Bismillahirrahmanirrahim...
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Tanpa kita sedari, kita sudah pun berada di penghujung bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang peristiwa yang sangat penting dalam sejarah hidup Rasulullah SAW dan dalam sejarah umat Islam iaitu peristiwa Israk dan Mikraj.
Israk bermaksud perjalanan Rasulullah SAW pada waktu malam dari masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.
Firman Allah SWT:
"Maha Suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang kami berkati sekelilingnya , untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" (Surah Al Isra': 1)
Mikraj pula bermaksud perjalanan nabi Muhammad SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit ke tujuh berhampiran dengan Arasy.
Sidang Jemaah sekalian,
Inti pati daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah Allah SWT memfardukan solat lima waktu sehari semalam. Dalam peristiwa mikraj, Rasulullah SAW bertemu dengan Allah SWT untuk menerima perintah mengerjakan solat yang pada mulanya 50 waktu dan akhirnya dikurangkan kepada lima waktu.
Peristiwa Mikraj menunjukkan kepada kita ibadat solat mempunyai kedudukan yang paling tinggi di dalam Islam. Ini kerana hanya ibadat solat difardukan di langit. Justeru itu marilah sama-sama kita menjaga kualiti solat kita dengan melakukannya dengan penuh khusyuk dan melakukannya di awal waktu.
Firman Allah SWT:
"Telah berjaya orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk di dalam solatnya"
(Surah Al Mukminun: 1)
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Antara pesanan Rasulullah SAW berkenaan solat ialah :
Diriwayatkan daripada Abdullah katanya:
"Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, apakah amal yang paling disukai Allah?"
Baginda SAW menjawab: "Solat pada waktunya"
(HR Imam Bukhari)
Diriwayatkan daripada Uthman bin Affan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
"Barangsiapa yang menyempurnakan wuduk sebagaimana yang diperintahkan Allah, maka solat lima waktu yang diwajibkan akan menghapuskan dosa yang dilakukan antara waktu-waktu solat tersebut" (HR Imam Muslim)
Nabi SAW juga memberi amaran kepada golongan yang mengabaikan solat seperti dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:
"Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka mengakui bahawa tiada tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah dan mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat. Apabila mereka melakukan yang demikian, maka darah dan harta mereka terpelihara melainkan dengan cara yang hak yang dibenarkan oleh Islam dan perhitungan mereka terserahlah kepada Allah"
(HR Imam Bukhari dan Muslim)
Hadith ini menunjukkan bahawa orang yang mengucap dua kalimah syahadah tetap akan diperangi sekiranya dia tidak mendirikan solat.
Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Al Thirmizi daripada Abu Hurairah r.a berkata:
Bersabda Rasulullah SAW :
"Sesungguhnya perkara yang pertama dihisab di akhirat ialah solatnya, sekiranya solatnya baik maka dia termasuk dalam golongan yang berjaya dan sekiranya solatnya rosak, maka dia termasuk dalam golongan yang rugi"
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Apa yang menyedihkan kita pada hari ini, terdapat segelintir umat Islam yang memandang ringan tentang solat, terdapat sebahagian mereka yang masih berada dipadang bola atau berpeleseran di pusat membeli belah pada waktu maghrib tanpa mengendahkan solat bahkan lebih menyedihkan masih ada masjid-masjid yang kosong yang tidak dapat menyempurnakan tuntutan fardu kifayah.
Begitu juga terdapat dikalangan umat Islam yang hanya mengerjakan solat pada hari Jumaat sahaja dan ada juga yang solat dua kali setahun iaitu pada hari raya. Inilah sebahagian daripada realiti yang berlaku dalam masyarakat hari ini.
Golongan ini seharusnya mengingati amaran Rasulullah SAW yang berbunyi:
"Sesiapa yang tidak menjaga solat maka dia tidak akan memperolehi cahaya, tidak akan selamat dan dibangkitkan bersama Firaun, Qarun, Haman dan Ummayah bin Khalaf.”
( HR Imam Ahmad, Al Tabarani dan Ibn Hibban)
Tahukah sidang Jumaat sekalian, siapakah Firaun, Haman, Qarun dan Ummayah bin Khalaf? Mereka ini adalah golongan yang disebut dengan jelas di dalam Al Quran dan hadith yang sahih sebagai ahli neraka. Mohon perlindungan Allah daripadanya.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Dalam mengingati Peristiwa Israk, kita tidak boleh melupakan bumi Israk iaitu bumi Palestin, bumi bertuah yang dibuka oleh nabi Ibrahim a.s, bapa kepada nabi-nabi dan rasul-rasul yang ramai. Tanggung jawab membebaskan bumi Palestin bukan tanggung jawab umat Islam di Palestin sahaja tetapi ianya kewajipan setiap individu muslim walau di mana mereka berada.
Marilah kita mengingati ucapan Saidina Umar bin Al Khattab apabila membuka Palestin beliau mengatakan :
"Kita adalah kaum yang dimuliakan dengan Islam, apabila kita mencari selain Islam maka Allah akan menghina kita"
Marilah kita kembali kepada Islam dengan berpegang teguh dengan ajaran Al Quran dan Hadith dan memerangi segala bentuk amalan dan kemungkaran yang ada dalam masyarakat yang jelas bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah.
Wassalam...