadillah keruntuhan Daulah Islam seperti berlakunya pada Daulah Uthmaniyyah dan waqi`nya berlaku dlm Surah AlMaidah:54 dimana berlakunya kemurtadan. Sekiranya umat Islam berpegang-teguh pada AlQuran dan Sunnah, maka Allah akan menggantikan kaum yang lebih baik seperti berlakunya Daulah Uthmaniyyah dimana kebanykan adalah bangsa Turki.Ini pernah tercata dlm Tafsir AlQurtubi yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a.
    عَنْ اِبْن عَبَّاس : { يَا أَيّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدّ مِنْكُمْ عَنْ دِينه } الْآيَة ; وَعِيد مِنْ اللَّه أَنَّهُ مَنْ اِرْتَدَّ مِنْكُمْ أَنَّهُ سَيَسْتَبْدِلُ خَيْرًا مِنْهُمْ
    Allah SWT telaj menjanjikan bahwasanya b/siapa murtad dikalangan kamu, Allah akan menggantikan kaum yg lebih baik dari mereka.
    Sebaliknya jika umat Islam terus meninggalkan ajaran Allah SWT maka Sabda Rasulullah saw,` Sentiasa kamu orang ditolong oleh musuh2 kamu selagi kamu berpegang-teguh pada sunnahku, mak jika kamu keluar dari Sunnahku, Allah SWT akan memberi kuasa mereka tidak takut kepada kamu dan akan melanyak kamu tanpa belas kasihan sehingga kamu kembali kepada Sunnahku` Riwayat Muslim.
    Maknanya Arianni, kalau kita tidak berpegan-teguh pada Allah SWT dan Rasulullah saw, pemerintahan akan bertambah zalim dari sehari ke sehari dan janganlah kita harap `tiada hijab` dari Allah SWT. Langit dan Bumi pun tidak menangisi penderitaan dan kezaliman yg menimpa kita. Surah AdDukhon:29 فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ ٱلسَّمَآءُ وَٱلأَرْضُ وَمَا كَانُواْ مُنظَرِينَ Dan tidak langit dan bumi menangisi ke atas mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.
    Wallahualam

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam Tajnur..

    Ya benar, bila manusia tidak melaksanakan kandungan Al Quran dan As Sunnah akan berlakunya kezaliman, kekufuran dan penindasan.

    "Ya Allah, jadikan kami golongan yang Engkau redhai dan jadikan kami bersama golongan yang berjuang atas jalanMu. Janganlah Engkau serahkan kami dibawah kekuasaan golongan mujrimin dan zaalimin yang hidup dibawah pengaruh Iblis & syaitan."

    ReplyDelete