12.1.12

Bila Hidayah Menyapa



Assalamualaikum..


Hidayah bermaksud petunjuk jalan. Hidayah adalah peta petunjuk ke jalan yang benar, begitu mahal harganya bahkan tiada yang senilai dengannya daripada isi dunia ini dan hanya dianugerahkan kepada hamba-hamba yang dikehendakinya.


Firman Allah SWT:


"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada siapa yang kamu kasihi, tetapi Allah yang memberi petunjuk kepada siapa yang dia kehendaki. Dan Allah lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk" (Surah Al Qasas: 56)


Orang yang jauh daripada agama dan Al Quran, walau bagaimanapun kesenangan dunia yang diraihnya, dirinya tetap hina. Harta, jawatan, gelaran, kebesaran dan kedudukan dalam masyarakat apabila tidak diiringi dengan ketaatan, pasti menyeksakan.


Apabila kita mendapat hidayah Allah, ibaratnya seperti kita berjalan di tempat yang terang dan jelas pada bahagian depan, belakang, kanan malah kiri juga. Kita tidak merasa gusar dan bimbang kerana kita yakin Allah maha mengetahui apa yang kita perlukan bagi kita sendiri dan Dialah yang maha memenuhi keperluan hambanya.


Jadi, dalam mencari kenikmatan dunia yang tersedia, pastikan kita meletakkan diri dalam kerangka batasan keredhaan Allah SWT dan mematuhi perintah dan laranganNya agar hidup sentiasa dalam suluhan hidayah dan taufikNya.


Sentiasalah mendekatkan diri dengan sumber hidayah dan zat yang maha memberi petunjuk iaitu Allah. Bersesuaian dengan nama indahNya iaitu Al-Hadi, bermaksud yang membimbing ke jalan yang benar.


Wassalam.