25.6.10

Bagaimana kita muflis di akhirat ?

.
.
.
~ Bismillahirrahmanirrahim ~

.
.
DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: “Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu ?”

Lalu jawab sahabat: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta?”

Lantas Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang.

“Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis itu, dapat kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis pada akhirat adalah berasal daripada orang yang memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, semua pahala ibadat mereka itu habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati, dihina, dibunuh atau dizaliminya.

Alangkah ruginya golongan muflis ini. Ganjaran pahala yang mereka kumpul dengan mengerjakan bermacam ibadat, akhirnya menjadi barang tukaran kerana denda yang perlu mereka bayar disebabkan kesalahan mereka terhadap orang lain.

Meskipun kita malu jika isytiharkan muflis di dunia ini, namun kita masih lagi beruntung kalau dibandingkan dengan situasi muflis di akhirat.

Jika muflis di dunia, masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu kita. Tetapi bagaimana pula hal keadaan kita apabila muflis di akhirat? Siapakah yang akan bersimpati? Siapakah yang bakal menolong kita dan siapakah pula yang akan menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka Allah?

Kuat beribadah dan memiliki pahala yang banyak tidak menjamin terpeliharanya seseorang itu daripada azab Allah jika pada masa sama dia masih melakukan penganiayaan, penindasan dan kezaliman kepada insan lain.

Firman Allah bermaksud: “Pada hari itu Kami akan tutup mulut mereka dan tangan mereka memberitahu Kami (mengenai kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi terhadap apa yang sudah mereka perbuatkan (ketika hidup di dunia)?”
(Surah Yaasin : 65)

Selain itu, kita juga diingatkan agar bertanggungjawab terhadap amanah keluarga iaitu isteri dan anak-anak. Dibimbangi di akhirat kelak, mereka akan menuntut segala pertanggungjawaban yang tidak kita tunaikan kepada mereka. Tanggungjawab memberi mereka ilmu, pendidikan, perlindungan, makanan, kesihatan dan sebagainya akan dipersoalkan kepada kita sama ada terlaksana atau terabai.

Jika kita perhatikan realiti hari ini, berapa ramai ibu bapa yang selalu solat berjemaah di masjid, mendengar ceramah, menghadiri kelas pengajian agama dan melakukan pelbagai amal kebajikan, sedangkan anak mereka terbiar tanpa mendapat pendidikan agama sempurna, terbabit dengan jenayah, gejala sosial, maksiat dan kegiatan kemungkaran?

Golongan ibu bapa seperti ini mengerjakan amal ibadat dengan penuh kesungguhan, tetapi mereka beribadah dalam situasi yang kurang bijak. Mereka lupa bahawa tanggungjawab memberikan pendidikan agama terhadap anak-anak juga ibadat besar dan mulia.

Jika amanah dan tanggungjawab ini sengaja dibiarkan terabai, dikhuatiri ia akan menjadi penghalang untuk seseorang hamba itu memasuki syurga Allah, walaupun memiliki banyak pahala hasil daripada amal ibadatnya.

.
.
~ Wallahualam ~

18.6.10

Demonstrasi Anti-Yahudi yang nyata Sia-Sia

.
Artikel dari Ustaz Pahrol
.
.
Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.

Pakcik : “Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional (berfikiran waras).”

Saya mengangguk-angguk kepala sahaja

Pakcik: “Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang.”

Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.

Pakcik : “Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk.”

Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, “saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi.”

Pakcik : “Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni.”

Penulis :“Kenapa Pak Cik?”

Pakcik : “Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni.”

Penulis :“Pak Cik hisap rokok apa?” saya mula teruja untuk berbual.

Pakcik : “Masih Winston. Dah sebati sejak dulu.”

Penulis : “Winston from America?” bisik saya perlahan.

Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk.

Pakcik: “Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi. Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?” kilasnya mengalih arah perbualan.

Penulis : “Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu,” tegas saya.

Pakcik :“Apa dia?”

Penulis : “Solat Subuh berjemaah.”

Pakcik : “Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat.” Muka pak Cik itu mula memerah. Tangannya mula digenggam.

Penulis : “Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah yang akan membangunkan roh jihad yang sejati.”

Pakcik : “Kita mesti sanggup memikul senjata.”

Penulis : “Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih tidur menjelang Subuh.”

Pakcik : “Saya tak faham.”

Penulis : “Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang menyakitkan mereka.”

Pakcik : “Apa yang menyakitkan mereka?”

Penulis : “Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri.”

Pakcik: “Jadi?”

Penulis : “Sebaik-baik ‘demonstrasi’ ialah didik umat ini bersolat Subuh secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana Rasulullah saw dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.”

Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar. Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung Pak Cik tersebut dengan senyuman.

Pakcik : “Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?”

Penulis : “Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi membakar rokok (jatuhkan perniagaan) Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan, wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!”

Pakcik: “Awak sindir saya?”

Penulis : “Pak Cik, saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak.”

Pakcik : “Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!”

(Lagi-lagi ke situ fikirnya.)

Penulis : “Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka.”

Pakcik : “Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?”

Penulis : “Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah bangunkan cara hidup Islam?”

Pakcik : “Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam.”

Penulis : “Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan cara hidup cara Islam.”

Pakcik : “Contoh?”

Penulis : “Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak, tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi (menguasai) media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis, sosialis mahupun liberalis.”

