Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan dosa dalam menjalani kehidupan seharian. Amat banyak pendurhakaan kepada Allah yang telah kita lakukan sejak baligh hingga ke saat ini. Inilah kelemahan insan yang tidak dapat dinafikan.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah"
(Surah al-Nisa’: 28)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Setiap anak Adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat." (HR Ibn Majah)
Sesiapa yang mengatakan bahawa dia tidak mempunyai dosa sebenarnya dia telah melakukan dosa dengan ucapan sedemikian.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dan Dialah yang Maha Mengetahui siapa yang bertakwa."
(Surah Al-Najm : 32)
Agama kita memperuntukkan satu amal soleh yang boleh menghapuskan segala dosa yang dilakukan iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia ini. Allah SWT yang bersifat dengan sifat Al-Tawwab (Maha Penerima Taubat) dan Al-Ghafur (Maha Pengampun) tidak akan membiarkan kelemahan hambanya ini dengan begitu sahaja. Dalam Al Quran banyak dijelaskan keutamaan, dorongan dan perintah agar kita sentiasa bertaubat.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman supaya kamu memperolehi keuntungan."
(Surah Al-Nur: 31)
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan bersegeralah menuju kepada keampunan dari Tuhan kamu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertakwa."
(Surah Ali Imran :133)
.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya amalan-amalan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat."
(Surah Hud: 114)
Hadith-hadith Nabi SAW juga banyak yang menyebut tentang kelebihan dan tuntutan taubat, antaranya ialah
Dari Nabi SAW bersabda bahawa Allah berfirman
(hadith qudsi) :
"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu."
(HR Imam Muslim)
.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah SWT sangat gembira dengan taubat hambaNya melebihi kegembiraan salah seorang di antara kamu yang kehilangan untanya di padang pasir kemudian menemukannya kembali."
(HR Imam Muslim)
.
Dalam sabdanya yang lain, Rasulullah mengatakan:
"Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada siang hari, dan Allah membentangkan tanganNya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada malam hari, sampai matahari terbit dari barat."
(HR Imam Muslim )
Rasulullah SAW yang terpelihara daripada dosa dan diutuskan agar menjadi contoh kepada sekalian manusia juga memohon keampunan kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Begitulah petunjuk sunnah Rasulullah SAW kepada kita semua agar sentiasa bertaubat setiap masa.
Jangan dibiarkan dosa berlanjutan dan dijadikan koleksi dari semasa ke semasa kerana maut datang tanpa isyarat dan amaran. Dosa yang dibiarkan pasti akan memberi kesan buruk kepada kita di akhirat kelak. Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang telah mensyariatkan ibadat yang menjanjikan dosa-dosa diampunkan. Antaranya
1- Berwuduk
Rasulullah SAW bersabda:
"Tidaklah salah seorang daripada kamu mendekati air wuduknya, kemudian berkumur-kumur, memasukkan air ke hidungnya lalu mengeluarkannya kembali, melainkan gugurlah dosa-dosa di (rongga) mulut dan rongga hidungnya bersama air wuduknya, kemudian (tidaklah) ia membasuh mukanya sebagaimana yang Allah perintahkan, melainkan gugurlah dosa-dosa wajahnya melalui hujung-hujung janggutnya bersama titisan air wuduk, kemudian (tidaklah) ia membasuh kedua tangannya sampai ke siku, melainkan gugurlah dosa-dosa tangannya bersama air wuduk melalui jari-jari tangannya, kemudian (tidaklah) ia menyapu kepalanya, melainkan gugur dosa-dosa kepalanya bersama air melalui hujung-hujung rambutnya, kemudian (tidaklah) ia membasuh kedua kakinya, melainkan gugur dosa-dosa kakinya bersama air melalui hujung-hujung jari kakinya."
(HR Imam Muslim)
2- Solat fardu, solat Jumaat dan puasa Bulan Ramadhan
Rasulullah SAW bersabda:
"Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa di antaranya selama dosa-dosa besar dihindari."
