Assalamualaikum wbt..
Ini adalah kisah seorang lelaki dari Bahrain yang bernama Ibrahim Nasser. Dia telah lumpuh sepenuhnya sejak lahir dan hanya boleh mengerakkan kepala dan jari-jari. Pernafasannya juga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
Ibrahim telah menanam keinginan untuk bertemu dengan Sheikh Nabeel Al-Wadi seorang ulama’ dari Kuwait. Ayah Ibrahim telah memohon kepada Syeikh Nabeel Al-Wadi agar dapat menunaikan hajat anaknya Ibrahim untuk berjumpa dengannya.
Ibrahim tersangat gembira dapat berjumpa dengan Sheikh Nabeel. Kegembiraannya dapat digambarkan pada raut wajahnya sehingga sukar baginya untuk berkata-kata pada mulanya. Syeikh Nabeel dan Ibrahim berkongsi cerita tentang dakwah melalui internet dan segala macam usaha yang diperlukan olehnya. Mereka juga berkongsi cerita tentang perkara lain.
Semasa perbualan mereka , Syeikh Nabeel telah bertanyakan satu soalan yang telah menyebabkan Ibrahim tidak dapat menahan tangisan lantas menghamburkan air mata. Tahukah anda apakah soalan yang telah menyebabkan Ibrahim tidak dapat menahan kesedihan sehingga menangis sepuas-puasnya ?
Syeikh Nabeel telah bertanya kepada beliau, sekiranya Allah memberikan dia nikmat kesihatan sehingga dia boleh berjalan, apakah yang akan dilakukan olehnya?
Mendengar soalan itu, Ibrahim telah menangis sepuas-puasnya sehingga ayahnya, bapa saudaranya dan kesemua orang di dalam bilik itu termasuk juga jurugambar telah menangis .
Dia telah menjawab,
“Demi Allah jika saya boleh berjalan maka saya akan menunaikan solat saya di masjid dengan penuh rasa gembira dan akan menggunakan segala nikmat kesihatan untuk mendapat keredhaan Allah”
Wahai umat Islam marilah kita mensyukuri segala nikmat Allah SWT dengan mempergunakan nikmat-nikmat tersebut kena pada tempatnya.
“Perhatikanlah kepada orang-orang yang kurang bernasib baik daripada kamu, kerana itu adalah lebih baik agar kamu tiada memperkecilkan nikmat-nikmat Allah yang dikurniakanNya kepada kamu”
Sesungguhnya Allah SWT telah melebihkan setengah hambaNya keatas setengah yang lain kerana beberapa rahsia dan nikmat yang tersembunyi, yang tiada akan terkesan oleh seseorang pun melainkan zatNya semata.
Sebaiknya, setiap hamba hendaklah redha terhadap bahagian yang telah ditentukan Allah bagi dirinya, serta tidak lupa mensyukuri segala nikmat-nikmat yang dikurniakan untuknya.
Wallahu'alam..