# nota : isme adalah kata akhir dari perkataan kapitalisme, sosialisme, liberalisme, hedonisme - perkataan-perkataan ini adalah ideologi (teori akal) bagi mengkelaskan corak hidup sesuatu masyarakat.

Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk, “mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?”

Penulis : “Ketiga-tiga isme itu sama.”

Pakcik : “Sama?”

Penulis : “Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… ZionisYahudi!”

Pakcik : “Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?”

Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.

Penulis : “Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat agak artifisial. Kita perlu agenda (rancangan) yang konsisten (tetap dan teratur) dan ‘genuine’.”

Pakcik : “Misalnya?”

Penulis : “Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan dan kemungkaran.”

Pakcik : “Lagi?”

Penulis : “Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam. Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah (lemah lembut dan berilmu) untuk menutup aurat dalam ertikata sebenar dan tinggalkan pergaulan bebas!”

Pakcik : “lagi?”

Penulis : “Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan mengamalkannya satu persatu kita boleh ‘berdemonstrasi hari-hari’ terhadap atas Yahudi. Bila kita boikot 'cara hidup berseronok-seronok' yakni (bererti) hedonisme, ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan melalui dalang-dalang mereka di Holywood.”

Pakcik : “Idola Amerika?”

Penulis : “Ya. Juga idola kita yang meniru persis (ibarat/seperti) mereka. Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah.”

Pak Cik itu batuk-batuk.
Saya urut belakangnya.

Penulis : “Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan perlahan-lahan ya Pak Cik?” kata saya seakan-akan merayu.
“Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin.”

Pakcik : “Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh cara hidup musuh yang kita benci.”

Penulis : “Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari.”

“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka, kita bakar. Jeritan Allahu Akbar dalam demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai (hargai / terima) laungan Allahu Akbar daripada umat yang tidak solat? “

Pakcik : “Eh, kami yang demonstrasi semua solat…”

Penulis : “Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini. Saya risau kerana ada kajian menunjukkan, 80% umat Islam sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang benar-benar kompeten (mampu) menghadapi Zionis dalam erti kata sebenar?”

Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu, saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi, seperti yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen. Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat seusai solat Subuh berjemaah, dan sebelum itu didahului oleh qiamulail dan qunut nazilah?

Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi, para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja… tetapi hari-hari. Setiap hari!

Ah, bagaimana umat ini hendak disedarkan, bahawa mengamalkan cara hidup Islam itulah cara penentangan yang paling dibenci oleh Yahudi?

Firman Allah:
“Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (cara hidup) mereka.”

Dan alangkah baiknya jika jeritan Allahu Akbar, dibuktikan dengan penegakan (mengamalkan) hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus ‘mengecilkan’ pandangan akal sendiri (bermaksud ikut kata akal sendiri) dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini?


8.6.10

...damai yang hilang


Hujan di Palestin

Hidup Palestin!!
.
.
~ Bismilahirrahmanirahim ~
.
Sabda Rasulullah saw
.
"Sebahagian dari umatku tidak akan berhenti berjihad di pintu-pintu Dimashq (Damsyik) dan di pintu-pintu Al Quds (Palestin) dan di sekelilingnya. Pengkhianatan dan pembelotan bagi sesiapa yang berkhianat tidak akan menyakiti mereka sedikitpun. Mereka akan tetap menang, mempertahankan
kebenaran sehingga saat datangnya kiamat"
(HR At Tabarani)
.
"Allah Maha Besar akan memberi kamu kekuatan untuk menawan As Syams (Palestin) selepas kewafatanku. Orang laki-laki dan wanita akan bertahan di sana sampai kiamat. Sesiapa dikalangan kamu yang memilih salah satu dari pantai-pantai As Syams (termasuk Gaza) atau Baitul Maqdis adalah mereka itu berada didalam jihad sehingga hari pengadilan"
.
"Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak mereka dan hamba (pembantu-pembantu mereka - lelaki dan perempuan) adalah didalam 'ribat' (pengawal pada kubu) pada jalan Allah"
(HR At Tabarani)
.
.
Hadis-hadis yang terbit dari lidah Rasulullah saw adalah bukti bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah satu kebenaran yang telahpun disusun oleh Allah swt. Para sahabat hanya mendengar beritanya dari Rasulullah saw sedangkan kita menyaksikan dengan mata kepala kita sendiri. Jadi sama-samalah kita mengambil iktibar dari peristiwa ini untuk menyuburkan iman kita dan keyakinan kita untuk berjuang pada jalan Allah.
.
Hari ini kita melihat pemimpin-pemimpin negara Islam telah mengkhianati perjuangan Islam dan umat Islam seperti apa yang dilakukan oleh Mesir. Namun kita yakin dengan Allah swt, bahawa pengkhianatan dan pembelotan mereka tidak akan mampu mengoyah perjuangan rakyat Palestin bahkan umat Islam dimana jua. Sesungguhnya Allah telah menjamin keselamatan tanah suciNya dengan meletakkan jundullah, tentera-tentera dari kalangan para mukmin yang ikhlas berjihad pada jalan Allah.
.
Marilah kita berdoa untuk saudara seagama kita dengan membacakan Surah Al Fath ayat 26-27 dan Surah Yunus ayat 85,86 dan 88 agar regim Israel dihancurkan.
.
Firman Allah dalam Surah Al Hujurat : 10
.
"Orang mukmin adalah bersaudara. Oleh itu damaikanlah di antara saudara-saudaramu dan tunaikanlah tanggungjawabmu kepada Allah agar kamu mendapat rahmat"


video


p/s salam kerinduan...