(HR Imam Muslim)
3- Puasa Sunat Asyura’ dan puasa sunat wukuf
Rasulullah SAW bersabda:
"Puasa Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyura' (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu."
(HR Imam Muslim)
4- Tasbih, tahmid dan takbir
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menyebut setiap kali selepas solat dengan tasbih, tahmid dan takbir (33x) di akhiri dengan ucapan LAAILLAHA ILLALLAH… maka diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.
(HR Imam Muslim)
Para ulama’ mentafsirkan dosa-dosa yang diampunkan di atas ialah hanyalah dosa kecil sebagaimana pendapat Imam Al-Nawawiy dalam kitab syarh Muslim. Dosa besar hanya diampunkan bila dilakukan taubat nasuha. Begitulah perancangan Allah yang bersifat Al-Hakim (Maha Bijaksana) menyusun ibadat-ibadat untuk menghapuskan dosa-dosa hambaNya.
Solat fardhu atau puasa Ramadan yang kita lakukan dengan ikhlas akan memberi kebaikan kepada kita sendiri. Dengan kata lain Allah mewajibkan amalan-amalan tertentu bukan untuk membebankan hamba-hambaNya tetapi sebagai ujian sama ada taat atau ingkar dan untuk menyucikan rohani mereka daripada kegelapan dosa.
Betapa ruginya mereka yang mengabaikan solat fardhu dan puasa wajib. Tanpa mereka sedari golongan ini membuat koleksi dosa-dosanya dari semasa ke semasa. Mereka tiada peluang untuk menyucikan jiwa mereka daripada dosa. Lebih malang sekiranya mereka dijemput oleh Malakul Maut secara mengejut tanpa taubat, Na’uzubillah.
Jadikanlah taubat sebagai amalan rutin seharian, pohonlah keampunan dariNya dan laksanakanlah amalan fardhu sebaik-baiknya. Semua itu akan menyucikan dosa-dosa yang telah dilakukan. Jangan berputus asa dengan rahmat dan keampunan sekiranya selepas itu kembali melakukan dosa. Jangan terpedaya dengan tipu muslihat syaitan agar kita berputus asa dengan keampunan Allah SWT .
Perbaharuilah taubat pada setiap waktu. Pohonlah pimpinan dan bimbingan Allah SWT agar sentiasa istiqamah dalam melakukan taubat kepadaNya.
Salam sahabatku..:)
ReplyDeleteMoga sahabat terus sihat dalam menjalankan perintah puasa..
Kita tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan juga amat perlu mengharap keampunan (maghfirah) daripada Illahi. Harapan ini akan memberi dorongan yang berterusan untuk maju mendekatkan diri kepada Allah kerana percaya bahawa Allah akan menyambut setiap langkah pendekatan hamba-Nya sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis Qudsi:
“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan, maka untuknya sepuluh kali ganda pahala, bahkan mungkin lebih. Sesiapa yang berbuat kejahatan, maka dibalas dengan satu dosa, bahkan mungkin diampuni. Dan sesiapa yang menghampiri-Ku (Allah) sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta. Sesiapa yang datang kepada-Ku berjalan, maka Aku akan berlari kepadanya. Sesiapa yang menghadap kepada-Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, sedangkan dia tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku akan menemuinya dengan keampunan sebesar itu pula.” (Riwayat Muslim).
betul.. tiada hr tanpa dosa..
ReplyDeleteslmt hr rya.. maaf zahir batin
Salam sahabatku :)
ReplyDeleteBenar sahabat..manusia tidak sunyi drp melakukan dosa dan sebaik-baik manusia berdosa ialah bertaubat atas dosa-dosanya..Astagfirullah..
Terima kasih atas doanya..semoga sahabat juga sihat hendaknya..
Salam Maiyah..
ReplyDeleteItulah hakikatnya..manusia ini lemah dan tidak terlepas drp melakukan dosa..Justeru itu jadikanlah taubat dan istighfar sebagai amalan rutin memohon keampunanNya..
Salam Aidilfitri buat Maiyah juga..
Kemaafan juga dipohon sepanjang perkenalan kita..
Good readding
ReplyDelete